Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Program Juh! Bincang RTM Bersama Menteri Kerja Raya

KUCHING, 7 FEBRUARI 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian telah dijemput oleh pihak Jabatan Penyiaran Kawasan Sarawak sebagai tetamu bagi Program Juh! Bincang di Bangunan RTM Kuching, Sarawak. Program Juh! Bincang ini merupakan sebuah program bicarawara santai terbitan Seksyen TV RTM Sarawak yang membincangkan profil, pembangunan dan perancangan yang sedang dan akan dilakukan di Negeri Sarawak oleh sesebuah institusi atau jabatan.

Bagi episod kali ini, YB Baru Bian telah bercakap mengenai topik , “Pelan Pembangunan & Jajaran Sarawak” sepanjang satu jam masa bersiaran secara langsung. Pelbagai idea dan dasar baharu yang telah dibentangkan dan dijelaskan oleh YB Menteri Kerja Raya dalam program bicarawara ini.

Program sebegini sememangnya sangat bermanfaat kepada penduduk di Sarawak khususnya , yang merupakan negeri terbesar di Malaysia, jadi pastinya pembangunan dan infrastruktur menjadi agenda utama demi kepentingan masyarakat secara umumnya.

Orang ramai juga boleh menonton Program Juh! Bincang ini secara langsung di saluran TV OKEY saluran 109 ataupun melalui RTM Mobile dengan melayari laman web myklik.rtm.gov.my bagi mengikuti program ini secara maya.

1

Pembukaan ‘Overhead Motorcycle Bridge’ Dan Menaik Taraf Sistem Perparitan Lorong Motosikal Lebuhraya Persekutuan

PETALING, 29 JANUARI 2019 - YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia telah menyempurnakan Perasmian ‘Overhead Motorcycle Bridge’ dan Menaiktaraf Sistem Perparitan Lorong Motosikal FT2, Lebuhraya Persekutuan di Jalan 222, Petaling Jaya, Selangor mewakili Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian. Projek ini merupakan inisiatif Kerajaan dalam menyediakan infrastruktur jalan yang lebih selesa, lancar, dan selamat.

Kementerian Kerja Raya (KKR) mendapati lorong motosikal jajaran FT2 dari Kota Darul Ehsan hingga ke Kelab Golf Negara Subang sepanjang 8.1 kilometer di kedua-dua bahagian perlu diberi keutamaan untuk dinaik taraf dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di terowong, iaitu di Jalan 222 menghala ke Kuala Lumpur dan di Jalan Templer menghala ke Klang sehingga menutupi keseluruhan pintu terowong serta untuk mengurangkan kadar kemalangan.

Projek Menaiktaraf ini telah diamanahkan kepada Roadcare Sdn Bhd sebagai kontraktor utama dengan kos kontrak yang telah diperuntukan di dalam bajet 2017 sebanyak RM 29 Juta dan dipantau Pasukan Projek Cawangan Jalan, JKR.

Kerja-kerja penaiktarafan bermula pada Jun 2017 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Januari 2019 dan melibatkan kerja-kerja pembinaan dua (2) buah jambatan motosikal, menaiktaraf sistem saliran, membaikpulih turapan jalan, transformasi tiga (3) buah terowong, kerja-kerja elektrikal dan lampu jalan.

Pelebaran lorong telah dilakukan kepada sekurang-kurangnya tiga meter lebar dan semua jalan laluan keluar masuk daripada laluan motosikal ke jalan utama juga ditambah baik dengan reka bentuk geometrik mengikut standard piawaian Jabatan Kerja Raya. Terdapat 14 jalan susur keluar dan 12 jalan susur masuk masuk motosikal ke laluan utama. Kerja-kerja menaik taraf sistem pencahayaan di dalam terowong sebelum dan selepas terowong juga telah dilaksanakan.

Antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan projek dan kontraktor semasa kerja-kerja pelaksanaan berlangsung adalah paras air yang meningkat dengan mendadak ketika hujan lebat dan telah menyebabkan kawasan tapak ditenggelami air termasuk mesin dan peralatan. Namun hasil kerjasama erat semua pihak yang terlibat telah dapat mengatasi masalah tersebut dengan jayanya.

