Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

Visi MyJalan Dibentangkan Di Kongres Jalan Sedunia Ke-27 2023

Prague, 3 Oktober 2023 - Semalam Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah berpeluang berkongsi pengalaman Malaysia berkaitan keselamatan dan penyelenggaraan jalan raya di pentas antarabangsa di hari pertama Kongres Jalan Sedunia ke-27 2023 anjuran Persatuan Tetap Kongres Jalan Antarabangsa (PIARC) yang berlangsung di Prague, Republik Czech dari 2 Oktober hingga 6 Oktober 2023.

Kongres yang bertemakan ‘Together on The Road Again’ telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Czech Republic, Petr Fiala dan Presiden Senat Czech, Milos Vystrcil yang melibatkan penyertaan lebih 22 buah negara.

Di pentas antarabangsa tersebut Menteri Kerja Raya telah bentangkan visi dan inisiatif kempen MYJalan yang dilancarkan pada bulan Ogos 2023 oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim. Kempen ini adalah inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) bertujuan untuk meningkatkan akauntabiliti dan menggalakkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama.

Dalam ucapan pembukaan di kongres ini yang disampaikan oleh Presiden PIARC, Nazir Alli turut menegaskan keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan rata-rata semua negara yang terlibat bersetuju bahawa isu keselamatan jalan raya menuntut penglibatan menyeluruh dan koordinasi yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan, komuniti perniagaan, ahli akademik dan masyarakat sivil. Ianya selari dengan semangat yang diangkat di dalam kempen MYJalan ini.

Kempen ini selaras dengan strategi Wawasan Sifar (Vision Zero) yang diperkenalkan oleh Sweden dan diimplementasikan oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) sejak 2019 sebagai langkah ke hadapan bagi mencapai kematian sifar.

Inisiatif kempen ini juga menyokong visi Malaysia Madani iaitu masyarakat yang bertamadun, berkemahiran dan inklusif berdasarkan enam nilai teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Selain itu, kempen ini bertindak sebagai usaha kolektif dan platform advokasi dalam mendidik pengguna jalan raya mengenai penyelenggaraan jalan. Aktiviti penyelenggaraan jalan adalah penting untuk mengawal kadar kerosakan dan memastikan perkhidmatan jalan berada pada tahap terbaik, seterusnya menjamin keselesaan dan keselamatan semua pihak.

Di bawah payung kempen ini, aplikasi MYJalan telah dilancarkan berpaksikan kepada dasar 'no wrong door policy'. KKR berusaha untuk menambah baik saluran aduan pengguna dan berfungsi sebagai sistem pemantauan penyelenggaraan jalan untuk mengatasi isu kritikal yang sering dihadapi pengguna terutama jalan rosak atau berlubang. Sehingga kini, aduan yang diterima melalui aplikasi ini adalah sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada sebelumnya. Bagi KKR, ini merupakan satu perkembangan yang baik kerana ia menjadi bukti keprihatinan rakyat dan usaha proaktif Kerajaan dalam memastikan infrastruktur jalan dalam keadaan baik dan selamat.

Antara perkara lain yang telah dibentangkan oleh YB Menteri adalah beliau membangkitkan komitmen Malaysia untuk mengimplementasikan Pelan Global Dekad Tindakan untuk Keselamatan Jalan Raya 2021–2030 (Global Plan for the Decade of Action for Road Safety 2021–2030). Beliau turut menyentuh cabang teknikal iaitu KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) terlibat secara aktif dalam aktiviti keselamatan jalan raya terutamanya dalam menghasilkan dokumen berkaitan kejuruteraan jalan raya. Teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Perkara (IoT) dibangunkan dan digunakan bagi menggalakkan keselamatan jalan raya termasuk perspektif kejuruteraan jalan raya melalui Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (ITS) (2019-2023).

Selain itu, YB Menteri turut berkongsi inisiatif Pusat Penyelidikan Pengangkutan di Universiti Malaya yang telah memperkenalkan program Sarjana baharu melalui kerja kursus iaitu Sarjana Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya. Program ini relevan dengan keperluan semasa negara dalam menangani isu keselamatan jalan raya.

