Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2015 - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) “Kerjasama Untuk Memajukan Penggunaan Kaedah Pengukuran Standard Kejuruteraan Awam Malaysia (MyCESMM) Dalam Perolehan Projek-projek Kejuruteraan Awam” dengan lapan organisasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ia bertujuan untuk menerapkan penyeragaman pengukuran kerja-kerja sivil mengikut standard yang sama bagi mengurangkan kekeliruan dan meningkatkan professionalisma dalam berinteraksi mengenai kaedah pengukuran.

Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof.  Turut hadir

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Akob dan Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

Turut diadakan adalah penyampaian sijil MyCESMM Trainer kepada 38 orang pelatih  terdiri daripada Juruukur Bahan dan Jurutera Sivil yang berjaya menghadiri latihan diselia CIDB.  Latihan ini bertujuan membantu penggunaan MyCESMM lebih lancar bersama-sama rakan kolaborasi CIDB.

Standard pengukuran yang dikenali sebagai MYCESMM ini memainkan peranan penting dengan menyediakan bahasa ukuran dan garis panduan seragam bagi semua pihak dalam projek pembinaan. Dengan menggunakan standard ini, semua skop kerja diterangkan dengan jelas dan seragam sekaligus menyelesaikan masalah komunikasi  yang sering berlaku dalam penyediaan harga tender.

1

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2015 - Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) telah mengadakan dua acara besar iaitu Majlis Anugerah LAM dan Pelancaran Manual Akreditasi Pendidikan Senibina bertempat di Hotel Hilton KL Sentral.  

Pada malam itu, dua Anugerah telah disampaikan sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada insan yang telah menabur jasa dan mencurah keringat dalam bidang Snibina.

Anugerah Pingat Presiden LAM telah dianugerahkan kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Ar. Haji Esa Haji Mohamed seorang arkitek dan perancang bandar.  Manakala untuk Anugerah Tokoh Akademik Pendidikan Senibina, seramai tiga orang penerima telah dirai.  Mereka ialah Dato’ Ar. Prof. Emeritus Parid Wardi bin Sudin, Ar. Ong Suan Huah dan Dato’ Ar. Prof. Emeritus Dr. Elias @ Ilias Salleh.

Majlis ini telah dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof.  Ucapan aluan telah disampaikan oleh Yang Dipertua Lembaga Arkitek Malaysia, Ar. Prof. Datuk Dr. Amer Hamzah Mohd Yunus.  Kali terakhir LAM menganjurkan majlis anugerah adalah pada tahun 2000 dan usaha menghidupkan kembali penganjurannya sejajar dengan kemajuan profesion senibina serta sumbangannya terhadap negara.

1

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2015 – Confexhub Group Malaysia dan Institut Taman dan Rekreasi Singapura telah bekerjasama menganjurkan Green Buildings and Parks World (GBPW 2015) edisi kedua bertempat di Intercontinental Hotel hari ini.

Program yang berlangsung pada 4 dan 5 Ogos 2015 ini bertujuan untuk mempromosi dan menyemai budaya hijau atau mesra alam dengan menjaga kelestarian alam sekitar seiring dengan pembangunan sesebuah negara bersesuaian dengan tema konferen iaitu “Green Buildings — Building Green: The Keystone for Sustainability”.

Para peserta berpeluang untuk berkongsi dan menyaksikan pembentangan 17 kertas kerja daripada penceramah dari dalam dan luar negara.  Acara perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya melalui ucaptama perasmian.  Terdahulu, ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengerusi Confexhub Group Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Abdul Aziz S.A. Kadir disusuli ucapan khas daripada Presiden Institut Taman dan Rekreasi Singapura, Puan Maria Boey.

1

SHAH ALAM, 4 Ogos 2015 – Penyerahan Projek Hospital Shah Alam secara rasmi telah diadakan hari oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertempat di Auditorium Hospital Shah Alam, Seksyen 7, Persiaran Kayangan.

Hospital ini dijangka akan mula beroperasi secara berperingkat-peringkat mulai Oktober 2015 sehingga  dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2016. Perkhidmatan pertama yang akan dimulakan adalah perkhidmatan Klinik Pakar dan Haemodialysis.  Hospital ini akan menerima kes rujukan dari hospital dan juga klinik berdekatan.

Projek Hospital ini direkabentuk untuk 300 katil pesakit (expandable to 500 beds) bagi memberikan 14 skop perkhidmatan kepakaran hospital dan juga bangunan kuarters pelbagai kelas berjumlah 230 unit untuk kakitangan hospital, serta 42 unit hostel jururawat dan 40 unit kuarters pegawai perubatan dan juga beberapa blok bangunan sokongan dan kejuruteraan.

Di antara  kemudahan di bangunan Utama Hospital Shah Alam, ianya turut dilengkapi dengan 10 buah operation theater (OT),  Wad Diraja,  Wad VVIP, Wad-Wad lain untuk kemudahan pesakit serta sebuah auditorium yang boleh memuatkan 244 orang untuk kemudahan hospital.