Para pengguna lorong motosikal boleh mula menggunakan ‘Overhead Motorcycle Bridge’ laluan di kedua-dua arah ini bermula jam 9.00 malam 29 Januari 2019 (Selasa).

1

Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2019

GOMBAK, 29 JANUARI 2019 – Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan sokongan pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganjurkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya menjelang perayaan Tahun Baru Cina 2019 di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang akan yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Sempena pelancaran kempen advokasi ini, KKR dengan kerjasama LLM dan PSKLM turut akan melancarkan sebuah video pendek bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan pengguna lebuh raya supaya sentiasa tertib dan sopan ketika menggunakan lebuh raya, khususnya pada musim perayaan.

Kempen ini merupakan siri kempen kesinambungan advokasi keselamatan lebuh raya terdahulu yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna lebuh raya berhubung pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah dan bertimbang rasa di lebuh raya. Disamping itu ianya sebahagian daripada usaha murni untuk mengurangkan kadar kemalangan yang meningkat saban tahun. Semasa musim perayaan Tahun Baru Cina ini dijangkakan pertambahan trafik harian adalah sebanyak 20 % – 30 % di Lebuhraya PLUS dan lebuh raya utama yang lain.

Larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan turut dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 5 hari, iaitu pada 2 hingga 4 Februari 2019. Inisiatif proaktif ini termasuklah langkah Kerajaan mengeluarkan arahan henti kerja (stop order work) di lebuh raya kecuali bagi kerja - kerja kritikal untuk tempoh 15 hari iaitu bermula dari 29 Januari hingga 12 Februari 2019.

LLM dan PDRM serta dengan kerjasama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya seluruh negara telah bersedia untuk membantu pengguna dengan langkah-langkah proaktif dalam melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan mereka sewaktu musim perayaan nanti. Antaranya dengan menempatkan anggota RELA di kawasan lalu lintas di plaza tol dan kawasan R&R untuk tujuan kawalan trafik, mengaktifkan laluan contra flow di beberapa lokasi lebuh raya yang telah dikenalpasti, menempatkan kren dan kembalik di lokasi-lokasi strategik bagi memindah kenderaan yang rosak atau kemalangan dan pelbagai lagi.

Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya juga akan melaksanakan Program Corporate Social Responsibility (CSR) di lebuh raya masing-masing dengan pemberian diskaun sempena musim perayaan sebagai tanda penghargaan mereka kepada pengguna-pengguna lebuh raya dan mengurangkan beban perbelanjaan di musim perayaan ini.

1

Lawatan Kerja YB Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia Ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang

PULAU PINANG, 28 JANUARI 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Hj. Mohd Anuar b. Mohd Tahir telah mengadakan Lawatan Kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang.

Sejurus tiba di Pejabat JKR Pulau Pinang, YB Tuan Hj. Anuar Mohd Tahir telah disambut dan dibawa ke satu sesi perjumpaan bersama kakitangan JKR Pulau Pinang sebelum mendengar taklimat ringkas mengenai beberapa buah projek oleh wakil Pegawai JKR Pulau Pinang. Selesai taklimat, YB Timbalan Menteri dan dif kehormat dibawa melawat sekitar perkarangan Pejabat JKR Pulau Pinang.

Usai makan tengahari dan Solat Zohor, sesi lawatan kerja kali ini disambung pula dengan lawatan YB Timbalan Menteri Kerja Raya ke Lokasi Aduan Jalan yang diketuai oleh YB Pn. Kasthuriraani A/P Patto iaitu Ahli Parlimen Batu Kawan. Sesi Lawatan YB Timbalan Menteri Kerja Raya ke JKR Negeri Pulau Pinang kali ini diakhiri dengan lawatan YB Tuan Hj. Anuar Mohd. Tahir ke Depo Simpanan Bitumen (Innate Synergy Sdn.Bhd) (ISSB) mula beroperasi pada tahun 1999. Aktiviti perniagaan utama ISSB meliputi pembekalan produk petroleum seperti bitumen, diesel, MFO, LFO, LPG dan pelincir untuk sektor perindustrian di Malaysia.