Menteri Kerja Raya di akhir katanya menekankan bahawa keselamatan jalan raya memerlukan tindakan yang menyeluruh dan koordinasi yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan, komuniti perniagaan, ahli akademik dan masyarakat sivil. Oleh itu, membangunkan penyelesaian yang mampan dan boleh dilaksanakan melalui inovasi strategik, pembelajaran dan fokus tindakan akan memerlukan penciptaan bersama, usaha bersepadu dan pendekatan yang sihat untuk mencapai matlamat yang diingini.

0

Kuala Lumpur, 29 September 2023 - Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) telah dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi bertempat di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA).

Menteri Kerja Raya juga turut berpeluang merasai pengalaman sendiri dengan memandu dan melalui Lorong SPT. Turut hadir bersama-sama ialah Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin bin Alias, Ketua Pengarah LLM, Ir. Sazali bin Harun, Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Zakaria bin Ahmad Zabidi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Pn. Wan Salwani binti Wan Yusoff.

SPT merupakan inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan PSKLM untuk memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya membuat bayaran tol menggunakan kad debit, kad kredit dan kad prabayar yang mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard. Ia memberi alternatif baharu kepada kaedah pembayaran tol sedia ada yang menggunakan kad Touch ‘n Go, Smart Tag dan Radio Frequency Identification (RFID). Lorong SPT telah dibuka kepada pengguna semasa Ujian Rintis Awam secara berperingkat di lebuh raya – lebuh raya terpilih mulai 3 Ogos 2023 lalu bagi menguji kefungsian dan keberkesanan sistem.

Sebelas (11) syarikat konsesi lebuh raya telah membuka lorong SPT kepada pengguna kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) bermula hari ini iaitu:

  1. Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA);
  2. Lebuhraya Baru Pantai (NPE);
  3. Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH);
  4. Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE);
  5. Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP);
  6. Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT);
  7. Lebuhraya Shah Alam (KESAS);
  8. Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART);
  9. Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX);
  10. Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE); dan
  11. Lebuhraya Kulim – Butterworth (BKE).

KKR dan LLM ingin menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan perkara-perkara berikut diambil perhatian dan tindakan sewajarnya iaitu :

  • Pengguna dikehendaki mengaktifkan ‘contactless payment’ bagi kad debit/kad kredit/kad prabayar yang akan digunakan;
  • Pengguna perlulah memilih lorong yang betul, yang mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard pada papan tanda lorong;
  • Pengguna dikehendaki memastikan kad yang digunakan adalah sah dan baki kad debit/kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol;
  • Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna hendaklah  menggunakan kad bank lain ataupun kad Touch ‘n Go yang mempunyai baki mencukupi; dan
  • Menyentuh kad pada bahagian yang ditetapkan di terminal SPT yang diletakkan bersebelahan terminal Touch ‘n Go bagi memastikan kelancaran pembayaran tol secara SPT.

Sejajar dengan kempen MYJalan yang antara lain dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya, KKR sentiasa komited dalam menyampaikan hasrat kerajaan agar SPT yang dilancarkan ini juga dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya dengan menyediakan pelbagai alternatif baharu pembayaran tol selain membantu melancarkan transaksi pembayaran tol sedia ada.

0

Kuala Lumpur, 27 September 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menghadiri Taklimat Bilik Gerakan Bencana (BigBen) JKR berhubung persediaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi menghadapi musim peralihan monsun yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), JKR Malaysia, YBhg. Dato' Ir. Hj Zulkipli bin Hj Nasri.

Menurut laporan cuaca yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, negara dijangkakan berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya pada bulan September 2023 dan dijangka akan memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) pada bulan November 2023 sehingga Februari 2024. Antara impak peralihan monsun ini ialah peningkatan sebanyak 20% hingga 40% daripada purata jumlah hujan jangka panjang.

