Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Perasmian Projek Menaiktaraf Jalan Ayer Keroh Ke Bandar Hilir

AYER KEROH , 4 MAC 2019 – Ketua Menteri Melaka, YAB Tuan Adly bin Zahari dan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Hj. Anuar bin Mohd Tahir telah merasmikan Projek Menaiktaraf Jalan Ayer Keroh Ke Bandar Hilir (Fasa 1 : Pembinaan Persimpangan Peringgit dan MITC) di Ayer Keroh, Melaka.

Projek tersebut mula dibina pada 17 Mac 2014 dan telah siap pada 11 Februari 2019. Projek ini menelan kos sebanyak RM286 juta (kos kontrak) dan direkabentuk perunding yang dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Kontraktor untuk projek ini ialah syarikat Isedecor Bina Sdn. Bhd.

Skop kerja yang dilaksanakan bagi projek ini adalah membina dua persimpangan iaitu Persimpangan Peringgit yang melibatkan jalan sepanjang 2.7 kilometer (km) di laluan ini termasuk pembinaan jejambat sepanjang 252 meter (dari Pusat Bandar ke Ayer Keroh) dan jejambat sepanjang 303 meter (dari Pusat Bandar ke Batu Berendam). Manakala Persimpangan MITC melibatkan jalan sepanjang 2km termasuk pembinaan jejambat struktur segmental box 640 meter disamping pengalihan utiliti serta pengambilan tanah di sepanjang jajaran jalan ini.

Projek menaiktaraf jalan di sepanjang Ayer Keroh ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan infrastruktur sokongan bermutu tinggi dan menjadi penyuraian trafik kepada kawasan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, Hang Tuah Jaya, hub industri perkilangan Ayer Keroh dan kawasan pelancongan.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir ke majlis perasmian itu adalah YBhg. Dato‘ Abdul Razak b. Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pembangunan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan YBhg. Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra, Jabatan Kerja Raya (JKR).

1

Lawatan Kerja TKSU (DP) KKR Ke Kota Kinabalu, Sabah

KOTA KINABALU, 21 FEBRUARI 2019 – Timbalan Ketua Setiausaha Dasar & Pembangunan Kementerian Kerja Raya, TKSU (DP), YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar telah melakukan suatu lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi Projek Menaiktaraf Jalan Lintas, Kota Kinabalu Termasuk Tiga Persimpangan Bertingkat Fasa di Sabah. Tiga Persimpangan itu adalah J5-Jalan Lintas/Jalan Penampang ByPass Flyover, J6-Jalan Lintas/Jalan Penampang Flyover, J11-Jalan Lintas/Lintas Plaza Flyover yang dijangkakan mengambil masa selama 36 bulan untuk siap sepenuhnya. Objektif projek ini adalah bagi mengurangkan kesesakan di persimpangan dan meningkatkan keselesaan pemanduan selain meningkatkan kapasiti jalan raya daripada LOS F (kadar yang sangat perlahan) kepada LOS B (lebih stabil dan kelajuan yang sekata) dari Inanam ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) terutama ketika waktu puncak.

YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar juga telah diberi taklimat ringkas mengenai Projek Menaiktaraf Jalan UMS (0110876) dan Jalan Sepanggar (R606) , Kota Kinabalu Termasuk Empat Persimpangan Bertingkat di Persimpangan Jalan Kingfisher, Persimpangan Jalan UMS, Persimpangan Jalan Rampayan dan Persimpangan Jalan Sepanggar (Indah Permai), Sabah. Projek ini dijangkakan mengambil masa selama 40 bulan untuk siap sepenuhnya. Antara skop projek ini adalah untuk menaiktaraf jalan sedia ada daripada 4 lorong 2 hala kepada 6 lorong 2 hala sepanjang 8.1km (Jalan UMS dan Jalan Sepanggar), membina jalan akses ke Kg.Rampayan, membina dua buah jambatan (Jambatan Sg.Rampayan dan Jambatan Sg.Gudon), pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti dan juga menaiktaraf lampu jalan.

