Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Persimpangan Bertingkat Bandar Serenia Di Lebuh Raya Elite Kini Dibuka

BANDAR SERENIA, 26 NOVEMBER 2018:- Persimpangan Bertingkat Bandar Serenia yang terletak di antara Persimpangan Bertingkat Nilai Utara dan juga Persimpangan Bertingkat KLIA di Lebuh raya ELITE kini dibuka kepada orang ramai bermula jam 12:01 pada 27 November 2018 dan perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian.

Setelah dibuka kelak, pengguna dari Bandar Serenia, Kota Warisan, Ampar Tenang, Dengkil, Bandar Salak Tinggi dan kawasan sekitarnya akan mempunyai akses yang mudah dan cepat ke Lebuhraya ELITE. Ini sekaligus memudahkan serta memendekkan masa dan jarak perjalanan penduduk sekitar disamping berupaya memangkin pembangunan di kawasan-kawasan tersebut.

Sebelum ini, pengguna perlu melalui Plaza Tol Nilai, KLIA atau Putrajaya untuk memasuki lebuh raya. Kini, pengguna daripada pekan Dengkil dan Kota Warisan akan dihubungkan ke lebuh raya ELITE di KM35 menerusi Jalan Salak Tinggi-Putrajaya (FT 29).

Projek pembinaan persimpangan bertingkat yang menelan kos RM91.6 juta ini telah dimulakan pada penghujung Disember 2015 selaras dengan ketetapan di dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya ELITE.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Sr. Aziz Abdullah, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

1

Lawatan Kerja Tapak Cadangan Hospital Baru Sri Aman, Sarawak

SRI AMAN, SARAWAK, 24 NOVEMBER 2018 - Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Tuan Baru Bian mengadakan lawatan kerja meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Hospital Baru Sri Aman, Sarawak. Projek ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebagai usaha kerajaan untuk mempertingkatkan taraf kemudahan kesihatan untuk rakyat.

Pada masa ini pembinaan hospital kini adalah di fasa 2 iaitu masih di dalam peringkat pembinaan manakala fasa 1 iaitu kerja-kerja tanah telah pun siap pada 29 Ogos 2013. Luas keseluruhan tapak projek ini kira-kira 51 ekar dan projek pembangunan pada masa ini melibatkan 15 ekar.

Apabila siap kelak hospital ini bakal menempatkan kemudahan sebanyak 108 katil yang melibatkan beberapa kemudahan perubatan iaitu klinik pakar, unit pesakit luar, unit kecemasan, unit hemodialisis, unit rehabilitasi, unit patologi, unit sinaran, wad ibu bersalin, wad obstetrik, farmasi, rumah mayat, ICU dan RHU, unit jagaan harian, unit pembedahan, wad perubatan dan pediatrik.

Kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan Hospital ini adalah Faltech Engineering Sdn. Bhd. JV Welfield Services Sdn. Bhd. dengan kos kontrak sebanyak RM176 juta. Satu lanjutan masa sehingga 3 Ogos 2019 telah diluluskan mengikut syarat-syarat kontrak atas sebab teknikal di tapak projek. Kemajuan kerja terkini adalah 44 peratus berbanding 60 peratus yang dijadualkan iaitu lewat 14 peratus.

Diharapkan usaha kerajaan ini dapat memberi manfaat kepada peningkatan taraf kesihatan penduduk terutamanya penduduk di sekitar Sri Aman yang dianggarkan seramai 93,379 orang. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan masyarakat luar bandar juga menerima kemudahan kesihatan yang setaraf dengan masyarakat bandar.

1

Majlis Meraikan Persaraan Warga Kerja Raya 2018

KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER 2018 - Satu majlis bagi menghargai jasa dan bakti para pesara yang terdiri daripada Warga Kerja Raya iaitu Majlis Sanjungan Budi Tahun 2018 telah dianjurkan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) bertempat di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya.

Seramai 19 daripada 34 pesara dan bakal pesara bersama keluarga telah meluangkan masa hadir bagi menerima Sijil Penghargaan dan Sijil Simpanan Premium BSN daripada Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian. Ada antara pesara ini yang telah berkhidmat dengan Kerajaan untuk tempoh melebihi 40 tahun.

