Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

Lojing, 7 Januari 2024 – Dalam memastikan jaringan jalan sentiasa terhubung, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi meninjau kemajuan kerja pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular atau Jambatan Bailey di Jalan Dabong – Jeli, Jajahan Jeli, Kelantan. Tinjauan turut dilaksanakan di beberapa lokasi Laluan Persekutuan yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir dan kerap menerima aduan dari pengguna jalan raya.

Pada 1 Januari 2024 yang lalu telah berlaku kegagalan pembetung Corrugated Metal Pipe (CMP) di FT66 seksyen 73.85, Jalan Dabong – Jeli, Kelantan yang telah menyebabkan laluan tersebut terputus sepenuhnya. Kerja pemasangan Jambatan Bailey telah mula diatur gerak pada 3 Januari 2024 bagi memindahkan stok Jambatan Bailey model Acrow XS700 jenis single lane-extra wide dengan kelebaran 4.2meter sepanjang 100 kaki milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ke lokasi berkenaan.

Pasukan pemasangan Jambatan ini terdiri daripada 40 orang pegawai daripada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Jajahan Machang, Kelantan, JKR Daerah Temerloh, Pahang dan JKR Daerah Kinta, Perak. Kerja pemasangan jambatan dimulakan pada 5 Januari 2024 dan dijangka akan mengambil masa lima hari bergantung kepada faktor cuaca. Setelah selesai, ia akan dibuka kepada kenderaan ringan sahaja.

Pada masa yang sama, pihak JKR Malaysia dalam proses menyediakan reka bentuk pembetung dengan anggaran kos berjumlah RM700 ribu bagi melaksanakan kerja pembaikan kekal di lokasi tersebut.

Tinjauan Jambatan Bailey tersebut adalah salah satu daripada lokasi tinjauan kerja Menteri Kerja Raya ke Kelantan. Tinjauan kerja di sekitar Kelantan turut melibatkan kawasan-kawasan yang terkesan akibat bencana banjir dan cerun runtuh. Lokasi tinjauan kerja termasuklah di Jalan Raya Persekutuan FT2750 (Jalan Berdang – Sg. Rual), FT008 (Jalan Gua Musang – Kota Bharu) dan FT185 (Jalan Lojing – Gua Musang).

Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa komited dalam memastikan jaringan Laluan Persekutuan kekal terhubung pada fasa pasca bencana ini. Ini selari dengan semangat kempen MYJalan yang telah dilancarkan oleh KKR dalam meningkatkan kesedaran semua pihak agar dapat bersama-sama bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keselesaan sewaktu menggunakan jalan raya.

 

 

0

Kuala Lumpur, 21 Disember 2023 - Selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember 2023.

Pengumuman ini telah dibuat oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang media yang berlangsung sebentar tadi.

Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui mesyuarat bersama – sama dengan syarikat konsesi juga telah bersetuju dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini pada 23 Disember 2023 (Sabtu) dan 26 Disember 2023 (Selasa).

Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

Pemberian tol percuma ini diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah. Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya.

Diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

Pengguna juga perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya.

Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala. Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Kementerian Kerja Raya ingin mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua yang menyambut perayaan ini dan semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.

0

Kuala Lumpur, 20 Disember 2023 – Hari ini telah berlangsung sesi pengenalan organisasi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kepada Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan. Sesi taklimat ini telah disampaikan oleh Ketua Eksekutif CIDB, YBhg. Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria.

Sesi pengenalan ini bertujuan untuk memberi pengenalan dan pendedahan berkaitan organisasi dan pengoperasian di CIDB Malaysia. Selain itu ia juga merupakan sesi suai kenal antara YB Timbalan Menteri Kerja Raya dan juga barisan pengurusan di CIDB Malaysia. Antara topik yang dibincangkan adalah berkenaan hala tuju, perancangan dan juga cabaran yang dihadapi oleh CIDB Malaysia.

CIDB adalah badan berkanun dibawah Kementerian Kerja Raya (KKR) yang ditubuhkan pada tahun 1995. Ia ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) untuk mengawal selia, membangun dan memudahcara industri pembinaan menuju ke arah mencapai daya saing global. Salah satu fungsi lembaga seksyen 4(1)(b) menasihati dan membuat syor kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengenai perkara yang menyentuh atau berkaitan dengan industri pembinaan.

KKR akan sentiasa bersama dengan CIDB Malaysia dalam membangun dan memudahcara industri pembinaan dengan menerapkan profesionalisme dan memanfaatkan inovasi untuk menghasilkan persekitaran binaan yang berkualiti, produktif dan mampan.