Penutup kepada Lawatan Kerja TKSU (DP), YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar kali ini adalah lawatan kerja ke Tapak Projek Pembaikan Cerun yang terletak di FT500 (Kota Kinabalu-Keningau-Tenom) di KM38.80 menggunakan kaedah Sabo Dam dan juga dibawa melawat tapak projek cerun yang telah siap yang terletak di FT500 (Kota Kinabalu, Keningau,Tenom) di KM19.80,KM45.50,KM97.00,KM101.95 dan KM102. Projek-projek ini mampu memberikan manfaat kepada semua warga Sabah. Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta semua pihak yang terlibat sentiasa berusaha untuk memberikan infrarakyat yang terbaik kepada projek-projek penambaikan infrastruktur di Sabah bagi memastikan keselesaan penduduk sekitar khususnya.

1

YAB MB Perak Dan Timbalan Menteri Melawat WCE Jajaran Hutan Melintang – Teluk Intan

HUTAN MELINTANG, 21 FEBRUARI 2019 – Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat atau West Coast Expressway (WCE) E32, adalah sebuah projek penswastaan lebuhraya yang mendapat sokongan penuh pihak Kerajaan Malaysia. Satu lawatan kerja telah dihadiri YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Haji Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YB Tuan Abdul Yunus Jamhari, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian Dan Perladangan yang mewakili Menteri Besar Perak di tapak pembinaan projek lebuhraya WCE, Plaza Tol Hutan Melintang, Seksyen 8, Perak Darul Ridzuan.

Lawatan ini bertujuan memperkenalkan Lebuhraya WCE kepada Kerajaan Negeri Perak dan juga agensi-agensi kerajaan lain selain bertujuan untuk berkongsi perkembangan/status terkini kemajuan projek. Jajaran Lebuhraya WCE di Negeri Perak mempunyai 4 Seksyen iaitu Seksyen 8 (Persimpangan Hutan Melintang ke Persimpangan Teluk Intan), Seksyen 9 (Persimpangan Kampung Lekir ke Persimpangan Changkat Cermin), Seksyen 10 (Persimpangan Changkat Cermin ke Persimpangan Beruas) dan Seksyen 11 (Persimpangan Beruas ke Persimpangan Taiping Selatan).

Tiga (3) seksyen bagi jajaran di Negeri Perak iaitu Seksyen 8, 9 dan 10 sedang diperingkat akhir penyiapan dan dijangkakan akan dibuka secara berperingkat bermula seawal Jun 2019 dan seksyen selainnya dibuka apabila disiapkan kelak. Projek ini dilaksanakan oleh West Coast Expressway Sdn. Bhd.

Jajaran Lebuhraya WCE merentasi dua (2) buah negeri iaitu Negeri Selangor dan Negeri Perak sejauh 233 kilometer (KM). Jajaran lebuhraya WCE di Negeri Selangor bermula dari Jalan Banting – KLIA (B18) sehingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8KM manakala di Negeri Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2KM. Lebuhraya WCE mempunyai 21 persimpangan bertingkat beserta 20 plaza tol. Lebuhraya WCE juga dihubungkan dengan lebuhraya yang sedia ada (seperti PLUS, SKVE, NKVE, NNKSB, LATAR, KESAS, dan lain-lain) demi memenuhi keperluan trafik di laluan-laluan utama.

Lebuhraya WCE akan berfungsi sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Selain daripada itu, lebuhraya WCE akan menjadi laluan pintasan kepada kawasan-kawasan utama di negeri Perak antaranya di Teluk Intan, Kampung Lekir, Sitiawan, Changkat Cermin, Beruas dan sebagainya.

Perlaksanaan pembinaan lebuhraya WCE berdasarkan implementasi Malaysian Green Highway Index (MyGHI) serta penggunaan teknologi binaan yang bermutu tinggi. Lebuhraya WCE juga akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti Kawasan Rehat & Rawat, medan selera, surau, tandas dan parkir yang luas serta kemudahan stesyen minyak bagi memenuhi keperluan pengguna lebuhraya. Selain itu, dari aspek keselamatan, lebuhraya WCE dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), pasukan peronda lebuhraya yang beroperasi 24 jam dan lain-lain lagi. Ciri-ciri ini akan dapat memberikan jaminan keselamatan serta kualiti perjalanan yang selesa selain membantu memendekkan masa perjalanan.

