Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

9 Mac 2024, Langkawi – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah melakukan tinjauan kerja Pembinaan jambatan baru sepanjang 25 meter dengan kelebaran 12.5 meter ini melibatkan kos sebanyak RM7.8 juta. Kerja-kerja yang dilaksanakan termasuklah menaiktaraf Jalan Tuju, kerja-kerja geoteknikal (tembok penahan), menaiktaraf dan membina sistem saliran, pemasangan lampu dan perabot jalan serta pengalihan utiliti.

Projek ini penting kerana menghubungkan laluan utama ke kereta kabel Langkawi dan Hotel Berjaya yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain dilihat mampu meyuraikan trafik dan memperbaiki semula jalan yang rosak demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, tentunya laluan dan jambatan baru ini akan menggalakkan lagi aktiviti pelancongan untuk terus berkembang dan membantu ekonomi setempat.

Dalam tinjauan semalam, YB Menteri amat berpuas hati dengan keadaan jalan raya dan jambatan baru yang dibina dan sudah pun dibuka kepada semua pengguna jalan raya. Penyerahan secara rasmi akan diadakan pada 10 Mac 2024.

Tidak semata tinjau jalan dan jambatan, tetapi kerja turun padang sehari di Langkawi ini turut saya manfaatkan dengan meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi Kedah.

Pembinaan projek ini yang terletak di dalam tapak Hospital Sultanah Maliha, Langkawi sediada di Lot 2494, telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) RMK-11 dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM425 juta.

Projek ini yang dijangka siap pada 26 Disember 2025 bertujuan untuk menjadikan perkhidmatan penjagaan pakar lebih mudah diakses kepada penduduk serta pelancong di Langkawi yang makin bertambah.

Penambahan sebanyak 220 katil baru yang menjadikan jumlah keseluruhan katil kepada 330 katil di hospital ini dilihat mampu menampung keperluan penduduk terhadap akses perubatan dan rawatan

KKR melalui JKR sentiasa cakna dan proaktif dalam menyediakan infra yang kondusif kepada rakyat.

0

Selangor, 8 Mac 2024 - Telah berlangsung Majlis Sambutan Wanita Antarabangsa Tahun 2024 semalam di Sunway Pyramid Convention Centre, Selangor. Majlis gilang gemilang yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Turut hadir dalam majlis, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dato’ Dr Wan Ismail, isteri Perdana Menteri Malaysia, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri KPWKM, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Ir. Hj Badioezaman Abd Khalik.

KPWKM memilih tema Wanita Dijulang, Negara Gemilang sebagai tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024. Tema ini memberi penekanan akan pentingnya usaha memartabatkan wanita bagi mewujudkan budaya inklusif dan kesaksamaan gender di semua peringkat. Sumbangan wanita merupakan pemangkin kepada keemerlangan negara, selaras dengan aspirasi masyarakat MADANI. Manakala warna ungu telah dipilih sebagai warna tema kerana ia melambangkan perjuangan untuk kesaksamaan gender.

KKR sentiasa memartabatkan dan meraikan sumbangan wanita terutamanya dalam sektor pembangunan infra dan jalan raya negara. Wanita merupakan antara penyumbang utama kepada pembangunan negara bukan sahaja dalam aspek ekonomi, politik dan sosial, malah merangkumi aspek pembangunan negara dan kesejahteraan sesebuah keluarga itu sendiri.

0

Georgetown, 07 Mac 2024 - Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari telah hadir untuk melihat sendiri keadaan mahkamah yang sedang dalam proses naik taraf.

Projek naik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ini adalah projek yang baik kerana kemajuan kerja mendahului kemajuan sebenar iaitu 82% berbanding 71%. Kerja-kerja bermula pada 1 Disember 2021 (tarikh milik tapak) dan dijangka siap Julai 2024.

Mahkamah ini merupakan salah satu faktor utama dalam pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Oleh itu kerja-kerja menaik taraf dan pemuliharaan perlu dibuat mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Sejajar peningkatan usia, bangunan warisan ini dilaporkan mengalami beberapa kerosakan termasuk kebocoran bumbung, kesan anai-anai, kelembapan dan tumbuhan kulat.

Proses naik taraf dan pemuliharaan yang sedang dilaksanakan akan mengekalkan keaslian binaan sebanyak mungkin. Kerja membaik pulih ini adalah untuk memastikan keselamatan pengguna serta menambah beberapa fasiliti yang diperlukan bagi menjamin kemampanan keperluan di masa hadapan.