Perubahan cuaca ini bakal memberi kesan terhadap infrastruktur awam seperti jalan raya, jambatan dan lebuhraya berikutan jangkaan peningkatan jumlah hujan. Sebanyak 2580 aset jentera terdiri daripada aset Persekutuan dan Negeri telah sedia untuk digerakkan bagi tujuan pengangkutan petugas dan misi bantuan, pemantauan, pemulihan dan pembaikan infrastuktur, pembaikan cerun serta pemindahan mangsa. Antara jentera yang akan digunakan adalah kenderaan pacuan empat roda, jentera kaut, jentera penyodok, lori muatan tiga dan lima tan.

Selain itu, JKR dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kenderaan dan tenaga kerja untuk kerja-kerja penyelenggaraan tempat kejadian bencana dan logistik pengangkutan seperti menyediakan tempat berlindung sementara iaitu kanopi atau khemah, menyediakan perkhidmatan teknikal dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan forensik, geoteknik, struktur dan lain-lain.

Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR akan memeriksa dan memastikan sistem saliran cerun dalam keadaan baik dan akan mengenalpasti tanda-tanda awal kegagalan cerun di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri. Cerun-cerun yang berkategori Risiko Tinggi dan Sangat Tinggi yang dikenalpasti akan diberi perhatian serta kekerapan rondaan dan pemeriksaan.

Had amaran semasa akan dipaparkan di laman web Sistem Amaran Awal Cerun JKR. Amaran melalui sistem pesanan ringkas akan diterima apabila kadar hujan melebihi nilai ambang sebagai amaran awal tanah runtuh.

KKR turut bersiap siaga menggerakkan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau 'Bailey Bridge' yang merupakan jambatan sementara yang boleh dipasang siap dalam tempoh minimum 36 jam sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan yang terputus akibat bencana.

Bagi aset jambatan dan pembetung pula, penyenggaraan rutin dilakukan mengikut jadual dan kitaran yang ditetapkan seperti pembersihan laluan air, tumbuh-tumbuhan, puing dalam pembetung, pemeriksaan pengesahan aset jambatan dan pembetung yang mengalami kerosakan, penyediaan cadangan pembaikan alternatif dan seterusnya melaksanakan kerja – kerja pembaikan segera.

Maklumat status kejadian bencana jalan raya boleh diperolehi di portal bencana JKR di alamat: www.bencanaalam.jkr.gov.my dan melalui laman twitter di @JKRMalaysia, @CSFJ_JKR dan facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia serta boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) 03-26107727.

Para pengguna juga boleh menyalurkan sebarang kerosakan jalan raya yang terjejas akibat MTL melalui aplikasi aduan MyJalan yang telah diperkenalkan secara rasmi sewaktu pelancaran Kempen MYJalan oleh YAB Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada Ogos lalu.

Penyediaan aset jentera KKR adalah usaha kementerian mengambil tindakan pantas dalam berhadapan dengan situasi bencana alam demi keselamatan rakyat. KKR menasihatkan orang awam sentiasa berhati-hati sewaktu musim peralihan monsun ini dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta papan tanda amaran yang telah dipasang oleh JKR. Pengguna jalan raya turut diminta agar sentiasa berwaspada dan peka sewaktu melalui kawasan yang berisiko.

0

Kuala Lumpur, 25 September 2023 – Hari ini Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi telah hadir bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, ICU dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kepada Menteri Kesihatan iaitu YB Dr. Zaliha Mustafa.

Turut hadir bersama-sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad dan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool.

Projek Kompleks Bedah, ICU dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur dengan tarikh milik tapak pada 2 Februari 2018 dapat disiapkan dengan jayanya pada 4 Ogos 2023 iaitu 3 hari lebih awal dari tempoh siap semasa.

Pembinaan dilaksanakan secara reka dan bina serta dikawal selia oleh Pasukan Projek Khas 1, Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos peruntukan asal sebanyak RM171 juta. Projek ini juga berjaya dilaksanakan dengan penjimatan kos sebanyak RM9 juta serta mendapat pengiktirafan empat (4) bintang bagi Sistem Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC) selain mencapai skor 79% dalam penilaian Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (Qlassic).