Lebuhraya WCE bukan sahaja dibina untuk memudahkan aksesibiliti pengguna lebuhraya, malah lebuhraya WCE juga dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan disamping pemangkin pembangunan di kawasan pantai barat Negeri Selangor dan Negeri Perak.

1

Program Bicara KSU bersama Kumpulan Pengurusan Dan Profesional (P&P) KKR 2019

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2019 – Hari ini telah berlangsung sebuah Program Bicara KSU bersama Kumpulan Pengurusan Dan Profesional (P&P) KKR 2019 bersama YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Program bicara dua hala ini memberi peluang kepada kumpulan P&P berbincang dan bertukar-tukar pendapat bersama pengurusan tertinggi Kementerian bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam segala aspek yang telah dipertanggungjawabkan.

Program berlangsung di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Dr. Ong Gua Pak, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan bersama YBhg. Datuk Abdul Razak Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Dan Pengurusan, Kementerian Kerja Raya.

1

KUALA LUMPUR, 18 FEBRUARI 2019 - Hari ini telah berlangsung Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kementerian Kerja Raya (KKR) Kali Ke-37 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Mesyuarat ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

YBhg. Datin Salina Bakri telah mempengerusikan mesyuarat pada kali ini selaku Pengerusi PUSPANITA KKR yang baharu. Hadir sama ialah Penasihat PUSPANITA KKR iaitu YBhg. Puan Yu Ching Sieu.

Turut diadakan adalah sesi ceramah yang telah disampaikan oleh wakil daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bertajuk "Wanita dan Pengurusan Kewangan" serta ceramah "Keluarga Bahagia" daripada Ustazah Isfadiah Ahmad Dusuki.

1

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Ketiga

KUALA LUMPUR, 16 FEBRUARI 2019 – Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 tahun 2019 berlangsung selama tiga hari bermula pada 14hb hingga 16hb Februari 2019. Menteri Kerja Raya bersama-sama pengurusan tertinggi Kementerian telah melawat tapak kajian inovasi bahan turapan jalan sebagai salah satu agenda turun padang meninjau keadaan jalan persekutuan dan penyenggaraannya.

Teknologi turapan jalan mengalami anjakan inovasi apabila beberapa kajian pencarian bahan dan kaedah pembaikan bersesuaian terus dilakukan bagi meningkatkan daya ketahanan jalan seterusnya memanjangkan tempoh hayatnya.

Terbaharu, kajian bahan turapan jalan raya iaitu asphalt yang dicampur dengan sisa plastik dan getah asli latex oleh Makmal Penyelidikan Jalan, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE). Dua lokasi telah dipilih sebagai tapak kajian iaitu di Jalan Persekutuan FT3 di Chukai, Kemaman, Terengganu dan FT98 di Kerdau, Temerloh, Pahang.

Kaedah pembaikan di kedua-dua tapak kajian ini ialah ‘mill and pave’ iaitu membuang satu lapisan sedia ada yang rosak setebal 50 mm dan menggantikan semula dengan turapan baharu menggunakan asphalt bercampur sisa plastik dan getah asli latex. Bagi tapak kajian di Kemaman, terdapat tiga jenis bahan turapan dibuat iaitu asphalt bercampur sisa plastik (waste plastic asphalt) sepanjang 615 meter (m) selorong, getah asli latex (latex asphalt) sepanjang 990 m selorong dan juga getah asli latex (latex mastic asphalt) sepanjang 1,330 m selorong. Kesemua turapan ini siap dilaksanakan pada Oktober 2018 dan hasil kajian dijangka dapat dirumuskan selepas dua tahun pemantauan di tapak.

Manakala tapak kajian di Temerloh pula merupakan turapan yang pertama yang dicampur sisa plastik (waste plastic asphalt) di Malaysia. Ia telah diturap sepanjang 175 m selorong. Selain itu, turapan yang dicampur getah asli latex (latex asphalt) sepanjang 645 m selorong turut dilakukan di tapak ini. Kedua-dua turapan ini siap dilaksanakan pada September 2017. Hasil kajian dijangka dapat dirumuskan selepas dua tahun pemantauan di tapak.