Setelah siap, projek ini akan mengembalikan fungsi bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang serta memenuhi komitmen terhadap keselesaan dan kesejahteraan pengguna disamping mengekalkan keaslian binaan.

0

Raub, Pahang, 7 Mac 2024 – Perjalanan dari dan ke Pantai Timur akan bertambah lancar dengan pembukaan sebahagian jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dahulunya dikenali sebagai Projek Central Spine Road (CSR) iaitu Seksyen 5A: Raub ByPass. Pengguna yang menggunakan jalan LTU Raub Bypass yang baharu siap ini dapat menjimatkan masa, kos bahan api serta mengurangkan kesesakan jalanraya. Ini kerana pengguna yang berulang alik ke pantai timur boleh menggunakan jalan pintas ini dan tidak perlu lagi melalui Bandar Bentong dan Bandar Raub terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti umum.

Perasmian pembukaan sebahagian Seksyen 5A: Raub ByPass sepanjang 6.4kilometer(km) ini telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bersama - sama YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang di mana para pengguna jalan raya boleh menggunakannya bermula jam 12.01 pagi, hari Jumaat 8 Mac 2024.

Pembukaan jajaran ini akan memberi manfaat kepada pengguna jalanraya dengan memendekkan masa perjalanan dari Lebuhraya Pantai Timur ke Kuala Lipis, Pahang tanpa perlu melalui Bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan sepanjang 45.3 km. Jarak ini mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja dan pastinya menjadi laluan pilihan yang penting dan menjimatkan dari segi masa dan kos perjalanan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Panjang Seksyen 5A: Raub ByPass ini adalah 9.6 km keseluruhannya dan dengan pembukaan 6.4 km pada hari ini serta 600meter yang telah dibuka pada 25 Jun 2023 lalu, menjadikan jumlah jajaran yang telah dibuka kepada rakyat Malaysia Madani adalah sepanjang 7 km. Baki sepanjang 2.6 km dijadualkan akan disiapkan pada Jun 2024. Kerja - kerja pembinaan Seksyen 5A ini bermula pada 13 Jun 2019 dengan melibatkan kos berjumlah RM 252.5 juta dengan skop kerja utama ialah membina jalan baharu empat (4) lorong dua hala (dual carriageway) dengan reka bentuk menepati piawaian JKR R5.

Projek LTU merupakan sebuah projek KKR membina jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada kepada 4 lorong 2 hala (4-lane dual carriageway) sepanjang hampir 299.4 km dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Bentong, Pahang.

Jajaran LTU di Negeri Pahang melibatkan empat pakej utama iaitu Pakej 3 se-hingga Pakej 6 sepanjang 169.10 km dan dipecahkan kepada 16 seksyen. 9 seksyen sepanjang 106.85 km telah siap mengikut masa dan 7 lagi seksyen sepanjang 62.25 km sedang dalam pembinaan.

Terdahulu, Seksyen 5C dan 5D bermula dari Jalan Susur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak melalui Persimpangan Benus, Bulatan Mempaga dan berakhir di Persimpangan Keruntung sepanjang 22.3km telah dibuka kepada pengguna jalan raya pada 5 Oktober 2021 dan diwartakan sebagai Laluan Persekutuan 34 (Lingkaran Tengah Utama). Seksyen 5B: Kg. Orang Asli Sg. Chandan Ke Kg. Asap sepanjang 16 km dan sebahagian Seksyen 5A (Persimpangan Krau, Raub) sepanjang 600m pula telah dibuka pada 25 Jun 2023.

Pembukaan LTU Raub Bypass merupakan komitmen yang berterusan dari KKR dalam menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada rakyat Malaysia Madani. Usaha ini ditambahnilai dengan penawaranan total solution melalui Program MYJalan KKR yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 Ogos 2023 bagi pengguna jalanraya membuat aduan dan memantau penyelesaian aduan menggunakan apps MYJalan di telefon pengguna. Diharapkan total solution ini akan meningkatkan jangka hayat serta kualiti jalanraya melalui pendekatan whole nation approach di mana rakyat sama-sama terlibat dalam menjaga infrastruktur yang telah dibina sesuai dengan semangat JALAN KITA, KITALAH YANG JAGA.