Projek ini merupakan sebahagian daripada projek pembangunan semula HKL yang melibatkan kerja-kerja perobohan bangunan lama dan membina semula Kompleks Dewan Bedah Urologi baharu yang berhubung dengan Blok A Institut Urologi dan Nefrologi (IUN).

Bangunan baharu setinggi tujuh (7) tingkat ini dikenali sebagai bangunan Blok B IUN yang menempatkan kemudahan-kemudahan baharu seperti Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi Urologi dan Nefrologi serta Unit Hemodialisis. Sebanyak 252 katil tersedia untuk High Dependency Wad, Wad Urologi, Wad Nefrologi dan Wad Perubatan Am. Ia dapat meningkatkan keupayaan rawatan sehingga 3 kali ganda pesakit di Unit rawatan AKUT Hemodialisis dan 2 kali ganda pesakit di Unit Rawatan Rapi. Bangunan IUN baharu dijangka beroperasi secara berperingkat pada akhir bulan Oktober 2023.

Skop pembinaan ini turut melibatkan satu laluan bertingkat sepanjang 133meter yang menghubungkan Bangunan Utama HKL ke Kompleks Pakar dan Rawatan Harian HKL bagi kegunaan membawa pesakit. Kerja-kerja menaiktaraf pencawang elektrik 10 (PE10) juga dilaksanakan.

JKR adalah salah satu agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) yang masih utuh dipegang oleh kementerian ini demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa dijaga. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan kepercayaan kepada JKR dalam melaksanakan projek-projek fasiliti kesihatan negara. Penyerahan projek ini merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan prasarana dan perkhidmatan kepakaran perubatan yang terbaik dalam meningkatkan kualiti kesihatan rakyat.

0

Temerloh, Pahang, 21 September 2023 - Laluan di KM117.8 hingga KM117.9 arah barat Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) di Temerloh yang ditutup sejak 10 September lalu akan dibuka semula petang ini. Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah turun padang untuk meninjau perkembangan kerja pembaikan jalan raya di laluan tersebut susulan kegagalan cerun tambakan bagi projek tebatan banjir.

Turut hadir bersama-sama ialah Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Sazali Harun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MTD, Dato’ Nik Fauzi bin Tan Sri Dr. Nik Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Tn. Hj Imran Gulcharan Abdullah.

Sebelum ini Menteri Kerja Raya telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama pemegang konsesi Lebuhraya LPT1 iaitu ANIH Berhad untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan bagi membolehkan lebuh raya dapat dibuka dengan kadar segera. Kerja-kerja pembaikan di kawasan tersebut yang dijadualkan mengambil masa selama 14 hari bermula 13 September 2023 berjaya disiapkan lebih awal iaitu dalam tempoh 8 hari kerana ianya dilaksanakan secara intensif antara 16 jam sehingga 24 jam sehari.

Taklimat daripada pihak LLM dan ANIH turut disampaikan kepada Menteri Kerja Raya semasa lawatan tersebut berkenaan kejadian kegagalan cerun tambakan dan cadangan pelan tindakan mitigasi yang telah dan akan diambil bagi menyiapkan projek tebatan banjir di kawasan yang terlibat. Menteri telah mengarahkan tindakan jangka masa panjang diambil bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenalpasti 12 jalan raya persekutuan di Pahang yang terkesan akibat Monsun Timur Laut. Kos yang diperuntukkan untuk kerja pembaikan jalan raya tersebut berjumlah RM38 juta yang telah menyiapkan 3 jalan raya manakala selebihnya sudah mencapai 70% pembinaan. Sebelum ini, KKR telah meluluskan kerja berkala pavemen untuk Negeri Pahang sebanyak RM180 juta dan kerja berkala bukan pavemen sebanyak RM23 juta bagi tahun 2023.