Bahan turapan jalan iaitu asphalt, dengan campuran sisa plastik dikatakan telah digunakan untuk menurap jalan di negara India sepanjang 25,000 km sejak 15 tahun lepas. Turapan jalan itu dikatakan lebih berdaya tahan dari asphalt konvensional.

Asphalt yang terhasil itu dikatakan memiliki ikatan yang lebih kuat di antara batu-batan dan bitumen serta rintangan yang lebih tinggi terhadap air di mana bagi asphalt konvensional, air lazimnya dapat melemahkan ikatan itu dan menjadi salah satu punca.

Getah asli latex pula dikatakan akan dapat merubah dan menambah baik ciri-ciri bitumen, bahan pengikat yang digunakan di dalam asphalt. Bitumen itu akan menjadi lebih elastik, lebih sukar menjadi lembut ketika terdedah pada cuaca panas dan tidak mudah berubah bentuk apabila ditekan oleh beban trafik yang tinggi.

Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 menjelajah jalan persekutuan di tiga buah negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bermula dari Kompleks Kementerian Kerja Raya dengan jumlah jarak sepanjang 1100 kilometer.

Pasukan jelajah seramai seratus orang delegasi ini diketuai oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan disertai pengurusan tertinggi Kementerian, Rakan KKR dan pihak media. Matlamat dan objektif FTRoadPedia adalah memberi nafas baharu dan persektif positif jalan persekutuan selain menonjolkan jalan persekutuan sebagai jalan utama dan menikmati sosio budaya setempat bertemakan “Cipta Detik Indah Bersama”.

1

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Kedua

KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2019 – Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 tahun 2019 berlangsung selama tiga hari bermula pada 14hb hingga 16hb Februari 2019. Pada hari kedua jelajah, delegasi telah melawat dua projek yang sedang dalam pembinaan dan satu projek yang telah siap di sekitar Kota Bharu, Kelantan. Projek pertama yang dilawati adalah Projek Membina Flyover dari arah Kota Bharu merentangi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor, Kelantan. Projek ini telah diluluskan pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 1st Rolling Plan (RP1) Tahun 2016.

Projek menaiktaraf jalanraya sedia ada bermula di KM4.5 dari jalan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor FT134 iaitu 100 meter (m) dari Simpang Empat Pohon Tanjung dan berakhir di KM6.06 dengan panjang keseluruhan 1.56 kilometer (km). Projek ini telah dimulakan pada 19 Februari 2018 dan dijadualkan siap pada 18 Ogos 2021 dengan Kos Pembinaan sebanyak RM99,564,800.00.

Dengan siapnya projek ini, ianya akan menjadikan trafik lebih lancar dari arah Kota Bharu – Pengkalan Kubor dan sebaliknya, di samping menyediakan kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat serta pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat kepada penduduk setempat dan kawasan sekitarnya.

Projek ini merupakan projek perintis yang menggunakan kaedah Building Information Modelling (BIM) yang berupaya membantu proses koordinasi di peringkat perancangan sehingga ke peringkat penyerahan yang menekankan kolaborasi di antara pihak yang terlibat seperti KKR, JKR, Kontraktor dan sub-kontraktor. Ia secara tidak langsung, dapat meminimumkan konflik kerja di tapak selain dapat mengurangkan kerja ulangan (reworks).

Projek kedua yang dilawati adalah Projek Mahkamah Kota Bharu, Kelantan (Reka dan Bina) yang dilaksanakan menggunakan kaedah IBS dan akan mempunyai 3 Mahkamah Tinggi, 5 Mahkamah Sesyen dan 5 Mahkamah Majistret. Pembangunan projek ini adalah untuk menggantikan bangunan Kompleks Mahkamah Kota Bharu sedia ada.

Objektif pembinaannya adalah untuk mewujudkan ruang kerja yang lebih kondusif sekaligus menyumbang kepada penawaran perkhidmatan yang efisen seterusnya bakal meningkatkan produktiviti bagi penyelesaian kes.

Kontraktor untuk projek ini adalah Cakna Enterprise Sdn Bhd, dengan Kos Kontrak sebanyak RM96,730,888.88. Ia dimulakan pada 2 Jun 2016 dan dijangka siap pada 1 April 2020 (46 Bulan Tempoh Pembinaan).

