Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

PETALING JAYA, 11 Jun 2015 – Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) telah menganjurkan Kongres Juruukur Antarabangsa (ISC) ke-17 dengan bertemakan “Integrating for Excellence” bertempat di One World Hotel, hari ini.

Objektif penganjuran Kongres selama dua hari ini adalah untuk menyediakan forum dan platform berbincang, bertukar pendapat, berkongsi kemahiran dan teknologi serta mengukuhkan hubung jalin antara pengamal bidang jurukur sebagai persediaan menghadapi suasana mencabar era globalisasi dan pasaran liberal kini.

Penganjuran kongres bertaraf antarabangsa ini telah mengumpulkan komuniti juruukur daripada pelbagai disiplin dalam dan luar negara seperti bidang Tanah, Bahan, Bangunan dan Hartanah.  Turut dijemput adalah penceramah daripada pelbagai bidang dan latar belakang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka kepada peserta kongres.

Ucaptama perasmian telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, yang turut merasmikan ruang pameran yang menghimpun syarikat berkaitan teknologi ukur, pembekal bahan binaan dan perunding hartanah.

1

PASIR GUDANG, 8 Jun 2015 – YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan kerja ke Lebuh raya Pasir Gudang, Johor Bahru bagi meninjau kemajuan kerja menaiktaraf lebuh raya tersebut.

Projek Menaiktaraf Lebuhraya Johor Bahru-Pasir Gudang daripada 4 Lorong kepada 6 Lorong (Fasa 1) sepanjang 8km daripada Persimpangan Kangkar Tebrau (PLUS) ke Persimpangan Plentong telah dimulakan sejak Julai 2012 dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2015 (mengambil kira Extention of Time, EOT).

Disamping itu, skop projek juga melibatkan pelebaran 8 buah jambatan. Kemajuan fizikal bagi projek ini sehingga April 2015 adalah 68 peratus.  Lebuh raya Pasir Gudang, Johor Bahru ini bermula dari Tol Perling hingga ke Pasir Gudang Interchange sepanjang 30km.

Lawatan kerja ini turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad serta pegawai projek daripada JKR Johor.

1

JOHOR BHARU, 8 Jun 2015 – Penganjuran Mesyuarat Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2015 merupakan salah satu usaha meneruskan momentum transformasi jabatan dalam memerkasakan perkhidmatan kepada orang awam.

Antara objektif penganjurannya adalah untuk menyediakan forum dan platform bagi Pengurusan Atasan dan Pegawai Kanan menyuarakan suara, pandangan dan pendapat secara kolektif selain mengukuhkan semangat kerjasama serta menonjolkan JKR sebagai sebuah organisasi intelek yang aktif, progresif dan dinamik dalam ilmu kejuruteraan yang praktikal dan berkualiti.

Majlis yang bertemakan, “Membudayakan Kecemerlangan Dalam Penyampaian Perkhidmatan” ini dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, yang turut menyampaikan empat Anugerah yang dipertandingkan bersempena SOC kali ini.

Mesyuarat selama tiga hari ini telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan Jawatankuasa Induk penganjuran kali ini diurusetiakan oleh JKR Johor.

1

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2015 - Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Kerja Raya 2014 telah diadakan hari ini di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.  Sejumlah 866 orang telah dicalon sebagai penerima APC Kementerian/ Jabatan/ Agensi 2014.

Pecahan penerima adalah seperti berikut, Kementerian Kerja Raya 79 orang, Jabatan Kerja Raya (JKR) 698 orang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) 27 orang dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) 62 orang.

Pemilihan calon dan penerima Anugerah APC dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti berikut:

  1. Kuota 8% daripada pengisian di Kementerian/ Jabatan/ Agensi;
  2. Pencapaian LNPT 85% dan ke atas;
  3. Pegawai tetap, kontrak dan sementara layak dipertimbangkan;
  4. Genap satu (1) tahun perkhidmatan di Kementerian/ Jabatan/ Agensi; dan
  5. Pencalonan oleh Ketua Bahagian yang berkenaan.