KKR dan seluruh agensi dibawahnya sentiasa komited untuk menyediakan laluan yang selamat, selesa dan lancar kepada pengguna lebuh raya. Ini juga amat berkait rapat dengan kempen MYJalan yang telah dilancarkan oleh KKR baru-baru ini dalam meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan juga lebuh raya agar dapat sama-sama menjaga keselamatan dan keselesaan jalan kita bersama.

0

SINTOK, 20 SEPTEMBER 2023–Satu Lawatan Tapak telah diadakan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, Sintok, Kedah oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah. Turut hadir dalam lawatan ialah Ketua Pegawai Eksekutif ABM Utara YBrs. En Mohd Nazri bin. Hj. Zakaria, pengarah-pengarah negeri Lembaga Industri Pembinaan (CIDB) bagi Zon Utara, Timbalan Pengarah Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan serta Timbalan Pengarah, GIATMARA Negeri Kedah.

YBhg. Dato’ Zahrul menzahirkan rasa terima kasih ABM Utara yang merupakan penganjur lokasi pertandingan dan juga sebagai penyelaras bagi penyediaan bahan guna habis, peralatan, perkakasan dan penyediaan tapak pertandingan Worldskill Malaysia Belia (WSMB) 2023 dan juga kepada Lembaga Industri Pembinaan (CIDB) selaku urusetia bersama KKR.

WBSM 2023 di ABM Utara ini merangkumi pertandingan bagi bidang Bricklaying, Wielding, Electrical Installations & Refrigeration and Air Conditioning. Pertandingan ini diadakan pada 18 September 2023 sehingga 21 September 2023. Peserta-peserta yang menyertai pertandingan ini terdiri daripada pelajar-pelajar institut TVET negara dari seluruh pelosok Malaysia. Harapan KKR adalah untuk melihat peserta-peserta ini dapat dipilih untuk bertanding di peringkat yang lebuh tinggi dalam bidang kemahiran masing-masing.

KKR juga kini sedang menguruskan penyertaan peserta negara, Muhammad Habibullah Bin Mohd Yusuff dari ABM Sintok untuk ke pertandingan WorldSkills Asia Abu Dhabi 2023 yang akan berlangsung pada 25 November hingga 1 Disember 2023 bagi penyertaan tiga (3) bidang kemahiran iaitu Electrical Installations, Refrigeration and Air-Conditioning dan Bricklaying.

Selain itu, KKR juga sedang menyelaras penyertaan peserta negara ke pertandingan 3rd World Construction Championship Rusia 2023 yang akan berlangsung pada 17 hingga 20 Oktober 2023. Penyertaan ini melibatkan 5 peserta negara yang akan bertanding secara atas talian dan bersemuka dalam dua (2) kategori iaitu Building Information Modelling (BIM) dan BIM Specialist.

Justeru itu, KKR berharap melalui penganjuran pertandingan kemahiran yang dijalankan dapat mewujudkan jaringan kerjasama antara Kementerian dan agensi-agensi TVET khususnya dalam memperkasa kemahiran pembinaan negara seterusnya melahirkan modal insan bertaraf dunia.

0

KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER 2023 – Telah berlangsung Majlis Perasmian Hari Safety & Health Environment and Quality (SHEQ) 2023 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC). Majlis ini disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Turut hadir bersama-sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam  serta Datuk Sr. Amran Haji Mohd Majid, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar, Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Penganjuran SHEQ 2023 bertujuan untuk mengiktiraf dan memberikan penganugerahan kepada pencapaian cemerlang QLASSIC, SHASSIC & MyCREST 2023. Majlis ini bukan saja sebuah majlis penghormatan kepada penggiat industri pembinaan, tetapi juga satu platform strategik untuk memotivasi dan memupuk semangat di kalangan para permain industry pembinaan di Malaysia dalam pelbagai aspek.