0

Kuala Lumpur, 20 Disember 2023 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. YB Timbalan Menteri telah diberikan taklimat berkaitan fungsi, peranan dan hala tuju jabatan oleh barisan Pengurusan Tertinggi JKR Malaysia, diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBhg. Datuk Sr Hj. Amran Hj. Mohd Majid.

Sebelum sesi taklimat berlangsung, YB Datuk Seri Ahmad Maslan menyempurnakan sesi tandatangan buku pelawat serta menerima vest dan topi keselamatan, Buku Statistik Jalan Edisi 2023 serta baju korporat JKR.

JKR Malaysia telah ditubuhkan sejak tahun 1872 dan berfungsi sebagai sebuah agensi teknikal kepada Kerajaan Malaysia. JKR berperanan melaksanakan projek-projek pembangunan dan penyenggaraan infrastruktur serta aset kerajaan kepada pelbagai kementerian, jabatan, badan berkanun dan kerajaan negeri. Selain itu, JKR Malaysia berfungsi sebagai rakan kongsi strategik kepada pelanggan dalam mencapai keberhasilan polisi kerajaan, menjadi peneraju di dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek & kecemerlangan kejuruteraan untuk negara dan bertanggungjawab dalam pembangunan infrastruktur negara.

Intipati taklimat kepada YB Timbalan Menteri Kerja Raya antara lain turut menyentuh berkenaan:

i. Peranan JKR Malaysia sebagai agensi teknikal negara

ii. Status pelaksanaan projek semasa termasuk Projek Berimpak Tinggi dan Projek Luar Negara

iii. Inovasi – inovasi jabatan seperti Sistem Permohonan Sijil Kompetensi Kontraktor Kesihatan (SKKK), Sistem JKR E-Tender (JET), Building Information Modelling (BIM), Pre-Approved Plan (PAP); dan

iv. Pencapaian serta Anugerah yang diterima oleh JKR Malaysia seperti Pensijilan Green Building Index (GBI) Platinum, Anugerah Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2022 Kategori Perkhidmatan Awam Dan Pihak Berkuasa Tempatan dan Anugerah Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2022 Kategori Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KKP Sektor Awam.

Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama JKR Malaysia sentiasa komited dan berusaha untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang optimum serta menyediakan infrastruktur yang berkualiti demi keselesaan rakyat.

0

Kajang, 19 Disember 2023Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setelah pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya pada 12 Disember 2023.

Dalam lawatan ini, beliau telah diberikan taklimat berkaitan LLM dan hala tuju industri lebuh raya bertol oleh barisan pengurusan LLM yang diketuai oleh Ketua Pengarah LLM, YBrs. Ir. Sazali Harun.

LLM merupakan sebuah badan berkanun yang telah ditubuhkan pada 24 Oktober 1980 mengikut Akta 231 (Perbadanan 1980) bagi tujuan menyelia reka bentuk, pembinaan, dan pengawalseliaan, operasi dan penyenggaraan lebuh raya-lebuh raya bertol.

LLM yang beribu pejabat di Kajang, turut mempunyai enam  Pejabat Wilayah iaitu Pejabat Wilayah Tengah bertempat di Kajang, Pejabat Wilayah Selatan di Senai, Pejabat Wilayah Utara di Pulau Pinang serta Pejabat Wilayah Timur di Kuantan.

Selain itu, terdapat dua Pejabat Wilayah Satelit iaitu di Pejabat Wilayah Ipoh dan Pejabat Wilayah Ajil bagi memastikan kelancaran pengawalseliaan lebuh raya bertol di seluruh negara. Sebanyak 33 lebuh raya bertol yang telah beroperasi sehingga kini dengan panjang keseluruhannya adalah 2080 kilometer.

Taklimat yang diberikan oleh LLM juga turut menyentuh pencapaian utama Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi Program Bitara Madani di mana dua daripada tiga pencapaian tersebut adalah di bawah LLM iaitu Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) dan penambahan tempat berteduh penunggang motosikal di lebuh raya bertol. Kedua-dua inisiatif ini adalah merupakan inisiatif yang berkos rendah dan berimpak tinggi.

Datuk Seri Ahmad Maslan turut dibawa melawat ke Pusat Pengurusan Trafik LLM bagi meninjau operasi Pusat Pengurusan Trafik. Beliau turut diberikan taklimat berkenaan persediaan LLM menghadapi fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negara.