Kemajuan fizikal sehingga 27 Januari 2019, adalah sebanyak 90.04 peratus mendahului jadual iaitu 44 peratus. Ini menjadikan projek ini mendahului jadual sebanyak 537 hari atau 46.04 peratus. Kemajuan Kewangan juga mencatatkan pencapaian perbelanjaan sebanyak 87.90 peratus berbanding jadual 42.50 peratus.

Pasukan jelajah turut melalui salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di Negeri Kelantan iaitu Projek Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai, Kelantan, Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok. Pakej ini telah dimulakan pada 7 April 2014 dan telah berjaya disiapkan pada 21 Julai 2018 dengan kos pembinaan sebanyak RM217.5 juta.

Jalan Persekutuan FT08 sedia ada merupakan jalan utama dari Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan dengan kepadatan trafik yang tinggi terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan utama. Sehubungan itu, projek ini merupakan laluan alternatif yang lebih selesa dan selamat bagi pengguna yang ingin menuju ke Kuala Krai apabila siap sepenuhnya kelak.

Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 menjelajah jalan persekutuan di tiga buah negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bermula dari Kompleks Kementerian Kerja Raya dengan jumlah jarak sepanjang 1100 kilometer.

Pasukan jelajah seramai seratus orang delegasi ini diketuai oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan disertai pengurusan tertinggi Kementerian, Rakan KKR dan pihak media. Matlamat dan objektif FTRoadPedia adalah memberi nafas baharu dan persektif positif jalan persekutuan selain menonjolkan jalan persekutuan sebagai jalan utama dan menikmati sosio budaya setempat bertemakan “Cipta Detik Indah Bersama”.

1

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Pertama

KUALA LUMPUR, 14 FEBRUARI 2019 - Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 tahun 2019 berlangsung selama tiga hari bermula pada 14hb hingga 16hb Februari 2019. Rombongan siri jelajah ini menjelajah jalan persekutuan di tiga buah negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bermula dari Kompleks Kementerian Kerja Raya dengan jumlah jarak sepanjang 1100 kilometer.

Pasukan jelajah seramai seratus orang delegasi ini diketuai oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan disertai pengurusan tertinggi Kementerian, Rakan KKR dan pihak media. Matlamat dan objektif FTRoadPedia adalah memberi nafas baharu dan persektif positif jalan persekutuan selain menonjolkan jalan persekutuan sebagai jalan utama dan menikmati sosio budaya setempat bertemakan “Cipta Detik Indah Bersama”.

Pada hari pertama jelajah, lokasi yang dilawati adalah Jambatan Sungai Yu atau Sungai Yu Eco Bridge yang terletak di Jalan Persekutuan FT08 yang merupakan sebahagian daripada Projek Central Spine Road (CSR). Jambatan Sungai Yu merupakan jambatan Eco-Viaduct hidupan liar terpanjang yang pernah dibina di Malaysia yang merupakan laluan khas yang dibina untuk laluan hidupan liar di antara Banjaran Titiwangsa dan Taman Negara.

Ia dibina bertujuan memastikan kriteria di dalam Central Forest Spine Master Plan dipatuhi, iaitu untuk menghubungkan 4 kawasan hutan utama di Semenanjung Malaysia dengan rangkaian koridor ekologi hijau sebagai kawasan perlindungan hidupan liar. Keseluruhan panjang jambatan ini adalah 1,302 meter melibatkan pembinaan 3 buah jambatan dengan kos bernilai RM61.54 juta dan dimulakan pada 18 Oktober 2010 dan siap pembinaan pada 17 April 2013.

Lokasi kedua yang dilawati adalah Jajaran Projek Central Spine Road (CSR) yang sedang dalam pembinaan iaitu Seksyen 3E1 dari Mentara ke Merapoh. Seksyen 3E1 telah dimulakan pada 19 September 2016 dan dijadualkan siap pada 15 September 2019 dengan kos pembinaan sebanyak RM101.5 juta.

Skop kerja utama bagi Pakej 3E1 adalah membina jalan baharu 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5 sepanjang 5.8 kilometer (km), sebuah jambatan, satu persimpangan bertingkat di Mentara dan dua Vehicular Box Culvert (VBC).