Program sebegini merupakan terjemahan keprihatinan majikan terhadap kaitangan yang telah menyumbangkan tenaga, buah fikiran dan pengorbanan dalam memastikan organisasi dapat beroperasi dengan baik dan lancar selaras dengan halatuju teras perkhidmatan Kementerian.

1

Malam Anugerah Kewartawanan Lebuhraya Pantai Timur 2018

KUANTAN 18 NOVEMBER 2018 - Malam Anugerah Kewartawanan LPT 2018 atau lebih dikenali sebagai AKLPT18 anjuran ANIH Berhad telah berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan bertujuan mengiktiraf pengamal media tempatan yang telah menghasilkan karya-karya mengenai Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 yang dianggap terbaik bagi tempoh 2016 hingga 2017.

Anugerah telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir dan YBhg. Datuk Nik Fauzi bin Tan Sri Dr Nik Hussein, Pengarah Eksekutif ANIH. TV3 telah memenangi kategori Berita TV Cemerlang, Harian Metro untuk Kewartawanan Foto Cemerlang dan Utusan Malaysia kategori Laporan Berita Cemerlang. Bernama telah menerima dua anugerah iaitu Penulisan Rencana Cemerlang dan Trofi Tan Sri Dr Nik Hussain. Kesemua pemenang membawa pulang Sijil, Trofi dan wang tunai.

Penilaian anugerah adalah berdasarkan laporan yang konsisten dan tidak bias serta tidak bercanggah dengan profesionalisme tinggi pengamal media serta mematuhi etika kewartawanan serta memaparkan maklumat dari sumber-sumber rasmi dan sahih. Proses penjurian telah dilakukan barisan juri berwibawa iaitu YBhg. Dato’ Yong Soo Heong, YBhg. Dato’ Ahmad Talib, YBhg. Dato’ Mior Kamarulbaid Mior Shahid dan Tuan Syed Agil Syed Jaafar.

Usaha ANIH Berhad ini seharusnya menjadi perangsang dan pendorong untuk konsesi lain, khususnya konsesi yang memiliki jajaran lebuh raya di bahagian utara, tengah atau selatan tanah air untuk turut sama menghasilkan anugerah sebegini dan mengiktiraf sumbangan dan peranan wartawan dalam meningkatkan kesedaran umum tentang isu-isu penting berkaitan lebuh raya.

1

Lawatan Sulung Menteri Kerja Raya Dan Timbalan Menteri Kerja Raya Ke LLM Wilayah Timur Dan Anih BHD

KUANTAN, 18 November 2018 – YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya buat julung kalinya mengadakan lawatan ke Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur dan konsesi kepada Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad.

Lawatan itu bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat aspek operasi dan penyenggaraan yang dilaksanakan oleh LLM Wilayah Timur dan ANIH Berhad. Semasa sesi lawatan, delegasi telah diberikan taklimat ringkas oleh Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), LLM; dan Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein, Pengarah Eksekutif ANIH Berhad berkaitan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa terjamin.

Taklimat oleh pihak LLM turut merangkumi antara lain kesan positif Lebuhraya KLK, LPT 1 dan LPT2 kepada rakyat di koridor Pantai Timur, tindakan yang diambil syarikat konsesi di dalam persediaan hal-hal luar jangka khususnya membabitkan bencana banjir serta mengurangkan isu kemalangan terutamanya melibatkan haiwan liar dan ternakan di LPT2 yang menjadi isu sensitif sebelum ini.

Kadar kemalangan yang melibatkan haiwan liar dan ternakan telah mencatatkan penurunan sebanyak 47.2% berbanding tahun sebelumnya hasil tindakan yang berterusan diambil oleh pihak konsesi didalam memastikan pagar sentiasa diselenggara dengan baik dan pembinaan perangkap serta halangan di lokasi yang kerap dimasuki haiwan liar dan ternakan ini.

Dalam tempoh 2014 hingga tahun ini, ANIH Berhad telah melabur hampir RM1 bilion untuk pengurusan termasuk menaiktaraf dan menyenggara Lebuhraya KLK dan LPT 1 khusus untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa terjamin.

Penyediaan 5 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta 7 hentian sebelah di sepanjang lebuh raya ini juga menyediakan platform kepada peniaga tempatan dan pengusaha kecil untuk mempromosikan jualan produk setempat serta menggalakkan mereka berniaga.