KKR dan LLM dengan kerjasama Syarikat Konsesi Lebuhraya sentiasa bersiap siaga bagi memastikan jaringan perhubungan rakyat tidak terjejas, sekaligus keselamatan pengguna dapat dipertingkatkan.

0

Kuala Lumpur, 18 Disember 2023 - Hari ini telah berlangsung sesi pelaksanaan pendaftaran pengenalan Identiti Digital Malaysia (MyDigital ID) melibatkan warga Kementerian Kerja Raya (KKR). Sesi ini telah dilaksanakan oleh MIMOS melalui Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSU KKR), YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad juga hadir bagi meninjau perjalanan program tersebut. Beliau meluangkan masa menyantuni para petugas dan warga KKR yang hadir untuk membuat pendaftaran dan beliau turut membuat pendaftaran MyDigital ID di kaunter yang disediakan.

Tujuan pelaksanaan MyDigital ID ini adalah bagi memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya membabitkan urusan dengan Kerajaan. Ianya merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital yang bakal dimanfaatkan dalam sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

MyDigital ID ini tidak menggantikan sistem MyKad atau kad pengenalan sedia ada. Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

Khabar angin yang menyuarakan kebimbangan bahawa cip akan dimasukkan dalam badan menerusi pendaftaran MyDigital ID ini adalah tidak benar. Sasaran utama pemilik MyDigital ID ini adalah rakyat Malaysia dan akan diperluaskan kepada pemastautin yang menetap di Malaysia.

KKR akan sentiasa komited dan menyokong usaha Kerajaan dalam membangunkan inisiatif digital yang dapat dimanfaatkan oleh sektor awam dan swasta di negara ini.

0

Kuantan, 12 Disember 2023 -YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah melakukan lawatan ke Jalan Kuantan - Chukai (FT03), Seksyen 358.0 - 359.0 di Kuantan bagi meninjau kesiapsiagaan kementerian dan agensi dalam menghadapi bencana banjir di Kuantan, Pahang pada hari Isnin 11 Disember lalu.

Jalan berkenaan berhadapan dengan situasi kerosakan iaitu mendapan dan delimination yang teruk akibat kerap berlaku banjir dan dilalui kenderaan berat lebih muatan. Cadangan pembaikan bagi menyelesaikan masalah ini adalah menerusi kaedah Partial Reconstruction (CIPR).

Menyedari masalah ini, Dato Sri Alexander telah mengumumkan kelulusan segera peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi pelaksanaan CIPR iaitu kerja-kerja meninggikan jalan dan menguatkan struktur pavemen jalan yang baru. Usaha ini dilihat dapat mengelakkan kerosakan jalan akibat banjir.

Dalam tinjauan tersebut, YB Menteri telah diberi taklimat tentang persediaan menghadapi situasi Monsun Timur Laut di negeri Pahang oleh Pengarah Kerja Raya Pahang, YH. Dato' Ir. Ts. Hafizah Binti Zakaria. Taklimat turut memperincikan kesiapsiagaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dalam menyediakan keperluan logistik dan pengangkutan bagi tujuan membaik pulih dan membersihkan lokasi banjir, menyelaras laporan berkaitan bencana dan juga memberikan khidmat nasihat teknikal sebelum dan selepas banjir serta maklumat berkenaan laluan alternatif yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya sewaktu banjir berlaku.

Manakala di peringkat ibu pejabat JKR Malaysia, Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) ini turut membuat pelaporan terkini berkenaan status bencana secara berkala ketika negara dilanda bencana Monsun Timur Laut. BiGBen merupakan pusat sehenti pengurusan maklumat bencana seperti kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh yang mana melibatkan jalan dibawah seliaan JKR yang merangkumi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri.

Selain itu, Dato Sri Alexander turut membuat tinjauan teknikal di beberapa lokasi di laluan Jalan Persekutuan yang perlu diberikan perhatian kritikal di sekitar Kuantan, iaitu Jalan Kuantan - Chukai (FT03) di Sek 361.9 (Jambatan Sg Ular) yang menghadapi situasi kerosakan pada sendi renggang. Bagi langkah kawalan segera, tindakan pembaikan jangka masa pendek telah dilaksanakan dengan membuat tampalan pada sendi renggang yang rosak. Peruntukan sebanyak RM71,000 telah dimohon menerusi Notification Of Emergency (NOE).

JKR Pahang telah memohon peruntukan menaik taraf jambatan ini di bawah Program Menggantikan Jambatan Uzur, Sempit dan Tujuan Peningkatan Had Berat Muatan Di Laluan Utama Jalan Persekutuan bagi menyediakan infrastruktur yang lebih selamat serta memenuhi keperluan semasa. Usaha ini juga dapat membantu menyuraikan masalah kesesakan trafik di laluan ini yang kerap menjadi rungutan pengguna jalan raya.