0

Kuala Lumpur, 29 Februari 2024 - Selari aspirasi Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada transformasi digital, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menjalinkan kerjasama strategik bersama National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi memperluaskan adaptasi teknologi di dalam aspek penyenggaraan infrastruktur jalan dan sektor pembinaan.

Program Sandbox ini akan menjadi platform bagi mengintegrasikan teknologi, kajian pembinaan dan penyelenggaraan jalan agar dapat dilaksanakan secara inklusif di seluruh negara.

Program ini juga dapat memberi ruang dan peluang kepada pemain industri mengetengahkan inovasi dan teknologi mereka dalam ruang lingkup bidang kuasa KKR. Atas dasar itu, satu perjumpaan telah diadakan di antara YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pengurusan tertinggi KKR serta agensi, dan pengurusan tertinggi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di ibu pejabat KKR semalam.

Dalam pertemuan selama hampir satu jam itu, pasukan MOSTI telah membentangkan inisiatif Sandbox dan pencapaian program terdahulu yang telah memberi impak kepada ekonomi dan rakyat. Antara pencapaian yang diketengahkan termasuklah Sandbox Pembinaan bersama Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan Kotak Pintar Lebuhraya Pintar bersama PLUS. Kedua-dua Sandbox ini berperanan sebagai pemangkin kepada penyelesaian masalah di lapangan bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Selari aspirasi program MYJalan, KKR dan MOSTI juga telah berbincang peluang kerjasama bagi inisiatif Sandbox ini dalam mengetengahkan teknologi dan inovasi bagi menyelesaikan isu-isu penyenggaraan jalan raya termasuk dalam aspek pengawalseliaan.

YB Dato Sri Alexander berkata melalui program Sandbox, inovasi yang dihasilkan oleh KKR dan agensi di bawahnya juga dapat diketengahkan. “Melalui Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya

(CREaTE) dan CREAM, yang menerajui kajian dan inovasi sektor penyenggaraan infrastruktur dan pembinaan, pelbagai hasil inovatif telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Produk-produk ini berpotensi untuk diketengahkan dan digunakan secara meluas oleh sektor-sektor yang terlibat,” katanya.

YB Dato Sri Alexander berkata, melalui kerjasama bersama MOSTI ini, KKR berhasrat untuk melaksanakan program Sandbox Infrastruktur Jalan Pintar yang akan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan jalan raya, termasuk perabot jalan.

“Ini termasuklah melihat kepada teknologi pembinaan jalan yang menggunakan bahan yang lebih berdaya tahan, tampalan jalan yang lebih berkualiti dan tahan lama, teknologi perabot jalan yang dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan sebagainya. Ini sejajar dengan semangat Program MYJalan yang diketengahkan oleh KKR,” katanya.

Perbincangan ini turut dihadiri oleh Dato' Zahrul Hakim Abdullah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) KKR, Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Boniface Anak Edwin Manung Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemindahan Teknolologi dan Pengkomersialan R&D (PTK) dan Mohd Safuan Mohd Zairi Ketua Pembangunan Ekosistem MRanti.

0

Putrajaya, 28 Februari 2024 – Telah berlangsung Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Turut hadir dalam mesyuarat, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghani, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR). Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk membincangkan status dan penyelarasan hala tuju projek-projek berimpak tinggi Negeri Johor antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Antara program dan projek menaiktaraf infrastruktur kemudahan rakyat yang dibincangkan adalah:

1. Lebuhraya Senai ke Sedenak, Sedenak ke Simpang Renggam dan Senai ke Desaru

2. Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi daerah Segamat, Kota Tinggi dan di Batu Pahat

3. Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 dan kerja-kerja menaik taraf Hospital Sultanah Aminah

4. Kerja-kerja menaik taraf Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB)

5. Cadangan penyuraian, pengurusan trafik dan kesesakan lalu lintas di Bandaraya Johor Bahru serta hala tuju Iskandar Rapid Transit (IRT)

6. Bekalan air Johor melibatkan Sungai Pontian Besar, Sungai Sedili Besar, Sungai Gembut, Air Layang 2 dan Sungai Johor. 

Projek-projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi Kerajaan Persekutuan Bersama Kerajaan Negeri yang dapat memberi manfaat jangka panjang bagi rakyat negeri Johor. KKR sebagai kementerian pelaksana sentiasa komited dalam menyampaikan infrastruktur yang kondusif dan mesra rakyat.

