Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

PERASING, 28 Oktober 2015 – Bagi menilai keadaan permukaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) secara lebih dekat, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan kerja untuk menilai sendiri jajaran LPT2 bermula hentian rehat dan rawat Perasing hingga ke persimpangan Chukai, Terengganu menggunakan jentera pengimbas permukaan jalan syarikat IKRAM.

Pihak media turut dibawa bersama dalam lawatan ini bagi mendapatkan gambaran sebenar seterusnya memperbetulkan persepsi rakyat terhadap tahap keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya tersebut ekoran laporan statistik kemalangan yang tinggi sejak pembukaannya.

Satu sesi sidang media turut diadakan di akhir lawatan oleh pihak Kementerian Kerja Raya (KKR), pasukan projek LPT2 dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menerangkan punca-punca kemalangan yang berlaku serta langkah-langkah mitigasi dan proaktif yang telah dan sedang diambil bagi menangani punca kemalangan tersebut.

Berdasarkan kepada analisa statistik kemalangan di LPT2 bermula tarikh 1 Februari 2015 hingga 25 Oktober 2015, didapati punca utama kemalangan di LPT2 adalah faktor manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi hadlaju terutamanya di waktu hujan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan yang telah ditetapkan.

Menurut laporan statistik juga, sebanyak 717 kemalangan berlaku di jajaran LPT2 bermula dari Jabor hingga Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu antara 1 Februari 2015 hingga 25 Oktober 2015. Daripada jumlah itu, 77 peratus (551 kemalangan) berpunca daripada faktor manusia.

Faktor persekitaran pula sebanyak 14 peratus (99 kemalangan) yang melibatkan pencerobohan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau serta haiwan liar ke dalam rezab lebuhraya serta terdapat lokasi air bertakung.  Selebihnya sebanyak 9 peratus (67 kemalangan) adalah faktor kenderaan.

Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor hingga Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu pada tahun 2006 telah siap secara berperingkat dimana ia dibuka kepada trafik sepenuhnya pada 31 Januari 2015.  Jajaran LPT2 ini merupakan kesinambungan jajaran lebuhraya LPT1 bermula dari Karak hingga Jabor.

1

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2015 - Sebanyak empat kumpulan bertanding mempamerkan cetusan kreativiti dan inovasi pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kementerian Kerja Raya (KKR) tahun ini di mana 1 dari Kategori Teknikal dan 3 dari Kategori Pengurusan.

Kumpulan tersebut adalah INSPIRA daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk kategori Teknikal, manakala bagi kategori Pengurusan pula kumpulan PRISMA daripada Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah, kumpulan PRO-OPS dan kumpulan SUKSES daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Kriteria penilaian bagi kedua-dua kategori anugerah ini dinilai dari aspek penilaian projek KIK melalui dokumentasi, penilaian persembahan projek KIK dan penilaian pameran projek KIK.

Perasmian konvensyen ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bertempat di Dewan Tanjung, Kompleks Kerja Raya. 

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kementerian Kerja Raya (KKR) mula dilaksanakan pada tahun 2010 selaras dengan Panduan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang telah dikeluarkan oleh MAMPU pada 1 November 2009. Konvensyen ini adalah merupakan penambahbaikan dan penjenamaan semula terhadap Pertandingan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) yang  telah  diperkenalkan oleh Kerajaan sejak tahun 1991.

Program ini bertujuan mengiktiraf anggota organisasi sebagai sumber paling bernilai dengan menyediakan forum kepada mereka untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan dan seterusnya melaksanakan tindakan yang diputuskan secara berpasukan. Konvensyen ini adalah merupakan sebahagian daripada aktiviti utama di bawah Program Peningkatan Kualiti dan Inovasi Tahunan KKR.

Konvensyen KIK KKR dilaksanakan sebagai salah satu program di bawah Minggu Inovasi KKR 2015 dan para pemenang akan diraikan pada Hari Inovasi KKR yang turut dirangka sebagai pengisian minggu inovasi ini. 

1

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2015 - CIDB Malaysia dan International Council for Research and Innovation in Building and Construction (CIB) dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya Malaysia telah menganjurkan persidangan antarabangsa kali ke-4, Construction Industry Research Achievement International Conference (4th CIRAIC 2015).

4th CIRAIC 2015 merupakan persidangan yang dianjurkan setiap dua tahun sekali dan persidangan pada kali ini bertemakan ‘Global Sustainable Construction Beyond 2020’ yang memberi fokus kepada tajuk pembinaan hijau dan kelestarian, perumahan mampu milik, bahan binaan inovatif, Building Information Modeling (BIM) dan juga Mechanisation, Modernisation, Industrialisation (MMI). 

Melalui persidangan ini, teras strategi yang terkandung di dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP 2016-2020) telah dibincangkan dengan penglibatan pakar antarabangsa menerusi usahasama penyelidikan Construction Research Institute of Malaysia (CREAM). 

Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof telah merasmikan persidangan ini.  Turut dilancarkan pada majlis sama ialah Garis Panduan Pembinaan di atas Tanah Gambut di Malaysia yang dihasilkan oleh CREAM/ CIDB.

Garis panduan ini dihasilkan melalui pembentukan Jawatankuasa Kerja Teknikal yang terdiri daripada pakar-pakar geoteknikal dan profesional tempatan. Ia bakal menjadi panduan terbaik dengan mengambil kira kos pembinaan yang efektif, kaedah rawatan yang optimum bagi tanah gambut.  Antara pihak yang bakal mendapat manfaat penghasilan garis panduan ini ialah kerajaan, jurutera perunding dan kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang sedang berjalan. 

1

PUTRAJAYA, 20 Oktober 2015 – Sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk membangunkan dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia melalui peningkatan bidang kemahiran, Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2015 telah diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada tenaga mahir negara.

Penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2015 ialah Mohammad Tarmizi bin Abu Hassan, pelatih daripada Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang yang bertanding dalam bidang Information Network Cabling.  Anugerah telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

MATEPM 2015 merupakan anugerah tertinggi bidang kemahiran negara untuk dua kategori pertandingan kemahiran iaitu Worldskills Malaysia Belia (WSMB) dan Worldskills Malaysia Pengajar (WSMP).  

1

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2015 – Menyedari akan kepentingan menyemai dan menyemarakkan penggunaan Bahasa Kebangsaan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dan Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) telah menganjurkan Kursus Eksplorasi 'Bahasa Budaya Bangsa'.

Peserta kursus eksplorasi Bahasa ini dibahagikan kepada empat kumpulan dan mereka ditugaskan untuk menyemak penggunaan tatabahasa di papan tanda jalan di sepanjang laluan kembara iaitu Jalan Persekutuan daripada Kuala Lumpur menuju ke Melaka. Peserta turut berpeluang untuk melawat Teratak Zaaba di Negeri Sembilan bagi mempelajari sejarah perkembangan Bahasa Melayu di negara ini.

Hasil penemuan semua kumpulan telah dibentangkan untuk dinilai panel dilantik urusetia kursus.  Terdahulu, acara pelepasan peserta telah diadakan di perkarangan Lobi Blok A, Kompleks Kerja Raya oleh YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

1

KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2015 – Selaras dengan penganjuran Hari Sukan Negara di seluruh Negara, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama-sama agensi telah menganjurkan Hari Sukan Negara peringkat KKR 2015 bertempat di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras.

Pelbagai acara yang berkait rapat dengan gaya hidup sihat telah di atur pihak penganjur antaranya, senamrobik, explorace, aktiviti sukan (indoor games), peraduan untuk kanak-kanak disamping cabutan hadiah bertuah kepada semua pengunjung yang hadir.

Dengan bertemakan “Jom Turun Padang”, acara ini telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof dan turut dihadiri pengurusan tertinggi Kementerian, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bersama keluarga masing-masing.

1

JOHOR BAHRU, 5 Oktober 2015 - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengadakan Pertandingan Kemahiran Malaysia yang juga kini dikenali sebagai Worldskills Malaysia Belia (WSMB) ke-43 peringkat akhir dari 2 hingga 6 Oktober 2015 di Akademi Binaan Malaysia (ABM), Wilayah Selatan Johor. Majlis Penutup Perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof Menteri Kerja Raya hari ini.

WSMB merupakan pertandingan kemahiran yang dianjurkan bertujuan memilih dan mengiktiraf belia dan pekerja mahir yang mempunyai kemahiran unggul dan berpeluang untuk mewakili Malaysia ke  ASEAN Skills Competition (ASC) dan  World Skills Competition (WSC) selain bertindak sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang pentingnya bidang kemahiran kepada pembangunan negara.

Pertandingan ini melibatkan sembilan bidang kemahiran sedia ada iaitu bidang welding, electrical installations, plumbing & heating, bricklaying, painting & decorating, joinery, wall & floor tiling, refrigeration & air conditioning dan mechanical engineering design. Tiga bidang kemahiran tambahan turut dipertandingkan iaitu scaffolding erection, mobile crane operation dan rooftruss installation yang merupakan bidang yang amat berpotensi dalam industri pembinaan.

Pertandingan ini menarik seramai 1000 orang penggiat industri pembinaan seperti pembekal bahan guna habis, peserta pertandingan, para jurulatih, pakar-pakar bidang dan institusi latihan kemahiran bertujuan untuk berkongsi idea dan memperkenalkan teknologi baru dalam pembinaan bagi peningkatan kecekapan produktiviti industri pembinaan melibatkan bidang yang dipertandingkan.