Majlis ini diadakan bertujuan menghargai dan mengiktiraf kualiti/kuantiti sumbangan warga Kementerian yang melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.  Penghargaan ini juga bertujuan menjadikan anggota berkenaan sebagai contoh dan daya penarik kepada lain-lain anggota untuk sama-sama meningkatkan lagi taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi.

Majlis yang bertemakan, “Pekerja Hebat Prestasi Meningkat” ini dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, yang turut menyampaikan Anugerah kepada warga Kerja Raya.

1

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melancarkan Program Well4Life MOWfit KKR 2015 iaitu satu program amalan gaya hidup sihat bertempat di Dewan tan Sri Mahfuz Khalid, hari ini.

Program anjuran bersama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kelab Sukan dan Kebajikan KKR ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya dan turut dihadiri pengurusan tertinggi Kementerian.

Melalui program ini, warga KKR telah didedahkan akan keperluan untuk melakukan perubahan dan mengamalkan cara hidup sihat sebagai rutin kehidupan demi menjamin keselamatan diri, keluarga dan masyarakat melalui keseimbangan kesihatan minda dan fizikal.

Turut diadakan ialah persembahan Aerobik/Zumba, penerangan kesihatan dan kaedah senaman yang betul.  Aktiviti mingguan yang telah diatur sempena pelancaran program ini ialah senaman Zumba pada setiap hari Selasa petang (wanita) dan Body Weight Training (terbuka) pada setiap hari Khamis petang.

1

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2015 – Surau Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Bahagian Unit Integriti KKR telah mengadakan ceramah perdana sempena Peristiwa Isra’ Mikraj di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Dr. Ustaz Azhar bin Mohamad sebagai penceramah jemputan. Majlis ilmu tersebut telah di meriahkan lagi dengan kehadiran warga-warga KKR dan agensi-agensi dibawahnya. Turut hadir sama ialah YBrs. Tuan Haji Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR.

1

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berjaya mengekalkan persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S untuk tahun 2015 sepertimana tahun sebelumnya.

Ini hasil daripada penilaian oleh ahli panel daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ke Bahagian dan Unit di KKR selain semakan ke atas dokumen setiap Zon dan Jawatankuasa 5S.  Pegawai MPC yang hadir menilai ialah Encik Zaki bin Jaafar, Encik Mohd Wafi bin Arip dan Encik Muhammad bin Omar.

Mesyuarat Pembukaan telah dipengerusikan oleh YBhg, Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha KKR manakala Mesyuarat Penutup bagi membentangkan hasil penemuan panel pula telah dipengerusikan oleh YBrs, Tuan Haji Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR.

Amalan Persekitaran Berkualiti 5S diamalkan di Kementerian ini bertujuan mewujudkan persekitaran kerja sistematik dan berkualiti seterusnya dapat memenuhi kehendak pelanggan Kementerian berasaskan kepada lima kaedah iaitu, Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

1

KALABAKAN, 8 Mei – Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Musa Haji Aman telah merasmikan Jalan Sapulut-Kalabakan dengan disaksikan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof hari ini.

Jalan ini merupakan jalan alternatif ke Kota Kinabalu tanpa melalui Sandakan dan Telupid dan ia melengkapkan jalan dari Tawau-Kalabakan-Sapulut-Nabawan-Keningau dan seterusnya Kota Kinabalu. Ini sekaligus akan dapat memendekkan tempoh perjalanan sebanyak 3 jam dari Tawau ke Kota Kinabalu.

Selain daripada itu, ia akan melengkapkan jajaran jalan Pan Borneo di Sabah walaupun jalan Sapulut-Kalabakan ini masih lagi berstatus Jalan Negeri dan akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk penyelenggaran jalan kelak.

Jalan Sapulut-Kalabakan ini pada asalnya merupakan jalan balak yang telah ditinggalkan oleh Syarikat Konsesi Pembalakan. Oleh yang demikian, pada tahun 2004, Kerajaan Negeri telah memohon untuk pembinaan projek ini dan UPE,JPM telah luluskan skop projek iaitu pembinaan jalan gravel sepanjang 145 km dengan kos projek sebanyak RM636 juta. Projek pembinaan jalan gravel ini bermula pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada tahun 2008.