1

Kejohanan Sukan Kerja Raya 2018

IPOH, 14 NOVEMBER 2018 - Kejohanan Sukan Kerja Raya 2018 (SKR 2018) kali yang ke-9 anjuran Kementerian Kerja Raya, JKR Negeri Perak dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) telah diadakan di sekitar Ipoh, Perak selama 4 hari bermula 14 haribulan November hingga 17 haribulan November 2018.

Pada kejohanan kali ini, Kontinjen PLUS telah berjaya meraih gelaran juara keseluruhan kejohanan dengan meraih kutipan 4 emas, 5 perak dan 1 gangsa.

Penganjuran temasya sukan dwitahunan ini telah dirasmikan pembukaannya oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd. Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, manakala perasmian penutupannya oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Pada SKR 2018 kali ini, sebanyak 26 bilangan kontinjen telah turut serta dalam 16 acara sukan yang dipertandingkan dengan melibatkan seramai 1,585 orang peserta. Acara yang dipertandingkan adalah bola sepak, bola jaring, bowling, golf, badminton, bola tampar, sepak takraw, dart, karom, ping pong, catur, futsal, boling padang dan mountain bike.

Sukan Kerja Raya mula dianjurkan pada tahun 1999, bertujuan untuk meningkatkan persahabatan, dan rangkaian di kalangan warga Kementerian, agensi dan syarikat-syarikat konsesi menerusi sukan, di samping menggalakkan gaya hidup yang sihat.

1

KUALA LUMPUR, 13 NOVEMBER 2018 - Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) telah menganjurkan Konvensyen Persekutuan Persatuan Kontraktor Asia dan Pasifik Barat (IFAWPCA) kali ke-44 bagi tahun 2018 yang berlangsung pada 12 hingga 16 November 2018 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre.

Majlis Pembukaan Konvensyen IFAWPCA 2018 ini telah dilancarkan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dengan membawa tema ; “Strategic Alliance with Innovation and Human Capital”- Perikatan Strategik Dengan Inovasi dan Modal Insan. Lebih 1,000 wakil pihak Industri Binaan daripada 19 buah negara berbeza yang menghadiri konvensyen kali ini. Konvensyen IFAWPCA 2018 ini juga telah mendapat sokongan yang padu daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Konvensyen Malaysia dan Biro Pameran (MyCEB).

Pada 14hb November 2018, edisi kedua: Building & Construction Conference 2018 Global Mega Wave telah berlangsung juga di Kuala Lumpur Convention Centre. Persidangan ini melibatkan 11 orang panel antarabangsa yang ternama. Selain itu, persidangan ini juga turut membincangkan cabaran-cabaran yang senantiasa dihadapi oleh industri pembinaan termasuklah faktor luaran yang tidak dapat dijangka seperti turun naik harga bahan mentah, persaingan di alaf baru dan juga perubahan ekonomi global menuju Revolusi Industri 4.0.

Konvensyen IFAWPCA 2018 ini juga merupakan suatu platform bagi menyuarakan hal-hal berkaitan industri pembinaan yang sangat baik bagi wakil-wakil daripada industri pembinaan daripada seluruh Asia dan Pasifik Barat, sebagai pemangkin bagi pembangunan dan pertumbuhan industri pembinaan yang lebih mampan di masa hadapan.

1

IPOH, 12 NOVEMBER 2018 - Program “Day Out with CEO 2018” adalah satu platform untuk Kementerian Kerja Raya Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta syarikat-syarikat konsesi mewujudkan peluang dan ruang bagi membincangkan isu-isu semasa dalam industri serta membuat rumusan dalam menjamin kelangsungan kemajuan industri lebuhraya khasnya.

Program selama dua hari bermula 12 dan 13 November 2018 ini telah dirasmikan pembukaannya oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya dan turut dihadiri YBhg. Dato’ Sr. Aziz bin Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia merangkap Penaung Jawatankuasa Penganjur Program ini.

Program yang telah masuk tahun ke-5 penganjurannya ini menyediakan senarai pembentangan daripada pihak kerajaan seperti DOSH, USM, MIMOS, PLUS, TOUCH ‘N GO dan beberapa agensi lain yang berkongsi pengalaman serta ilmu menjurus kepada perspektif berkenaan industri lebuhraya untuk dijadikan panduan dalam membawa industri ini ke peringkat yang lebih cemerlang di masa akan datang bersesuaian dengan tema yang dipilih iaitu ‘TOMORROW: THE INSIGHT OF TOLL HIGHWAY INDUSTRY’.

Turut diadakan pada program ini adalah Majlis Penganugerahan kepada syarikat konsesi yang memperolehi ‘score rating’ tertinggi yang diperkenalkan oleh LLM yang menjadi elemen pengukuran pencapaian prestasi berdasarkan aspek pengurusan dan operasi lebuhraya secara menyeluruh termasuk penyelenggaraan dan ketahanan struktur aset lebuhraya (durability). ‘Rating’ ini bertujuan untuk menyuntik semangat daya saing yang sihat di kalangan syarikat konsesi lebuhraya demi menyampaikan perkhidmatan yang cekap, selamat dan selesa sepanjang pemanduan pengguna dilebuhraya bertol di Malaysia.

1

Penyerahan Projek Pembinaan Semula Dan Menaik Taraf Sekolah Daif Negeri Sembilan Menggunakan IBS

PORT DICKSON, 8 NOVEMBER 2018 – Satu majlis penyerahan Projek Pembinaan Semula dan Menaik Taraf Sekolah Daif Negeri Sembilan Menggunakan Kaedah Industrialised Building System (IBS) di Semenanjung Malaysia (Fasa 1) Tahun 2018 telah diadakan dan disempurnakan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia.

Majlis Penyerahan Projek oleh pihak kontraktor kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seterusnya kepada pihak pelanggan iaitu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang diwakili Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan telah diadakan di SK Si Rusa dan melibatkan dua buah sekolah daripada Pakej 2 iaitu SMK Datuk Haji Abd Samad dan SK Si Rusa.

Sebanyak 12 buah sekolah terlibat bagi program ini di Negeri Sembilan iaitu melibatkan 3 pakej iaitu Pakej 1 (Daerah Seremban/Jelebu) - SK Simpang Durian, SK Batang Benar, SK Desa Jasmin, SK Sikamat, SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Pakej 2 (Daerah Port Dickson/Rembau) - SMK Datuk Haji Abd Samad, SK Si Rusa, SK Seberang Batu Hampar manakala Pakej 3 (Daerah Kuala Pilah) iaitu SJKC Pei Chun,Dangi, SK Tapak, SJKC Yuk Hua Juasseh dan SK Inas dengan jumlah keseluruhan kos pembinaan sebanyak RM15,029,480.00.

Program yang merupakan projek dalam Rancangan Malaysia Ke sebelas (RMKe-11) ini menggunakan teknologi IBS sepenuhnya dan bertujuan memberikan keselesaan dan keselamatan kepada para pelajar dan guru yang menggunakan bangunan sekolah yang dikenalpasti uzur serta strukturnya didapati tidak dapat berfungsi dengan baik.

1

Sambutan Hari Integriti Dan Hari Psikologi 2018 KKR

KUALA LUMPUR, 1 NOVEMBER 2018 – Unit Integriti dan Cawangan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KKR telah menganjurkan Hari Integriti dan Hari Psikologi 2018 yang bertemakan “Keluhuran Integriti, Paksi Minda Insani”.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya yang mewakili Menteri Kerja Raya. Antara objektif penganjuran sambutan ini adalah memupuk kesedaran dalam kalangan anggota di Kementerian dan Agensi-agensi lain di bawahnya mengenai keperluan dan kepentingan membina nilai-nilai murni dan berintegriti serta meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kesihatan mental dan menyediakan peluang dalam mendidik dan keperluan menjaga kesihatan mental.

Pelbagai program telah di atur bagi memeriahkan sambutan ini seperti Pentaulihan Ahli AKRAB, penyampaian Anugerah AKRAB Unggul, rawatan refleksologi, advokasi Orang Kelainan Upaya (OKU), pemeriksaan kesihatan, pameran agensi Kerajaan seperti DBKL, PTPTN serta sesi Ujian Psikologi. Turut diadakan adalah Bicara Integriti bertajuk “Jangan Jadi Manusia Zombi” dan Bicara Psikologi bertajuk “Viral: Satu Disorder”.

Sejak tahun 2005, Hari Integriti Kebangsaan disambut pada 5 November setiap tahun bersempena dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hari Psikologi pula disambut selari dengan sambutan Hari Kesejahteraan Mental Sedunia yang diisytiharkan oleh World Health Organization (WHO) pada 10 Oktober setiap tahun.