Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 8 Ogos - YBhg. Datuk Zohari Akob, menerima nota serah tugas selaku Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya yang baharu daripada YBhg. Datuk Himmat Singh dalam satu majlis ringkas di Bilik Cempaka, Kompleks Kerja Raya di sini hari ini.

Datuk Zohari telah dilantik sebagai KSU KKR bermula pada 21 Julai 2014. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi dari University of Leicester, United Kingdom, turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang perikanan dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau telah berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam selama 26 tahun dengan mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 12 Jan 1988.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Timbalan Pengarah Seksyen Public Private Sector Cooperation (PCC), Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sementara itu Datuk Himmat Singh telah bertukar sebagai KSU Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

1

KUALA LUMPUR, 22 Julai – YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia, telah melancarkan laman web Travel Smarter sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), di Persada PLUS, Persimpangan Bertingkat Subang, Lebuhraya PLUS, di sini, hari ini.

Travel Smarter adalah merupakan laman web interaktif yang dibangunkan oleh Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dan akan memaparkan pelbagai info, antaranya latar belakang dan faedah pembangunan lebuh raya di Malaysia, info trafik secara langsung dan juga “Journey Planner”.

Pengguna lebuh raya boleh menggunakan “Journey Planner” bagi membuat anggaran kos dan jarak perjalanan ke destinasi yang dituju sama ada melalui lebuh raya atau jalan tanpa tol, ujar beliau.

1

KUALA LUMPUR 23 Julai – Kelab Sukan dan Kebajikan Kementerian Kerja Raya (KSKKKR) hari ini telah mengagih sebanyak 450 paket bubur lambuk kepada semua warga kementerian bersempena dengan bulan Ramadhan 1435 hijrah bertempat di Lobi Blok A, Kompleks Kerja Raya.

1

JABOR, 21 Julai – Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1435 Hijrah yang akan diraikan pada Julai 2014 ini, Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memutuskan untuk membuka sebahagian lagi jajaran Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) kepada laluan awam dari persimpangan Jabor sehingga ke persimpangan Cheneh sepanjang 26 km mulai 21 Julai 2014.

Dengan pembukaan persimpangan ini ia dijangka memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya yang akan pulang berhari raya dan pada masa yang sama dapat menyuraikan seterusnya mengelakkan kesesakan trafik di musim perayaan ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya dan Pengangkutan Kerajaan Negeri Terengganu, YB Tuan Ir. Rosli bin Othman.

Turut hadir ialah Pengarah Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu, Ybhg Dato Haji Shafii bin Mohamad.

1

KUNDANG, 21 Julai – YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya merasmikan susur keluar ke Jalan B149, Kundang, Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (LATAR) hari ini.

Taklimat mengenai susur keluar ini telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), YBhg. Dato’ Ir. Haji Ismail Md Salleh.

Lebuhraya LATAR sepanjang 33 km ini menghubungkan antara Kuala Lumpur dengan Kuala Selangor. Ianya merupakan persimpangan yang lengkap berbentuk ‘diamond’ dengan terbinanya tambahan susur keluar ke Jalan Setia dari arah Barat dan susur keluar ke Jalan Setia dari arah Timur.

Pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya LATAR di KM 17.6 Jalan Setia (B149) Kundang merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi menambahbaik sistem penyuraian trafik di Pekan Kundang dan kawasan setempat.

Ia juga dapat memberi kemudahan akses untuk penduduk Kuang dan Kundang serta kawasan sekitarnya menggunakan lebuhraya LATAR untuk ke Kuala Lumpur dan Kuala Selangor.

Susur keluar ini akan mula beroperasi pada hari ini.

Turut hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSU KKR), YBhg. Dato’ Zohari Akob dan YBrs. En. Sarani Dollah, Timbalan KSU (Pengurusan) KKR dan YBhg. Dato’ Sri Ir. Judin Abdul Karim, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

1

PARIT BUNTAR, 18 Julai – Seramai 150 kontraktor bumiputera dari seluruh Negeri Perak dan kawasan sekitarnya telah menyertai Program Pemantapan Integriti Kontraktor Bumiputera dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM). Seminar ini telah diadakan di Dewan Seri Kerian manakala majlis berbuka puasa pula diadakan di perkarangan Masjid Daerah Parit Buntar.