1

Pembukaan Jajaran Telok Melano – Sematan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak

TELOK MELANO, 26 JANUARI 2019 - Pembukaan Jajaran Telok Melano – Sematan, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 33 kilometer ini oleh YB Menteri Kerja Raya dan YAB Ketua Menteri Sarawak membuktikan komitmen dan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menambahbaik jaringan infrastruktur jalan raya di Sarawak.

Selaras dengan visi dan komitmen Allahyarham Tan Sri Pehin Sri Haji Adenan bin Satem, mantan Ketua Menteri Sarawak, pembukaan jajaran Telok Melano ke Sematan bakal menyaksikan potensi perkembangan ekonomi dan pembangunan yang lebih giat di perkampungan sekitar khususnya Kampung Telok Melano dan Kampung Telok Serabang yang berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi eko-pelancongan dengan lokasinya yang strategik, berdekatan dengan Tg. Datu National Park dan Samunsan Wildlife Sanctuary.

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar turut dititikberatkan dalam pembinaan jajaran ini. Pelbagai inisiatif telah diambil untuk mengurangkan impak pembinaan ke atas alam sekitar antaranya penggunaan kabel komunikasi dan elektrik bawah tanah, pembinaan struktur jambatan rentangan panjang sebagai laluan haiwan liar di Jambatan Samunsan serta mengubah rekabentuk jalan daripada dual carriageway kepada single carriageway untuk meminimumkan kawasan pembinaan dan mengelakkan pembinaan di kawasan berkepadatan tinggi pokok bakau.

Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi jajaran Telok Melano – Sematan ini telah dimulakan pada 15 September 2015 dengan melibatkan kos anggaran sebanyak RM 580 juta dan telah siap sepenuhnya mengikut jadual pada 4 Januari 2019 yang lalu.

1

Majlis Bicara YBhg. Dato' TKSUP Bersama Kumpulan Pelaksana KKR

KUALA LUMPUR, 25 JANUARI 2019 – Pagi ini telah berlangsung majlis bicara di antara Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan (TKSUP) Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Dr. Ong Gua Pak bersama – sama warga Kerja Raya.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid ini telah dihadiri seramai 300 orang yang terdiri daripada kumpulan sokongan dan pelaksana. Pelbagai isu telah dibincangkan dalam sesi ini di antaranya naik taraf sistem perkhidmatan sedia ada dan juga infrastruktur di dalam bangunan Kompleks Kerja Raya.

Program anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) ini menyediakan ruang dan peluang interaksi antara kumpulan sokongan dengan pengurusan atasan yang boleh merapatkan dan mengukuhkan hubung jalin dalam sesuatu organisasi.

1

Lawatan Kerja YB Menteri Kerja Raya Malaysia Ke Laluan Persekutuan FT059, Jalan Tapah – Cameron Highlands

TAPAH, 18 JANUARI 2019 – YB Baru Bian, Menteri Kerja Raya telah mengadakan Lawatan Kerja ke beberapa lokasi penyelengaraan cerun dan jalan di Jalan Tapah – Cameron Highlands selaras dengan salah satu tanggungjawab utama Kementerian Kerja Raya (KKR) iaitu penyelenggaraan cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di seluruh negara.

Bagi tahun 2019, sebanyak 10 lokasi penyelenggaraan cerun secara kerja pembaikan (corrective works) dan 59 lokasi secara kerja pencegahan (preventive works) telah dikenalpasti untuk dilaksanakan dengan jumlah anggaran kos sebanyak RM 19.4 juta di Jalan Tapah – Cameron Highlands ini.

Dalam lawatan kerja tersebut, YB Baru Bian dan rombongan dibawa melalui laluan Persekutuan FT059 Jalan Tapah – Cameron Highlands di Daerah Batang Padang, Perak serta berkesempatan melawat dua lokasi kerja penyelenggaraan cerun iaitu di Seksyen 36 dan Seksyen 17.9 yang dilaksanakan Kementerian ini.