Upacara Penyerahan Projek ini disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia yang menyerahkan projek ini kepada YB Datuk Seri Dr. S.Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia.  Turut hadir untuk menandatangani Perakuan Serahan Projek ialah Ketua Pengarah Kerja Raya dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan. 

1

LIPIS, 13 Julai 2015 - Kerajaan telah bersetuju untuk membuka sebahagian lagi jajaran Projek Central Spine Road (CSR) dalam Pakej 3 yang telah siap kepada laluan awam iaitu Seksyen 3G dan Seksyen 3H dari Felda Chegar Perah 2 ke Kg. Kechur sepanjang 24.2km mulai 13 Julai 2015.

Sebelum ini, terdapat 2 seksyen dalam Pakej 3 iaitu Seksyen 3F1 dan Seksyen 3F2 sepanjang 13.2km yang melibatkan jajaran jalan dari Kg. Kubang Rusa ke Felda Chegar Perah 2 telah disiapkan dan dibuka kepada laluan awam masing-masing pada 10 Januari 2014 dan 5 Julai 2013. Pembukaan jajaran ini telah memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya terutamanya daripada aspek penjimatan kos, masa dan tenaga.

Dengan penyiapan keempat-empat seksyen ini,  jarak perjalanan asal sepanjang 43.4km telah dipendekkan kepada 37.4km dan tempoh masa perjalanan dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 20 minit dan jalan ini telah dinaiktaraf kepada 4 lorong 2 hala.

Projek Membina dan Menaiktaraf Laluan Persekutuan dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang ini merupakan salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi yang telah diluluskan pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Skop Projek adalah pembinaan jalan baru serta menaiktaraf jalan sedia ada kepada 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5 sepanjang 390 kilometer. Pembinaan projek CSR dilaksanakan secara berfasa sejak dari tahun 2008 lagi. Projek ini telah dibahagikan kepada 6 pakej utama.

Di atas faktor keselamatan dan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di jalan sedia ada khususnya di jalan persekutuan FT8, Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Pahang dan Pakej 5: Bentong Bypass telah diberi keutamaan bagi pembinaannya dalam RMKe-10. Manakala pembinaan untuk pakej-pakej lain, dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11). 

1

SEREMBAN, 10 Julai 2015 – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke bandar Seremban mempunyai satu lagi opsyen ke bandar tersebut melalui Persimpangan Bertingkat Bandar Ainsdale yang telah dirasmikan pembukaannya pada hari ini oleh  YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia dan YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

 

Sebelum ini, pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke bandar Seremban perlu menggunakan persimpangan Seremban yang sedia ada dan ini telah menyebabkan kesesakan yang kritikal di kawasan tersebut sehingga menjejaskan aliran trafik di laluan utama Lebuhraya Utara Selatan. Persimpangan bertingkat ini yang dilengkapi dengan sebuah plaza tol berkapasiti 12 lorong iaitu 7 lorong keluar dan 5 lorong masuk termasuk lorong elektronik turut mempunyai kemudahan surau dan tandas. Dalam majlis yang sama, YB Menteri Kerja Raya juga turut melancarkan Kempen Keselamatan Sempena Aidilfitri 2015. Beliau menyeru agar orang ramai berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri ini. Beliau menjangkakan akan berlaku peningkatan trafik yang agak ketara semasa musim cuti ini. Umpamanya di Lebuhraya Utara-Selatan di mana kadar peningkatan trafik adalah dianggarkan sebanyak 30%. Oleh itu, beliau meminta agar pemandu kenderaan memberi fokus yang lebih semasa pemanduan serta bersabar dan berhemah.

YB Menteri Kerja Raya turut mengumumkan bahawa beliau telah mengeluarkan arahan henti kerja (stop order work) di semua lebuh raya kecuali bagi kerja-kerja kritikal sahaja bermula dari 11 Julai 2015 sehingga 26 Julai 2015. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 4 hari iaitu pada 15 dan 16 Julai 2015, serta 24 dan 25 Julai 2015. YB Menteri Kerja Raya mengharapkan agar semua pemandu kenderaan mematuhi peraturan jalan raya yang sedia ada untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan lebuh raya.

1

MACHANG, 9 Julai 2015 – Kehadiran syawal kali ini amat disyukuri penerima rumah kekal mangsa banjir apabila mereka diraikan dalam satu majlis Penyerahan Rumah Kekal Mangsa Banjir di Kampung Kerilla, Temangan, Machang.  Penerima yang dirai pada majlis ini adalah penduduk sekitar Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof dan turut dihadiri Ahli Parlimen Machang, YB Datuk Ahmad Jazlan Bin Yaakub.

Pelaksanaan pembinaan rumah kekal mangsa banjir yang diterajui Kementerian Kerja Raya ini diberikan secara percuma kepada mangsa-mangsa yang rumah mereka musnah sepenuhnya atau tidak lagi boleh dibaiki.