1

SUNGAI BULOH, 28 September 2015 – Membudayakan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tempat kerja adalah tanggungjawab mandatori majikan dan setiap individu di tempat kerja dan ini termasuklah di kawasan tapak binaan kerana ia mampu membantu organisasi mencegah kemalangan di tempat kerja. Justeru, satu kerjasama strategik telah dijalin melalui satu Memorandum Pesefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh pihak Mass Rapid Transit  Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn. Bhd. CIDB dan NIOSH bagi melaksanakan program kesedaran, kemahiran dan kompetensi terutamanya bagi aktiviti berisiko tinggi, perundingan dan perkongsian maklumat dan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan KKP.  Pemeteraian MoU ini disaksikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya.

Pada majlis yang sama, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof juga telah merasmikan Pusat Latihan KVMRT, sebuah pusat yang ditubuhkan hasil inisiatif usahasama antara MRT Corp dan MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP). Pusat latihan yang terletak berdekatan dengan Depoh MRT Sungai Buloh ini ditubuhkan untuk  menyediakan prasarana bagi meningkatkan kesedaran dan tahap kemahiran kakitangan serta pekerja yang terlibat dalam projek KVMRT dari aspek KKP dan seterusnya menerapkan budaya kerja selamat dan sihat dikalangan pekerja. Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Menteri Kerja Raya melahirkan rasa gembira atas komitmen empat organisasi tersebut untuk menjalinkan kolaborasi antara satu sama lain bagi mewujudkan program kerjasama bersama dan aktiviti-aktiviti yang akan membangunkan, meningkatkan dan mengekalkan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (KKP) dan penyampaian maklumat serta program peningkatan untuk projek KVMRT.

1

SEMATAN, 15 September 2015 - Lebih 5000 penduduk sebelah barat Sarawak iaitu sekitar Lundu, Sematan dan Telok Melano yang hadir di Majlis Memulakan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) jajaran Sarawak, teruja kerana pembinaan Jajaran Telok Melano ke Sematan sepanjang 32.7 kilometer ini bakal memberi kesan positif kepada mereka.

Apabila siap kelak ia bakal memberi kesan langsung kepada penduduk Sarawak melalui peluang dalam sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan bertindak sebagai pemangkin kepada pusat-pusat pertumbuhan baharu ekonomi serta akan menjadi jalan penghubung strategik serta memberi keselesaan perjalanan dan selamat kepada pengguna jalan raya di Sarawak.

Ia turut digambarkan sebagai lembaran baharu jalan penghubung yang efisien bagi rakyat Sarawak kerana pada masa ini, jalan perhubungan antara Telok Melano ke Sematan hanyalah melalui jalan laut dengan menaiki bot dengan jarak perjalanan hingga dua jam.

Pembinaan jajaran Telok Melano ke Sematan ini merupakan komponen kedua Lebuhraya Pan Borneo Sarawak selepas pembinaan jajaran simpang Nyabau ke Bakun sepanjang 43 kilometer yang dilancarkan Mac lalu. Pakej jajaran Telok Melano-Sematan ini melibatkan pembinaan jajaran baharu satu lorong dua hala (single carriageway) dengan kos RM700 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2018. 

Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Razak telah menyempurnakan majlis perasmian jajaran ini dan beliau diiringi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof , Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta pegawai kanan kerjaan Persekutuan dan Negeri.

Lebuhraya Pan Borneo merupakan projek mega berskala besar dengan komitmen kewangan tinggi di pihak kerajaan, justeru kerajaan memutuskan supaya pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dilaksanakan melalui kaedah ‘Project Delivery Partner’ (PDP) yang mana pembiayaan projek akan dibuat sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan melalui Dana Infra.

1

KUALA LUMPUR, 14 September 2015 – Menyedari akan kepentingan untuk mengawalselia dan memantau pembinaan bangunan dan infrastruktur di lereng-lereng bukit, Kementerian Kerja Raya Malaysia melalui agensinya, Jabatan Kerja Raya bersama-sama Kumpulan Ikram Sdn Bhd. telah menganjurkan Konferen Cerun Antarabangsa (ICS) 2015 bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Konferen edisi keempat ini telah menghimpun pakar kejuruteraan cerun tempatan dan luar negara bagi membincangkan isu dan permasalahan yang berkaitan dengan pengurusan cerun bagi memastikan pembangunan sosio ekonomi yang lestari di kawasan yang berisiko seperti di kawasan bermuka bumi berbukit.

 

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof melalui ucapan perasmian konferen ini berkata, pelbagai langkah telah dan sedang diambil pihak Kementerian dalam memantapkan pengurusan cerun seperti penubuhan Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR pada 2004 yang telah berjaya menghasilkan dan membangunkan Pelan Induk Cerun Nasional 2009-2023 yang mengandungi formula strategi rangka kerja, pemetaan dan penilaian risiko, sistem amaran awal dan pengawasan cerun. Beliau turut berharap, konferen ini bakal menjadi satu platform dan inisiatif terbaik dalam menghasilkan pengurusan kejuruteraan cerun yang lebih baik serta dapat mencari penyelesaian dan penambahbaikan dalam meminimakan risiko kemalangan seperti tanah runtuh dalam pembangunan di lereng bukit di seluruh negara.