Penyelenggaraan jalan raya sentiasa diberikan keutamaan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) serta menjadi agenda utama dalam inisiatif kempen MYJalan yang merangkumi usaha untuk mengatasi pelbagai isu utama jalan raya seperti jalan rosak, masalah lampu jalan, perabot jalan dan sebagainya.

0

Kuantan, 11 Disember 2023 - Hari ini telah berlangsung Majlis Perasmian Pemasangan Landasan Pertama ECRL yang disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah AI-Musta'in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah lskandariah Binti AI-Marhum AI-Mutawakkil Alallah Sultan lskandar AI-Haj.

YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi turut hadir memenuhi undangan Kementerian Pengangkutan bagi bersama-sama meraikan majlis perasmian ini. Dif - dif kehormat yang hadir sama adalah YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, YB Menteri Pengangkutan, Tuan Anthony Loke, YB Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) secara tidak langsung turut terlibat dalam projek ini yang melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan, penambatan, pemasangan cerucuk selain pembinaan stesen ECRL.

Jajaran ECRL ini bermula di Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang,Selangor. Projek ini menelusuri 4 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Pembinaan projek mega ECRL ini telah mencapai kemajuan sebanyak 54.14 peratus setakat Oktober 2023 dan perkembangan ini adalah selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026.

Penyiapan jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027. Jumlah panjang jajaran ECRL yang menghubungkan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia adalah 665km.

Tahniah kepada Kementerian Pengangkutan dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek infrastruktur nasional ini dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat Malaysia Madani.

0

Bukit Jalil, 10 Disember 2023 – Hari ini telah berlangsung Majlis Perasmian Penutupan menandakan berakhirnya Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang telah diadakan dari 8 hingga 10 Disember di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. Program ini bertujuan untuk mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan, meningkatkan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina hubungan baik antara kerajaan dan rakyat.

Majlis Penutupan ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Sri Anwar bin Ibrahim petang tadi. Turut hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri I, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Perdana Menteri II, YB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof. Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi juga hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam serta barisan Pengurusan Tertinggi KKR dan Agensi.

Usai Amanat Perdana Menteri dan Sesi Dialog MADANI, turut diadakan gimik perasmian, upacara penyerahan Kutipan Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin Peringkat Perkhidmatan Awam serta penyampaian hadiah Cabutan Bertuah. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama hadirin.

Penganjuran program ini memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat. Ketiga-tiga komponen ini merupakan ikhtiar Kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Salah satu pengisian dalam program ini adalah sesi Pocket Talk. KKR telah memberikan kupasan informasi berkenaan Kempen MYJalan, Lingkaran Tengah Utama dan juga berkenaan projek Lebuhraya Pan Borneo pada hari Sabtu, 9 Disember 2023 di Pentas Kecil Khemah 1.

Antara pameran dan informasi yang dikongsikan di reruai KKR adalah:

  1. Kempen MyJalan (Aplikasi MyJalan KKR)
  2. Replika sekolah daif, Jambatan Bailey dan Jalan Glow in The Dark
  3. Pendaftaran dan latihan kontraktor pembinaan
  4. Diskaun pembelian RFID dan kad TNG NFC
  5. Info lebuhraya, kategori jalan, kerja-kerja penyelengaraan dan pelbagai maklumat berkaitan KKR dan Agensi.

Sepanjang tiga hari program ini, Kerajaan telah memberikan penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus Kementerian-kementerian bersama rakyat, Jualan Mega MADANI dan lain-lain lagi. Orang ramai juga berpeluang untuk melihat pencapaian Kerajaan melalui pameran pencapaian semua Kementerian berserta perancangan jangka masa panjang Kerajaan.

0

Kuala Lumpur, 7 Disember 2023 -Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, serta barisan pengurusan atasan KKR serta agensi hari ini hadir ke Majlis Persaraan Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza bin Ghulam Rasool bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 21 Disember 1984 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia sejak 5 Januari 2023.

Seluruh warga KKR, JKR serta agensi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza yang telah menamatkan perkhidmatan sebagai kakitangan awam. Beliau telah memberikan khidmat dan sumbangan yang amat bernilai kepada JKR khususnya dan negara amnya. Semoga YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza dan keluarga akan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta dirahmati Allah SWT.

Selamat bersara Datuk.