Pembinaan penempatan kekal rumah jenis atas tanah bagi di kawasan tanah tinggi atau rumah dengan tiang konkrit yang dibina di kawasan tanah rendah ini berharga RM48 ribu sebuah berdasarkan Jadual Kadar Harga Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bagi negeri Kelantan, sebagaimana dipersetujui Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan yang dianggotai wakil Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, Kementerian Kerja Raya melalui JKR diberi tanggungjawab membina rumah kekal di empat (4) Jajahan iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang. 

1

PASIR PUTEH, 9 Julai 2015 – Penduduk sekitar Pasir Puteh kini menarik nafas lega apabila jaringan Jalan Pasir Puteh – Gong Kulim – Tok Bali telah dinaiktaraf bagi kemudahan dan keselesaan mereka.

Projek Menaiktaraf ini adalah sebuah projek Kerajaan Persekutuan yang menghubungkan Pasir Puteh ke Tok Bali melalui Jalan Gong Kulim yang terputus sejak pembinaan Terusan Semerak.

Perasmian projek naiktaraf ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof dalam satu majlis di tapak projek hari ini.  Dengan adanya sistem jalan raya ini, Bandar Pasir Puteh dapat dihubungkan terus ke Tok Bali yang akan dibangunkan sebagai Pelabuhan Perikanan di Asia Tenggara dan sekaligus memendekkan tempoh perjalanan.

Projek ini merangkumi pembinaan jalan baru sepanjang 10km dan kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 2.5km kepada piawaian JKR R5. Terdapat dua (2) buah jambatan baru yang dibina sepanjang 400m dan 40m yang merentangi Terusan Kemasin Semerak. Projek ini bermula dari Tok Bali melalui Gong Kulim dan berakhir di Pasir Puteh.

1

GERIK, 2 Julai 2015 – Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengambil langkah proaktif dalam pembinaan Jambatan Batu 6, Gerik, apabila mengaplikasikan inovasi dan kreativiti yang berteraskan teknologi terkini dan mesra alam.

Projek pembinaan dibawah peruntukkan Kementerian Kemajuan  Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ini menggunakan kaedah pembinaan teknologi konkrit iaitu Teknologi Ultra High Performance Concrete’ (UHPC) yang sesuai dibina di lokasi-lokasi yang  strategik kerana tidak memerlukan tiang di dalam sungai sekaligus mampu mengurangkan risiko pelanggaran sampah sarap seperti kayu balak terutamanya semasa banjir besar.

Jambatan yang siap dibina pada 17 Jun 2015 ini dibina dengan panjang 100 meter dan lebar 5 meter menyeberangi Sungai Perak. Berat jambatan konkrit UHPC  telah berkurangan 50% berbanding penggunaan kaedah konvensional selain mempunyai 40% kesan karbon yang rendah, menjadikannya mesra alam.

Jambatan bernilai RM6.3 juta ini telah dinobatkan sebagai jambatan konkrit satu rentang yang terpanjang di Malaysia menggunakan UHPC oleh ’The Malaysia Book Of Records’ dan upacara penyerahan sijil telah diadakan di tapak pembinaan jambatan ini dengan YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya telah menerima sijil tersebut.

1

GERIK, 2 Julai 2015 - Bagi menghargai jasa dan pengorbanan Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dalam pembinaan projek Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (Grik, Perak – Jeli, Kelantan) ini satu Tugu Peringatan telah didirikan dan bakal menjadi monumen rujukan pelapis akan datang.

Tugu ini telah dibina pada tahun 1994 dan kini ia telah dinaiktaraf dengan infrastruktur yang lebih baik pada awal tahun 2015 dengan Kos RM 395,000.00.  Tugu ini dibina di tapak asal peristiwa serangan hendap oleh pihak komunis terhadap pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota Pegawai Keselamatan pada 23 Mei 1974.  Dalam tragedi tersebut, sebanyak 63 buah jentera JKR telah diletupkan.  Dalam satu lagi peristiwa serangan hendap pada 27 Ogos 1974, seramai 3 orang kakitangan JKR telah terkorban. 

Perasmian tugu ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya dalam satu majlis yang dihadiri oleh bekas kakitangan JKR dan waris yang pernah terlibat dalam pembinaan JRTB dan mereka telah menerima sumbangan daripada Menteri atas bakti yang mereka taburkan.

Pembinaan projek Jalan Raya Timur Barat (JRTB) ini telah dilaksana sepenuhnya oleh Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terdiri dari semua lapisan jawatan. Ia merupakan satu pendedahan secara ‘hands on’ terhadap kaedah kerja yang sebenar walaupun ia berisiko tinggi keatas keselamatan mereka.

Panjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB) adalah 123 kilometer dan telah dibina dengan kos sebanyak RM205 juta.  Ia merupakan salah satu laluan utama yang menghubungkan kawasan Barat dengan kawasan Timur Semenanjung Malaysia (Negeri Perak dan Kelantan).  Pembinaanya bermula dari tahun 1967 sehingalah dibuka kepada umum pada 1 Julai 1982.  Salah satu skop yang terlibat ialah pembinaan jambatan merentasi Tasik Banding yang menggunakan teknologi yang terkini pada ketika itu.