0

Jepun, 27 Februari 2024 - Satu lawatan teknikal dari delegasi Kementerian Kerja Raya (KKR) yang diketuai oleh YBhg Datuk Seri Hasnol Zam Zam, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya telah diadakan ke Daikin Industries Ltd di Technology & Innovation Center (TIC) di Daikin Yodogawa Factory, Osaka dan ke Tokyo Yaesu Midtown Tokyo Jepun.

Turut hadir sama ke sesi lawatan tersebut adalah wakil daripada pegawai KKR, wakil Konsesi Ambang Wira Sdn Bhd dan wakil Daikin Malaysia.

Pada 22 Februari 2024, Lawatan ke TIC Osaka adalah untuk melihat kaedah pembuatan sistem penyejuk bagi penyaman udara serta mengambil pengalaman teknikal bagi pengurusan penjimatan tenaga bangunan.

Seterusnya pada 26 Februari 2024, delegasi melawat ke Tokyo Yuesu Midtown yang menempatkan ibu pejabat Daikin Industries Japan untuk mendapatkan pendedahan tentang sistem pengurusan tenaga menggunakan teknologi baharu yang boleh menjimatkan tenaga sehingga 56% dan mengawal pembebasan CO2 sehingga 25%.

Selain itu, pihak Daikin juga berkongsi pengalaman dan pengetahuan merancang dan membina Bangunan Tokyo Midtown Yaesu yang disiapkan pada Ogos 2022.

Adalah diharapkan dengan pengalaman daripada lawatan ini dapat diadaptasikan ke dalam sistem pengurusan fasiliti di bangunan-bangunan kerajaan khususnya dalam mencapai sasaran penggunaan tenaga rendah yang lebih efisien.

0

Kuala Lumpur, 27 Februari 2024 – Satu sesi dialog bersama Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan Jabatan Kerja Raya Malaysia Tahun 2024 telah diadakan di Kementerian Kerja Raya. Dalam sesi tersebut, YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyampaikan amanat akan pentingnya peranan Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan sebagai tenaga kerja dalam menjayakan agenda dan halatuju kementerian yang lebih berdaya saing agar memenuhi penanda aras jabatan sekaligus menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Seramai 86 pegawai yang terdiri daripada Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Malaysia melibatkan 11 Negeri hadir dan telah mendengar amanat yang disampaikan oleh YB Menteri Kerja Raya yang seterusnya diteruskan dengan taklimat pelaksanaan Program MYJalan.

Sesi dialog dua hala yang julung kali diadakan ini adalah selaras dengan aspirasi Program MuJalan yang antaranya adalah untuk meningkatkan ketangkasan penyelesaian aduan dan kerja-kerja penyenggaraan jalan melalui pemerkasaan fungsi Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan. Pelaksanaan sesi dialog ini diyakini dapat membuka lebih ruang kepada Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan dan pihak Kementerian duduk bersama bagi melihat dan melaksanakan usaha yang dapat memberikan impak dan manfaat kepada rakyat Malaysia Madani.

Mengambil kira kejayaan cemerlang usaha ini sejak Program MYJalan diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada Ogos 2023, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta menerusi belanjawan tahun 2024 yang memperlihatkan penambahan peruntukan daripada RM 100 ribu (tahun 2023) kepada RM 200 ribu untuk 115 Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan seluruh Malaysia. Dengan adanya peruntukan ini, adalah menjadi harapan Kementerian Kerja Raya agar semua Jurutera Daerah dan Jurutera Jajahan yang terlibat akan melaksanakan tugas mereka dengan lebih cekap, berintegriti dan amanah.

0

Seremban, 23 Februari 2024 - Membawa semangat dan aspirasi Program MyJalan, Kementerian Kerja Raya (KKR) hadir mendengar sendiri permasalahan berkaitan infrastruktur jalan raya yang dihadapi di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Delegasi kunjungan diketuai oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, diiringi Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) YBrs Tuan Mohd Sakeri Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) YBhg. Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, dan juga pegawai-pegawai tertinggi KKR dan Agensi.

Delegasi KKR telah disambut oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dan pegawai tertinggi Kerajaan Negeri.

Hasil daripada sesi perbincangan, KKR telah bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM135.8 juta kepada Negeri Sembilan bagi pelaksanaan kerja penyenggaraan jalan, cerun, jambatan dan bangunan Gunasama Persekutuan untuk tahun 2024.