Kerja-kerja pembaikan ini menunjukkan komitmen Kementerian untuk terus memastikan keselamatan pengguna jalan raya bukan sahaja di Jalan Tapah – Cameron Highlands (FT059) malah di seluruh Negara sentiasa terjamin menerusi kerja-kerja penyelenggaran jalan dan cerun yang telah dan akan dilaksanakan.

Laluan Persekutuan FT059 Jalan Tapah – Cameron Highlands merupakan jalan utama yang akan terus diberikan perhatian oleh KKR termasuklah jalan alternatif iaitu laluan FT185 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley – Lojing – Gua Musang dan laluan FT102 Jalan Pos Betau – Lembah Bertam untuk menuju ke Cameron Highlands.

Bagi tahun 2018, KKR telah menyiapkan kerja penyelenggaraan cerun runtuh di 1 lokasi secara kerja pembaikan (corrective works) dan di 30 lokasi secara kerja pencegahan (preventive works) dengan jumlah kos sebanyak RM 9.3 juta di sepanjang Jalan Tapah – Cameron Highlands yang menghubungkan Daerah Batang Padang, Perak dan Daerah Cameron Highlands, Pahang.

Berdasarkan Belanjawan tahun 2019 yang telah diluluskan, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 20 juta di bawah peruntukan KKR untuk kerja penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia. Kementerian Kewangan (MOF) turut memberi jaminan akan menyediakan peruntukan tambahan untuk kerja penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia.

Di samping itu, bagi mengurangkan risiko kejadian runtuhan cerun, Kementerian Kerja Raya turut melaksanakan kerja-kerja penilaian dan pemetaan tahap bahaya dan risiko cerun di sepanjang Jalan Persekutuan melalui pengumpulan data dengan menggunakan teknologi-teknologi terkini seperti teknologi LIDAR (‘Light Detection and Ranging’) serta pembangunan Sistem Amaran Awal dan Masa Nyata / Early Warning System (EWS) agar tanda-tanda awal keruntuhan cerun dapat diketahui dan maklumat berkaitan dapat disebarkan untuk keselamatan pengguna jalan raya di kawasan terlibat.

1

Majlis Penyerahan Projek Menggantikan Jambatan Sedia Ada Di Temerloh, Pahang

TEMERLOH, 17 JANUARI 2019 - Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan usaha melaksanakan projek-projek berimpak tinggi kepada rakyat, dengan menyediakan kemudahan jalanraya yang selesa dan selamat. Ini antara lain ialah dengan siapnya dua projek menggantikan jambatan di kawasan Temerloh, Pahang yang terletak dalam jajaran Jalanraya Persekutuan di Negeri Pahang.

Projek tersebut adalah projek menggantikan jambatan sedia ada FT098/002/20 Temerloh, Pahang (Sungai Semantan) yang mula dibina pada 1 Ogos 2016 dan telah siap pada 15 Januari 2019. Projek ini menelan kos sebanyak RM15.6 juta dan direkabentuk secara dalaman oleh JKR. Kontraktor untuk projek ini ialah syarikat Tegap Padu Sdn. Bhd. dengan skop projek adalah penggantian jambatan sedia ada dengan jambatan baharu sepanjang 100 meter dengan piawaian R5 dan pengalihan utiliti. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd. Tahir dalam satu majlis di Temerloh hari ini.

Satu lagi projek yang telah siap di Temerloh adalah Projek menggantikan jambatan sedia ada FT002/196/50 Temerloh, Pahang (Sungai Kawang) sepanjang 40 meter dengan piawaian R5. Projek bernilai RM8.9 juta ini mula dibina pada 1 September 2016 dan siap pada 31 Ogos 2018. Syarikat perunding Aziz Sehu telah merekabentuk projek ini dan kontraktor yang dilantik menyiapkan projek ini ialah Syarikat Saznoor Industries Sdn. Bhd. Selain daripada menggantikan jambatan, skop kerja juga meliputi kerja-kerja membaikpulih jalan raya sedia ada dan pengalihan utiliti.