Turut diadakan adalah penyampaian sumbangan kepada warga kurang berkemampuan dan ibu tunggal oleh YB Datuk Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya.

Turut hadir adalah Setiausaha Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan, Encik Yahaya Hassan, Pengarah JKR Negeri dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan negeri.

1

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk bulan ini telah dianjurkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

“Pembinaan lebuhraya di seluruh Negara bukan sahaja dapat memberi kemudahan kepada rakyat dengan menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia tetapi yang lebih penting ialah ia menjadi pemangkin kepada kemajuan dalam pelbagai sektor ekonomi.” kata Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika berucap di perhimpunan tersebut.

“LLM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyediakan peronda lebuhraya yang mempunyai pengetahuan pertolongan kecemasan dan terlatih bagi tujuan memberi bantuan kecemasan awalan di lebuhraya,” katanya lagi.

Datuk Rosnah turut menyentuh mengenai 1Malaysia One Call Centre (1MOCC). Beliau menyeru kepada pengawai yang dilantik sebagai focal person di bahagian dan unit supaya lebih peka untuk menjawab panggilan dari 1MOCC dan sentiasa siap siaga dalam member jawapan dan maklumbalas yang tepat. Datuk Rosnah juga berharap agar seluruh warga KKR dan agensi dibawahnya berusaha menjalankan tugas dengan beramanah dan integrity, khususnya demi menjaga nama baik perkhidmatan awam.

Turut hadir bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKR, YBrs. En. Sarani Dollah, YBhg. Dato’. Sri Ir. Dr. Judin Abdul Karim, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Binaan Malaysia (CIDB), YBhg. Dato’ Ir Haji Ismail Md Salleh, Ketua Pengarah LLM, YBhg Dato' Ir. Annies Md.Ariff, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) serta warga kementerian dan agensi KKR.

1

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof telah menghadiri majlis berbuka puasa bersama dengan anak-anak Sarawak di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Majlis ini telah disertai oleh pelajar- pelajar Sarawak yang belajar dan tinggal di sekitar Lembah Klang. YB Datuk turut menunaikan solat maghrib, isyak dan sunat terawih berjemaah bersama-sama hadirin di majlis tersebut.  Turut hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Puan Hajah Nancy Shukri.

1

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan, Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan program pembangunan kontraktor dengan memberi peluang perniagaan dan meluaskan jaringan perniagaan melalui penajaan ruang pameran kepada 10 kontraktor dan usahawan binaan Bumiputera.

Program ini adalah bersempena pameran OneBuild Malaysia International Building, Architecture & Construction Technology 2014 yang diadakan bermula pada 16 hingga 19 Julai 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pameran ini menyediakan pentas untuk pemain industri binaan tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi teknologi terkini, produk, perkhidmatan dan perkakas binaan serta yang berkaitan industri pembangunan infrastruktur.

Pameran oleh kontraktor dan usahawan bumiputera ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Mohd Shafiq Bin Abdullah, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan (BPP).

Turut hadir adalah Setiausaha Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan, Encik Yahaya Hassan.

1

KUALA LUMPUR, 10 Julai 2014 – Majlis Berbuka Puasa Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.  Pada majlis ini, YB Datuk Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya bersama  isteri dan  YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya telah menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal warga Kerja Raya.

Majlis tersebut diteruskan dengan tazkirah dan solat sunat terawih berjemaah yang telah disampaikan dan diimamkan oleh Ustaz Zulkarnain Hamzah.

Turut hadir sama ialah YBhg Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha KKR, YBrs En.Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKR, YBhg Dato’ Sri Ir Judin Abdul Karim, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), YBhg. Dato' Ir Hj. Ismail bin Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), YBhg Dato' Annies Md Ariff, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan warga-warga KKR.