Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

PUTRAJAYA, 30 Jun 2015 – Satu Majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah diadakan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Upacara menandatangani perjanjian ini telah disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.  Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Terdahulu dalam ucapan Bajet pada 10 Oktober 2014 yang lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan projek lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer yang disasarkan akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak.

Komponen kick-off projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang melibatkan jajaran Simpang Jalan Nyabau ke Simpang Jalan Bakun sepanjang 43 kilometer telah dilancarkan oleh Perdana Menteri sendiri pada 31 Mac 2015. Komponen ini merupakan sebahagian daripada 1,090 kilometer jajaran Pan Borneo Sarawak yang akan dinaiktaraf kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) dengan standard piawaian R5. Kerja-kerja menaiktaraf komponen tersebut kini sedang giat dijalankan.

Melalui Perjanjian ini, projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kelak bakal menjadi jalan penghubung strategik serta memberi keselesaan perjalanan dan selamat kepada pengguna jalan raya di Sarawak selain memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi setempat, malah ia berupaya menggalakkan lagi pembangunan ekonomi di wilayah koridor Sarawak (SCORE). 

Disamping itu, projek ini dijangka akan memberi kesan langsung kepada kepada penduduk negeri Sarawak melalui peluang-peluang dalam sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baru dan bertindak sebagai pemangkin kepada pusat-pusat pertumbuhan baru ekonomi.

1

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sempena bulan Ramadhan 1436H, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

Pada majlis itu juga, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof dan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan juga ibu tunggal KKR.

Tetamu jemputan khas ialah Ustaz Zulkarnain Hamzah dan beliau turut menyampaikan tazkirah Magrib serta mengimami solat sunat terawih pada malam tersebut.

Turut hadir sama YBhg. Dato’ Zohari Akob, Ketua Setiausaha KKR, Pegawai Pengurusan Tertinggi KKR dan Agensi-agensi serta warga kementerian.

1

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2015 - Majlis Menandatangani Memorandum of Agreement (MOA) Perjanjian Kajian Usahasama Penggunaan Getah Bekuan dalam Campuran Asfalt dalam projek pembinaan Jalan di antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) agensi  Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR Malaysia) agensi Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan di Kompleks Kerja Raya hari ini.
Majlis ini diadakan bagi memantap dan meningkatkan kualiti pembinaan jalan di negara ini melalui penggunaan getah bekuan sebagai bahan tambah dalam campuran asfalt.
Penggunaan getah sebagai bahan tambah dalam campuran asfalt bersesuaian dengan ciri-ciri bitumen dan campuran asfalt sebagai ganti kepada bahan tambah polimer. Melalui kerjasama ini, kajian akan dilaksanakan oleh para pengkaji dan pakar daripada JKR dan LGM.


Penggunaan getah dalam campuran asfalt bukanlah satu perkara baru bagi JKR. Jalan yang dibina menggunakan asfalt bercampur getah ini telah mula dibina seawal 1950an melalui pembinaan tapak percubaan di Jalan Kota Bharu–Kuala Krai. Kemuncak penggunaan getah dalam turapan jalan pada skala besar adalah semasa pembinaan Jalan Pekeliling, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 1995.
Upacara perjanjian ini telah disaksikan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya dan YB Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

1

KANGAR, 16 Jun 2015 – Sebanyak 31 Kerja Sivil bernilai RM3.16 juta dan 71 Kerja Elektrikal bernilai RM3.35 juta telah ditawarkan untuk Kerja Undi Bagi Kerja Pembaikan dan Penyelenggaraan Kuarters Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2015 (One-Off) bagi Negeri Perlis.

Program Kerja Undi ini adalah sebahagian daripada program pembangunan kontraktor Bumiputera kelas G1 dan merupakan kerjasama antara KDN dan Kementerian Kerja Raya (KKR).  Ia akan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi memastikan kek kekayaan dalam sektor pembinaan dapat diagihkan secara adil dan saksama.

Untuk skop kerja undian kali ini, ia melibatkan kerja seperti membaiki/ mengganti lif, membaiki/ mengganti tangki air dan sistem retikulasi, membaiki/ mengganti paip sanitari, membaiki/ mengganti bumbung, membaiki/ mengganti tangga dan handrail, mengecat bangunan dan harta bersama dan juga pendawaian elektrikal bangunan kuarters.

Seramai lebih 500 kontraktor dari negeri ini telah hadir menyertai majlis ini yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Azlan bin Man, Menteri Besar Perlis.  Turut hadir menyampaikan ucapan aluan adalah YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha KKR.

1

PETALING JAYA, 11 Jun 2015 – Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) telah menganjurkan Kongres Juruukur Antarabangsa (ISC) ke-17 dengan bertemakan “Integrating for Excellence” bertempat di One World Hotel, hari ini.

Objektif penganjuran Kongres selama dua hari ini adalah untuk menyediakan forum dan platform berbincang, bertukar pendapat, berkongsi kemahiran dan teknologi serta mengukuhkan hubung jalin antara pengamal bidang jurukur sebagai persediaan menghadapi suasana mencabar era globalisasi dan pasaran liberal kini.