Kedua-dua projek ini merupakan projek yang diluluskan dalam Rolling Plan 3 (RP3) 2014, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMke-10). Pembinaan jambatan ini bertujuan bagi menggantikan jambatan sedia ada yang telah lama dibina iaitu Jambatan Sungai Semantan pada tahun 1960 dan Jambatan Sungai Kawang pada tahun 1955 yang tidak lagi sesuai dengan isipadu trafik pada masa kini. Selain itu ia berupaya meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna disamping melancarkan aliran trafik di sekitar Temerloh.

Selain daripada projek penggantian dua buah jambatan ini, terdapat dua lagi projek dibawah Kementerian ini di Daerah Temerloh iaitu Projek menggantikan jambatan sedia ada FT098/030/00 di Kuala Krau yang bernilai RM14.93 juta yang dalam peringkat pembinaan (kemajuan semasa di tapak: 60%) dan Projek Menaiktaraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah (Jambatan Kedua Temerloh) daripada 2 lorong kepada 4 lorong bernilai RM160 juta yang kini dalam peringkat rekabentuk.

1

CIDB PERKENAL IMPACT:  PROGRAM PENILAIAN DAN PERSIJILAN SISTEM IBS DI MALAYSIA
    
KUALA LUMPUR, 17 Januari 2019 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)
hari ini melancarkan IMPACT, satu program penilaian dan pensijilan bagi Sistem Binaan Berindustri (IBS).  Program IMPACT ini akan dilaksanakan berdasarkan standard yang dikeluarkan CIDB iaitu Construction Industry Standard, CIS 24:2018, Penilaian dan Persijilan Pengeluar dan Produk IBS.  CIS 24:2018 merupakan titik rujukan bagi memastikan kualiti komponen IBS mengikut standard yang telah ditetapkan melalui kaedah penilaian yang sistematik. 

Program IMPACT adalah sistem bersifat holistik yang memberikan Verifikasi, Validasi, Pengujian dan Pensijilan produk dan komponen berkenaan dengan IBS mengikut standard yang ditetapkan oleh CIDB.  Dengan pelaksanaan sistem baharu ini, produk-produk IBS yang dikeluarkan dijamin berkualiti tinggi menerusi pelbagai peringkat penilaian dokumen dan pemeriksaan produk seterusnya berupaya membantu agensi pelaksana projek, pemaju, serta penggiat industri mengenalpasti produk IBS yang berkualiti dan terjamin.

Program IMPACT ini telah dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian.  Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Dato’ Dr Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan dan Ketua Eksekutif CIDB Dato’ Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid. 

Sejak tahun 2008, kerajaan telah mewajibkan penggunaan IBS untuk projek-projek kerajaan bernilai RM10 juta dan ke atas dengan 70 skor IBS.  Sementara itu, pada Januari 2018, kerajaan telah mengumumkan bahawa projek-projek swasta bernilai RM50 juta dan ke atas pula diwajibkan untuk menggunakan IBS dengan skor minima 50, menjelang 2020.

1

Majlis Persaraan Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

KUALA LUMPUR, 15 Januari 2019 - Malam tadi telah berlangsung Majlis Persaraan Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Ybhg. Dato' Sri Zohari Akob di Pacific Ballroom, Hotel Sri Pacific.

Majlis diserikan dengan kehadiran Menteri dan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian bersama YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian yang baharu, Ybhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Ketua-Ketua Agensi, Pengurusan Tertinggi Kementerian dan para pegawai bagi meraikan Dato' Sri Zohari yang bersara wajib dari perkhidmatan awam.

Majlis dimulakan dgn makan malam, disusuli ucapan sekalung budi oleh Menteri Kerja Raya. Dato' Sri Zohari juga berpeluang memberi ucapan balas kepada hadirin yang hadir dan majlis diakhiri dengan sesi penyampaian momento kenang-kenangan kepada beliau.

Selamat Bersara Dato' Sri Zohari Akob, Jasamu Dikenang.