Projek Central Spine Road dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang sepanjang 351.25km telah pun dimulakan secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan pada masa ini, jajaran sepanjang 55.35km dari Merapoh ke Kampung Seberang Jelai, Pahang dan 5.78km dari Kampung Asap ke Kampung Sertik telah pun siap pembinaan. Pemilihan lokasi projek adalah berdasarkan aspek keselamatan dan kesesakan lalu lintas.

Projek Central Spine Road merupakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT08 sedia ada yang dapat memberikan keselesaan kepada pengguna, mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim perayaan utama seterusnya menjimatkan masa perjalanan. Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

1

Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya 2019 - Februari

KUALA LUMPUR, 12 Februari - YB Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir telah hadir ke Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya Malaysia bagi menyampaikan amanat beliau yang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Hadir sama ke Perhimpunan Bulanan KKR itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato' Dr. Ong Gua Pak, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan Md. Taha, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBhg. Dato' Sr. Aziz Abdullah serta Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir telah menegaskan bahawa Kementerian akan memberikan tumpuan lebih kepada peningkatan produktiviti dan inovasi dalam industri pembinaan melalui penggunaan teknologi Selari dengan motto "Digitalising the Construction Industry” dan perkembangan Revolusi Industri 4.0 atau IR 4.0.

Ujar beliau lagi, untuk mencapai hasrat ini, Kementerian bukan hanya akan memberi tumpuan kepada pembangunan mekanisme, perisian dan robotik tetapi juga untuk menyediakan data secara real time dan sistem yang lebih efisien. Kementerian Kerja Raya, agensi-agensinya dan pihak berkepentingan lain perlu bersama-sama merealisasikan aspirasi ini demi mewujudkan rantaian gerak kerja yang telus, cekap dan efektif.

Ucapan penghargaan juga telah diberikan kepada pegawai-pegawai Kementerian dan Agensi yang telah memberi komitmen padu dan memainkan peranan yang sewajarnya sehingga membawa kejayaan kepada pencapaian skor 98.74 peratus melalui dashboard MAMPU bagi pelaporan MPI YB Menteri Kerja Raya sehingga 30 November 2018.

1

Lawatan KSN Ke Pusat MYBIM Dan “BOS” CIDB

KUALA LUMPUR, 11 Februari 2019 – Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Datuk Seri Dr Ismail Bakar, buat julung kalinya telah melawat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sebuah agensi di bawah Kementerian Kerja Raya, bagi melihat sendiri usaha yang telah diambil oleh badan berkanun itu dalam mentransformasikan industri pembinaan ke arah yang lebih maju, mampan dan berdaya saing.

Sebelum itu, Datuk Seri Dr Ismail Bakar telah mempengerusikan Mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan yang turut dihadiri YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

Di dalam sesi lawatan tersebut, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar telah dibawa ke Pusat myBIM, sebuah fasiliti berteknologi tinggi bagi membolehkan penggiat industri pembinaan menggunakan Building Information Modelling (BIM) untuk melaksanakan projek mereka.

Pusat myBIM menyediakan fasiliti canggih termasuk studio BIM, makmal serta bilik seminar yang boleh disewakan kepada pengguna. Pusat tersebut juga menawarkan penggunaan perisian dan pelbagai program latihan kemahiran BIM. Latihan yang diberikan juga memastikan lebih ramai penggiat industri dapat memanfaatkan portal National BIM Library untuk projek-projek mereka.

Antara projek-projek yang telah dibina menggunakan BIM, termasuk Institut Kanser Negara di Putrajaya, Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Kompleks Sukan Educity di Nusajaya dan Hotel Ancasa di Pekan, Pahang.

KSN juga telah melawat Bahagian Operasi Setempat (BOS) CIDB. BOS berperanan menyemak dan meluluskan permohonan yang diterima secara atas talian melalui Centralised Information Management System (CIMS). CIMS merupakan sebuah platform atas talian yang mengintegrasikan semua proses dan transaksi berkaitan aktiviti pembinaan, termasuk pendaftaran kontraktor, pengisytiharan projek dan pengurusan levi. CIMS juga boleh di akses untuk permohonan pendaftaran dan akreditasi personnel binaan.