Selanjutnya, pada tahun 2011 UPE,JPM telah meluluskan Fasa 2 iaitu naiktaraf jalan dari gravel kepada jalan berturap sepanjang 145 km dengan kos sebanyak RM270 juta. Projek ini telah siap sepenuhnya pada Januari 2015.

Terdapat 5 projek besar yang sedang dalam pelaksanaan di Negeri Sabah dengan jumlah kos melebihi RM900 juta iaitu Projek Naiktaraf Jalan Donggongon – Papar Pakej 1 yang bernilai RM232 juta, Projek Naiktaraf Jalan Segama Fasa 1 berjumlah RM 108 juta, Projek Naiktaraf Jalan Tawau-Semporna berjumlah RM170 juta, Projek Naiktaraf Jalan Petagas-Lok Kawi Fasa 1A dan 1B sebanyak RM137 juta dan Projek Naiktaraf Persimpangan Bertingkat di Bandaraya Kota Kinabalu berjumlah RM261 juta. 

Selain itu, Kementerian juga sedang dalam perancangan untuk melaksanakan 2 lagi projek baru iaitu Projek Naiktaraf Jalan Donggongon –Papar Pakej 2&3 berjumlah RM380 juta dan Projek Naiktaraf Jalan Petagas – Lok Kawi Fasa 1 berjumlah RM32 juta yang dijangkakan bermula pada suku ke empat tahun 2015.

Kementerian juga sedang dalam pelaksanaan pembinaan 85 cerun di seluruh Negeri Sabah yang berjumlah RM421,251,696.80.

1

PUTRAJAYA, 5 Mei – Selaras dengan The ASEAN Coordinating Committee on Services Meeting yang berlangsung pada 4 hingga 8 Mei 2015 di Kuala Lumpur, satu majlis Makan Malam ASEAN telah dianjurkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) bertempat di Hotel Pullman, Putrajaya.

Majlis ini telah dihadiri oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Ar. Prof. Datuk Dr. Amer Hamzah Mohd Yunus, Presiden LAM, delegasi Arkitek ASEAN, ahli berdaftar daripada LAM dan Institut Arkitek Malaysia.

Arkitek ASEAN telah diwujudkan hasil penubuhan Majlis Arkitek ASEAN (AAC) pada tahun 2009 yang bernaung di bawah ASEAN Coordinating Committee on Services (ASEAN CCS).  Fungsi utama Majlis Arkitek ASEAN ini adalah mengawal pendaftaran Arkitek ASEAN, mempromosikan strategi ke arah pengurangan halangan terhadap pengamalan dikalangan rakan ASEAN selain mengawalselia perkhidmatan profesional ini.     

 

1

KUALA LUMPUR, 30 April - Majlis Persaraan  YBhg. Dato' Ir Hj Annies Md Ariff  bertemakan "Bakti Disanjung, Budi Dijunjung" telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid Kementerian Kerja Raya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya serta jasa beliau kepada JKR sepanjang 37 tahun tempoh perkhidmatan.

Majlis dimulakan dengan ucapan penghargaan kepada tetamu diraikan oleh wakil Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Encik Sumardi bin Ali , wakil dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Ir. Hj Mohd Daud B. Harun  dan seterusnya YB Menteri Kerja Raya Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.

Kemuncak acara majlis yang dinantikan ialah ucapan YBhg. Dato' Ir Hj Annies Md Ariff yang telah menyampaikan amanat dan harapan beliau terhadap kecemerlangan dan kelangsungan jabatan. Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas kerjasama dan sokongan yang diterima sepanjang 37 tahun perkhidmatan beliau di JKR.

Majlis diserikan dengan tayangan media persaraan  Dato' Ir. Hj Annies dan juga tayangan video 'JKR Dan Anda' yang merupakan inspirasi dari beliau sendiri. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan Caliph Buskers.- Sumber JKR Malaysia