Selain itu, KKR dan Jabatan Kerja Raya turut menzahirkan komitmen untuk melaksanakan sebanyak sembilan (9) buah projek pembangunan Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 billion.

KKR juga telah bersetuju untuk mempertimbangkan dua cadangan permohonan tambahan yang dikemukakan oleh YAB Dato’ Seri Aminuddin melibatkan kerja-kerja pemasangan Smart Traffic Light di beberapa lokasi di Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan.

Pemasangan Smart Traffic Light ini merupakan langkah proaktif KKR dalam memperkasa pelaksanaan inovasi berimpak tinggi dengan menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar atau Smart Traffic Light (STL).

Pada tahun ini, KKR telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM30juta untuk pelaksanaan STL di 148 lokasi persimpangan Jalan Persekutuan seluruh negara.

KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga dalam sesi rundingan bersama-sama agensi lain dan syarikat pencadang sedang merancang pelaksanaan tiga (3) buah projek Penswastaan Lebuhraya di Negeri Sembilan, termasuklah cadangan pembinaan Lebuhraya Paroi ke Senawang yang menjadi keutamaan kerajaan Negeri Sembilan.

YAB Dato' Seri Aminuddin turut menyambut baik pelaksanaan Program MyJalan yang dilaksanakan oleh KKR.

KKR berhasrat memperluaskan Program MyJalan ini ke seluruh Malaysia bagi merealisasikan impian dalam menjadikan jalan raya di Malaysia dalam kondisi terbaik menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua jabatan yang terlibat dalam sektor penyenggaraan dan berkaitan jalan raya di Malaysia.

0

Kuala Lumpur, 21 Februari 2024 – Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia (MAFM) telah menganjurkan Perjumpaan Umum bertemakan "tren semasa industri pengurusan fasiliti dan hala tuju masa depan" bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan MAFM ke-17 yang diadakan di UTM Hotel and Residence Kuala Lumpur. Acara itu dihadiri oleh 120 pemimpin industri yang terdiri daripada pemilik aset, penyedia perkhidmatan, badan kawal selia, ahli akademik dan pembekal yang berkaitan dengan industri pengurusan fasiliti di Malaysia. Dalam konteks yang sebenar, industri pengurusan fasilti di Malaysia dikawal selia dibawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520).

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia. Hadir sama Dato' Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, ahli akademik dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan pasukan pengurusan kanan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Mengikut  perangkaan  Jabatan  Statistik  Malaysia,  industri  pembinaan  mempunyai  nilai keluaran  tahunan  purata  berjumlah  RM138.44  bilion  pada    tahun  2022  dan  sektor pengurusan fasiliti terus berkembang dengan baik pada kadar purata RM25 bilion dalam tahun 2022. Jesteru itu, profesion FM perlu lebih dinamik dengan membuat transformasi dalam aspek pendigitalan dan kelestarian.  Dari segi sumbangan     sosial ekonomi, pengurusan fasiliti dilihat sebagai satu cara untuk menguruskan aset dengan lebih baik melalui   pengurangan   kos, meningkatkan   fleksibiliti, membolehkan   penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan responsif  serta  mewujudkan  persekitaran  yang lebih baik dan selamat."

Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad bin Maslan menegaskan bahawa "Pengurus Fasiliti perlu menambah pengetahuan dan meningkatkan amalan kerja mereka untuk kekal relevan, seiring dengan perkembangan industri pengurusan fasiliti di seluruh dunia". Dalam konteks industri pembinaan Malaysia, seiring dengan semangat Dasar Pembinaan Negara yang dibangunkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia pada tahun 2023.

“Dalam memperkasa industri pembinaan Malaysia kepada sektor yang sangat produktif dan mampan menjelang tahun 2030, profesional industri kita mesti bersedia untuk menjadi setanding dengan pemain global lain dari segi kapasiti, komponen dan keupayaan untuk meningkatkan produktiviti industri pembinaan Malaysia. Ini akan membantu pihak Kerajaan menyelesaikan masalah bajet dan kesukaran dalam menguruskan aset utama bangunan dan infrastruktur Kerajaan seperti sekolah, hospital, lebuh raya dan jalan luar bandar dan bandar” tambah Datuk Seri Ahmad bin Maslan.

KKR sentiasa komited dalam memastikan industri pembinaan Malaysia sentiasa produktif dan mampan dalam menghadapi cabaran global bagi memastikan persekitaran kondusif dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.