Penganjuran kongres bertaraf antarabangsa ini telah mengumpulkan komuniti juruukur daripada pelbagai disiplin dalam dan luar negara seperti bidang Tanah, Bahan, Bangunan dan Hartanah.  Turut dijemput adalah penceramah daripada pelbagai bidang dan latar belakang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka kepada peserta kongres.

Ucaptama perasmian telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, yang turut merasmikan ruang pameran yang menghimpun syarikat berkaitan teknologi ukur, pembekal bahan binaan dan perunding hartanah.

1

PASIR GUDANG, 8 Jun 2015 – YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan kerja ke Lebuh raya Pasir Gudang, Johor Bahru bagi meninjau kemajuan kerja menaiktaraf lebuh raya tersebut.

Projek Menaiktaraf Lebuhraya Johor Bahru-Pasir Gudang daripada 4 Lorong kepada 6 Lorong (Fasa 1) sepanjang 8km daripada Persimpangan Kangkar Tebrau (PLUS) ke Persimpangan Plentong telah dimulakan sejak Julai 2012 dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2015 (mengambil kira Extention of Time, EOT).

Disamping itu, skop projek juga melibatkan pelebaran 8 buah jambatan. Kemajuan fizikal bagi projek ini sehingga April 2015 adalah 68 peratus.  Lebuh raya Pasir Gudang, Johor Bahru ini bermula dari Tol Perling hingga ke Pasir Gudang Interchange sepanjang 30km.

Lawatan kerja ini turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad serta pegawai projek daripada JKR Johor.

1

JOHOR BHARU, 8 Jun 2015 – Penganjuran Mesyuarat Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2015 merupakan salah satu usaha meneruskan momentum transformasi jabatan dalam memerkasakan perkhidmatan kepada orang awam.

Antara objektif penganjurannya adalah untuk menyediakan forum dan platform bagi Pengurusan Atasan dan Pegawai Kanan menyuarakan suara, pandangan dan pendapat secara kolektif selain mengukuhkan semangat kerjasama serta menonjolkan JKR sebagai sebuah organisasi intelek yang aktif, progresif dan dinamik dalam ilmu kejuruteraan yang praktikal dan berkualiti.

Majlis yang bertemakan, “Membudayakan Kecemerlangan Dalam Penyampaian Perkhidmatan” ini dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, yang turut menyampaikan empat Anugerah yang dipertandingkan bersempena SOC kali ini.

Mesyuarat selama tiga hari ini telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan Jawatankuasa Induk penganjuran kali ini diurusetiakan oleh JKR Johor.

1

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2015 - Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Kerja Raya 2014 telah diadakan hari ini di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.  Sejumlah 866 orang telah dicalon sebagai penerima APC Kementerian/ Jabatan/ Agensi 2014.

Pecahan penerima adalah seperti berikut, Kementerian Kerja Raya 79 orang, Jabatan Kerja Raya (JKR) 698 orang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) 27 orang dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) 62 orang.

Pemilihan calon dan penerima Anugerah APC dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti berikut:

  1. Kuota 8% daripada pengisian di Kementerian/ Jabatan/ Agensi;
  2. Pencapaian LNPT 85% dan ke atas;
  3. Pegawai tetap, kontrak dan sementara layak dipertimbangkan;
  4. Genap satu (1) tahun perkhidmatan di Kementerian/ Jabatan/ Agensi; dan
  5. Pencalonan oleh Ketua Bahagian yang berkenaan.

Majlis ini diadakan bertujuan menghargai dan mengiktiraf kualiti/kuantiti sumbangan warga Kementerian yang melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.  Penghargaan ini juga bertujuan menjadikan anggota berkenaan sebagai contoh dan daya penarik kepada lain-lain anggota untuk sama-sama meningkatkan lagi taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi.

Majlis yang bertemakan, “Pekerja Hebat Prestasi Meningkat” ini dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya, yang turut menyampaikan Anugerah kepada warga Kerja Raya.

1

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melancarkan Program Well4Life MOWfit KKR 2015 iaitu satu program amalan gaya hidup sihat bertempat di Dewan tan Sri Mahfuz Khalid, hari ini.

Program anjuran bersama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kelab Sukan dan Kebajikan KKR ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya dan turut dihadiri pengurusan tertinggi Kementerian.

Melalui program ini, warga KKR telah didedahkan akan keperluan untuk melakukan perubahan dan mengamalkan cara hidup sihat sebagai rutin kehidupan demi menjamin keselamatan diri, keluarga dan masyarakat melalui keseimbangan kesihatan minda dan fizikal.

Turut diadakan ialah persembahan Aerobik/Zumba, penerangan kesihatan dan kaedah senaman yang betul.  Aktiviti mingguan yang telah diatur sempena pelancaran program ini ialah senaman Zumba pada setiap hari Selasa petang (wanita) dan Body Weight Training (terbuka) pada setiap hari Khamis petang.

1

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2015 – Surau Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Bahagian Unit Integriti KKR telah mengadakan ceramah perdana sempena Peristiwa Isra’ Mikraj di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Dr. Ustaz Azhar bin Mohamad sebagai penceramah jemputan. Majlis ilmu tersebut telah di meriahkan lagi dengan kehadiran warga-warga KKR dan agensi-agensi dibawahnya. Turut hadir sama ialah YBrs. Tuan Haji Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR.