Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Lawatan Kerja Menteri Kerja Raya Ke Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 10 JANUARI 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian telah melawat Iskandar Regional Development Authority (IRDA) di Danga Bay, Johor Bahru dan telah disambut oleh Ketua Eksekutif RDA, YBhg. Datuk Ismail Ibrahim. Turut serta dalam lawatan ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan.

Sejurus tiba, YB Baru Bian telah dibawa melawat ke Iskandar Experiental Centre (IMEx) yang merupakan sebuah pusat sehenti (one-stop centre) yang menawarkan maklumat dan pengalaman baharu mengenai inisiatif Iskandar Malaysia sebagai sebuah Bandaraya Pintar (Smart City). Pusat sehenti ini telah dirasmikan sendiri oleh Menteri Besar Johor iaitu Dato’ Osman bin Sapian, merangkap Pengerusi Bersama IRDA bersama Perdana Menteri pada 12 Ogos 2018 yang lalu.

IRDA adalah sebuah badan berkanun Kerajaan Persekutuan yang ditugaskan dengan objektif untuk mengawal selia dan memacu pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta ke arah merealisasikan wawasan untuk membangunkan Iskandar Malaysia menjadi metropolis antarabangsa yang kukuh dan lestari.

1

Lawatan Penandaarasan EKSA KKR ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

PUTRAJAYA, 8 JANUARI 2019 - Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan satu lawatan penandaarasan EKSA ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang telah diwakili oleh Ahli Jawatankuasa EKSA KKR seramai 30 orang peserta dan diketuai oleh Puan Suhana Binti Md Sherif @ Md Sharif, KPSU Cawangan Pengurusan Kualiti, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP)

. Lawatan ini diadakan bagi melihat dengan lebih dekat cara warga kerja JPN khususnya Ahli Jawatankuasa terlibat melakukan kerja - kerja berkaitan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dengan menerapkan nilai - nilai murni dan kerjasama diantara pegawai - pegawai unit dan cawangan JPN.

Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat oleh pegawai promosi EKSA JPN dan seterusnya pelawat dibawa melawat ke setiap cawangan dan penerangan telah diberikan secara lebih terperinci bagaimana EKSA di setiap unit dilakukan dengan pembahagian tugas, penyusunan semula kawasan Emergency Respons Team (ERT) serta penggunaan bahan terbuang atau kitar semula untuk sudut informasi dan sudut Go Green.

Lawatan ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada warga kerja raya melihat dengan lebih dekat lagi hasil kerja dan kreativiti pegawai terlibat yang dilakukan dengan mengunakan bahan - bahan terbuang dan yang boleh di kitar semula bagi tujuan penjimatan.

Turut terlibat dalam lawatan ini ialah AJK EKSA dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Sesi lawatan dan taklimat berakhir dengan perbincangan serta pertukaran pendapat kedua belah pihak dan acara bergambar bersama pihak urusetia JPN.

1

Pelancaran MS 2701: 2018 Civil Engineering Standard Method Of Measurement

KOTA KINABALU, SABAH, 8 JANUARI 2019 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia (JSM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran MS 2701 : 2018 atau Malaysia Standard Civil Engineering Standard Method of Measurement (MSCESMM) yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian.

Pada tahun 2011, CIDB telah memperkenalkan MyCESMM yang bertujuan untuk mengurangkan kekeliruan mengenai kaedah-kaedah pengukuran, huraian dan definisi, serta liputan kerja bagi setiap item yang dihargakan. CIDB dan JSM telah bekerjasama menaiktaraf dokumen MyCESMM kepada dokumen Standard Malaysia yang kini dikenali dengan MS 2701: 2018 (MSCESMM) dengan tujuan untuk menggalakkan amalan terbaik dalam penyeragaman pengukuran dan penyediaan kuantiti kerja-kerja kejuruteraan sivil melalui penggunaan satu standard yang bertaraf antarabangsa.

Bersempena majlis ini juga turut diadakan upacara pertukaran memorandum persefahaman antara CIDB dan BHP PDP Sdn Bhd iaitu agensi pelaksana teknikal yang akan menggunakan MS 2701: 2018 dalam kerja-kerja kejuruteraan sivil mereka. Sehingga kini sebanyak 31 agensi teknikal dan bukan teknikal dari sektor awam dan juga swasta telah berkolaborasi dalam penggunaan MyCESMM.

1

Lawatan Kerja Menteri Kerja Raya Ke Pejabat LLM Wilayah Utara

PULAU PINANG, 4 Januari 2019 – YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya buat julung kalinya mengadakan lawatan ke Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara untuk melihat dengan lebih dekat aspek keselamatan operasi dan penyenggaraan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut.

Semasa sesi lawatan, delegasi telah diberikan taklimat oleh YBhg. Dato’ Sr. Aziz Bin Abdullah, Ketua Pengarah LLM berkaitan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan lebuh raya dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa terjamin. YB Menteri seterusnya telah diberi penerangan oleh pihak PLUS Berhad berkenaan aspek pengurusan jambatan yang dilaksanakan di Jambatan Pulau Pinang yang merupakan antara nadi utama pengangkutan di negeri ini.

YB Menteri turut dimaklumkan berkenaan sesi pemeriksaan major yang telah siap dilaksanakan pada bulan Julai 2018 merangkumi pemeriksaan pada struktur cable-stay jambatan berkenaan. Selain itu, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) turut berkongsi mengenai operasi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) dan sistem pengurusan aset bersepadu yang mampan dan sistematik yang diaplikasikan di jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara ini.

Sistem tersebut membolehkan aset-aset seperti struktur bangunan, jambatan serta lain-lain dipantau dan diselenggara dengan baik. Selepas taklimat tersebut, YB Menteri telah dibawa melawat ke Jambatan Pulau Pinang dan JSAHMS untuk melihat sendiri bagaimana pergerakan trafik di pantau di sepanjang jajaran kedua-dua jambatan ini.

Dalam lawatan ini juga, YB Menteri turut mengambil kesempatan untuk meninjau perjalanan operasi tol di lorong-lorong motosikal di Plaza Tol JSAHMS dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang sejak pemansuhan tol bagi motosikal bermula tepat detik 12 tengah malam pada 1 Januari 2019 yang lalu. Turut menyertai lawatan ini ialah Exco Kerja Raya dan Utiliti Pulau Pinang, YB Tuan Zairil Khir Johari.

1

Program Bicara Politikonomi RTM Bersama Menteri Kerja Raya

KUALA LUMPUR, 2 JANUARI 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian telah memenuhi undangan pihak Jabatan RTM sebagai tetamu bagi Program Bicara Politikonomi di Wisma TV, Angkasapuri Kuala Lumpur. Pelbagai perkara telah dibincangkan mengenai usaha pihak Kerajaan dan Kementerian membangunkan infrastruktur yang menyumbang kepada ekonomi Negara dan juga isu politik sepanjang satu jam masa bersiaran secara langsung.

Banyak persoalan yang melibatkan segala kemusykilan orang awam dan beberapa pihak luar turut dijelaskan oleh YB Menteri Kerja Raya dalam program bicara ini. Program Bicara Politikonomi adalah sebuah program baharu terbitan RTM , yang akan menerbitkan rancangan Bicara Khas sebagai medium penjelasan kepada khalayak ramai dan masyarakat berkaitan perkembangan isu-isu semasa negara kita samada daripada segi politik, ekonomi mahupun sosial.

Program sebegini sememangnya sangat memberi impak kepada imej sesuatu organisasi mahupun individu itu sendiri kerana dilihat mampu memberi input dan juga penjelasan terhadap sesuatu isu dengan lebih efisien dan juga mendalam.

Orang ramai juga boleh menonton Program Bicara Politikonomi ini secara langsung pada setiap hari Rabu pada jam 9.00 malam di TV1 ataupun melalui RTM Mobile dengan melayari laman web myklik.rtm.gov.my bagi mengikuti program ini secara maya.

1

Pemansuhan Kutipan Tol Bagi Motosikal Di Jambatan Pulau Pinang (Jpp) Dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) Di Pulau Pinang Serta Di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (Linkedua) Di Johor

JOHOR BAHRU, 31 Disember 2018 – YB Timbalan Menteri Kerja Raya, Haji Anuar b.Mohd Tahir telah hadir ke Majlis Pemansuhan Kutipan Tol mulai 12.01 pagi pada 1 Januari 2019 bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA) di Johor . Turut berlangsung pada hari yang sama adalah Pemansuhan Kutipan Tol Bagi Motosikal Di Jambatan Pulau Pinang (JPP) Dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) Di Pulau Pinang.

Pemansuhan kutipan tol bagi motosikal ini adalah selaras dengan pengumuman YB Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat pada 2 November 2018 sebagai bukti keprihatinan Kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat khususnya di Negeri Pulau Pinang dan Johor.

Dengan pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya LINKEDUA, Johor di bawah kendalian Syarikat Konsesi PLUS Malaysia Berhad, pengguna akan menikmati laluan motosikal tanpa tol 19 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya. Manakala pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHM) yang di bawah kendalian Syarikat Konsesi Jambatan Kedua Sdn. Bhd, pengguna akan menikmati bayaran motosikal tanpa tol 34 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya.

Pemansuhan bayaran tol bagi motosikal ini sekaligus akan memberi manfaat kepada hampir 20 ribu pengguna lebuh raya yang menggunakan motosikal di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan 2 ribu di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHM) serta 50 ribu pengguna motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya LINKEDUA yang menggunakan laluan tol berkenaan setiap hari.

1

TEMERLOH, PAHANG, 21 DISEMBER 2018 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Mohd Anuar b. Mohd Tahir telah menghadiri satu Majlis Jalinan Kasih Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kementerian Kerja Raya , bertempat di Dewan Tun Abdul Razak , Temerloh, Pahang.

Majlis ini adalah hasil kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Temerloh dan syarikat konsesi Roadcare (M) Sdn. Bhd yang merupakan suatu inisiatif dan usaha yang diambil oleh Kementerian Kerja Raya bagi membantu rakyat setempat yang memerlukan bantuan. Melalui program CSR hari ini, dijangka dapat membantu meringankan golongan Asnaf yang terlibat melalui sumbangan berupa wang tunai dan seramai 2000 orang pelajar sekolah akan menerima sumbangan berbentuk beg dan peralatan. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah untuk anak-anak mereka pada sesi persekolahan tahun depan (2019).

Selain itu, program ini juga merupakan komitmen Kementerian Kerja Raya bagi mempertingkatkan kesejahteraan rakyat serta mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat dengan Kementerian dan para pemimpin serta agensi-agensi Kerajaan dan Swasta, untuk memperkenalkan peranan / fungsi Kementerian Kerja Raya serta berkongsi maklumat antara agensi-agensi Kerajaan dengan masyarakat setempat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan kepada rakyat dan memberi peluang kepada warga Kementerian Kerja Raya untuk menyelami serta memahami keadaan infrastruktur jalanraya dan bangunan dalam Daerah Temerloh.

1

Lawatan Kerja Projek Lebuhraya Hubungan Timur Lembah Klang (East Klang Valley Expressway) - EKVE

HULU LANGAT, SELANGOR, 20 DISEMBER 2018 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Mohd Anuar b. Mohd Tahir telah mengadakan satu lawatan kerja ke Projek Lebuhraya Hubungan Timur Lembah Klang (EKVE) anjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bertempat di Pejabat Tapak EKVE.

Acara yang bermula pada jam 2.30 petang itu dimulakan dengan taklimat berkenaan Projek EKVE sebelum dibawa melawat ke sekitar tapak projek. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Zohari b. Haji Akob , Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan Kerja Raya, YBhg.Dato’ Zahrul Hakim b.Abdullah, Pengarah JKR Negeri Selangor serta Ahli Parlimen Hulu Langat.

Projek Lebuhraya EKVE ini, dijangka akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya di sekitarnya dengan mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan serta menjimatkan lagi masa perjalanan.

1

210 Graduasi ABM Wilayah Tengah Diraikan

KUALA LUMPUR, 17 NOVEMBER 2018 - Akademi Binaan Malaysia (ABM), pusat penilaian dan latihan di bawah kendalian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini telah mengiktiraf seramai 210 pelatih mahir yang telah berjaya menamatkan kursus-kursus di ABM Wilayah Tengah dengan penyampaian Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) CIDB.

Daripada 210 pelatih yang diraikan hari ini, seramai 20 pelatih belia turut menerima Anugerah Kecemerlangan Program Latihan Kompetensi Kemahiran Pembinaan CIDB. Para pelatih yang diraikan berjaya menamatkan latihan kompetensi kemahiran pembinaan dengan cemerlang dalam 13 tred termasuk kluster bidang bangunan, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal, jentera berat, pendawaian elektrik, minyak dan gas.

Majlis hari ini turut meraikan kejayaan enam bekas pelatih ABM yang telah berjaya melakarkan sejarah dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa yang mana keenam-enam pelatih ini mendapat pengiktirafan berprestij di dalam pertandingan kemahiran WorldSkills Asia (WSA) 2018 yang berlangsung di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC) pada 26 – 30 November baru-baru ini.

Majlis graduasi pelatih-pelatih ABM Wilayah Tengah ini dirasmikan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Dato’ Ir. Ahmad ‘Asri Bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB.

Pencapaian ini adalah sebahagian daripada komitmen CIDB untuk mewujudkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam sektor-sektor pembinaan dan yang berkaitan, membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, selaras dengan teras strategik Produktiviti di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016 – 2020.

Di samping meningkatkan produktiviti dan kebolehpasaran para pelatih khususnya dalam kalangan belia. Sejak penubuhannya pada tahun 1997, ABM telah berjaya melahirkan hampir 400,000 pelatih mahir dan separa mahir, yang merangkumi belia lepasan sekolah dan personel binaan dengan sebanyak RM700 juta telah diperuntukkan.

Kampus-kampus ABM yang beroperasi di koridor ekonomi seluruh Malaysia termasuk Kuala Lumpur (Wilayah Tengah), Kedah (Wilayah Utara), Johor (Wilayah Selatan), Terengganu (Wilayah Timur), Sabah (Wilayah Sabah) dan Sarawak (Wilayah Sarawak).

1

Hari Kerjaya Dan Libat Urus KKR Dan Agensi Di Lawas, Sarawak

LAWAS, 15 DISEMBER 2018 – Hari Kerjaya dan Sesi Libat Urus Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan tujuan melahirkan lebih ramai tenaga mahir industri binaan di kalangan belia negara selaras dengan usaha Kementerian sebagai peneraju pembangunan infrastruktur negara telah diadakan julung kalinya bertempat di Daerah Lawas dan telah dirasmikan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Program anjuran KKR ini, turut melibatkan penyertaan Agensi Kementerian antaranya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Akademi Binaan Malaysia (ABM), selain penyertaan Jabatan Penerangan Sarawak serta lain-lain Agensi Kerajaan Negeri.

Hari Kerjaya dan Libat Urus ini merupakan titik permulaan untuk menyebarluaskan lagi peluang-peluang kemahiran yang ditawarkan oleh agensi di bawah Kementerian Kerja raya untuk dimanfaatkan oleh golongan belia luar bandar bagi mempertingkatkan kemahiran agar lebih berdaya saing dan mempunyai nilai tambah dalam pasaran tenaga kerja mahir. Justeru, satu acara “Drop Your Resume Day” iaitu penyerahan resume oleh belia-belia tempatan yang berminat untuk mengikuti latihan kemahiran di ABM telah dilancarkan Menteri Kerja Raya pada program tersebut.

Antara bidang kemahiran yang berimpak tinggi yang ditawarkan ABM bersempena Hari Kerjaya dan Libat Urus ini ialah Scaffolding Erection, Welding 3G dan 6G, Wireman PW1, PW2, PW3 dan PW4, Blasting & Painting dan lain-lain lagi. KKR percaya kejayaan sektor industri bukan sahaja bergantung kepada faktor kos tetapi juga kepada faktor tenaga kerja mahir negara. Dalam hal ini, tenaga kerja golongan belia yang mahir, berkeupayaan membantu merancakkan operasi industri pembinaan.

Masa hadapan para belia yang mengikuti latihan dalam bidang pembinaan ini juga dilihat cerah, lantaran terdapatnya usaha daripada Kerajaan yang akan meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang merupakan agenda pembangunan mega Negeri Sarawak selain peluang kerjaya dengan kewujudan pusat-pusat perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang wilayah Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE). Para belia berkemahiran yang bakal lahir menerusi latihan di ABM ini berupaya menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada pembangunan sosio-ekonomi di Negeri Sarawak amnya dan Daerah Lawas khususnya.

Terdahulu, dalam satu program berasingan, YB Baru Bian turut berpeluang meninjau dan menyerahkan bantuan berupa peralatan sekolah kepada pelajar-pelajar di beberapa buah sekolah sekitar Daerah Lawas pada 13 dan 14 Disember 2018 di bawah program Tanggungjawab Korporat (CSR) anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) peringkat KKR. Program turun padang ini merupakan usaha murni PUSPANITA KKR mendekati golongan yang memerlukan disamping merapatkan hubungan antara rakyat dan pemimpin.