Pertama ia mampu mendorong peserta untuk tampil dinilai berdasarkan standard industri pembinaan yang telah ditetapkan, iaitu QLASSIC, SHASSIC, dan MyCREST. Ini adalah langkah penting untuk memastikan bahawa setiap projek pembinaan mematuhi standard tertinggi dalam hal kualiti, keselamatan, dan kelestarian alam sekitar. Penilaian ini juga membantu memastikan projek-projek yang dinilai memberikan manfaat maksimum kepada masyarakat dan alam sekitar.

Kedua ketika pemain industri berusaha untuk pencapaian cemerlang dalam kualiti, keselamatan, dan kemampanan alam sekitar, ini mencetuskan persaingan yang sihat. Mereka berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam industri, dan ini meningkatkan standard keseluruhan sektor pembinaan.

Ketiga, dengan menekankan kemampanan melalui MyCREST dan keselamatan pekerjaan dengan SHASSIC, ia juga membantu memperkuat kedudukan Malaysia dalam pembinaan mampan di peringkat global. Ini menunjukkan bahawa kita memahami betapa pentingnya memastikan Pembangunan yang mampan dan aman untuk generasi akan datang

Keempat dengan mendorong pemaju dan kontraktor untuk mengikuti amalan terbaik dalam kualiti, keselamatan, dan kemampanan, kita memastikan bahawa pemilik rumah mendapat kualiti terbaik. Ini adalah jaminan bahawa rumah dan struktur yang mereka beli adalah pelaburan bernilai tinggi, yang akan memberi manfaat kepada mereka dan keluarga mereka untuk tahun-tahun akan datang. Kita mencipta masa depan yang mampan bagi semua rakyat Malaysia, di mana kediaman mereka adalah selamat, berkualiti, dan lestari. Ini adalah komitmen kepada rakyat Malaysia untuk memastikan bahawa pembangunan negara memenuhi standard tertinggi dalam segenap segi.

Projek - projek dan pemain yang diiktiraf hari ini adalah bukti bahawa amalan SHEQ bukan sahaja baik untuk bisnes, tetapi juga penting untuk mencipta masa depan yang mampan bagi semua rakyat Malaysia. Mereka mewakili aspirasi dan impian negara kita. Projek-projek ini bukan sahaja sekadar batu bata dan simen; ia adalah perwujudan usaha kita secara kolektif dalam mengejar kualiti. KKR sentiasa komited dalam memastikan bahawa setiap sudut infrastruktur negara kita kekal selamat dan berdaya tahan.

0

Telok Melano, Sarawak, 13 September 2023 –Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan mencemar duli berangkat ke tapak pameran Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak di Telok Melano, Sarawak. Lawatan tersebut adalah sebahagian daripada Program Kembara Kenali Borneo yang telah bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak.

Berangkat sama ke Kosong Kilometer Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Pantai Telok Melano adalah paduka anakanda KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mendengar sembah taklimat oleh Pengarah Kerja Raya Sarawak, YBrs. Ir. Ts. Richard Anak Tajan berhubung latar belakang dan status semasa pelaksanaan Projek LPB Sarawak. Turut hadir bersama-sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato Zahrul Hakim Bin Abdullah, Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abang Johari Tun Haji Abang Openg dan beberapa wakil rakyat tempatan yang lain.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa puas hati baginda terhadap kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang kini telah siap 97%. Baginda juga telah memandu sendiri menyelusuri lebuhraya pertama Sarawak ini dari Utara sehingga ke Selatan Bumi Kenyalang.

Sesungguhnya keberangkatan julung kali Yang di-Pertuan Agong telah menunjukkan keprihatinan baginda dalam usaha Kerajaan menambahbaik infrastruktur jaringan jalan raya di Sarawak yang merupakan pemangkin pembangunan sosio-ekonomi dan perindustrian serta menambahbaik keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya khususnya.

Kementerian Kerja Raya Malaysia, Kementerian Pembangunan Infrastruktur Dan Pelabuhan Sarawak serta JKR Sarawak menjunjung kasih di atas kesudian KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan paduka anakanda baginda mengunjungi tapak pameran Projek LPB Sarawak di Telok Melano, Sarawak pada hari ini.

Daulat Tuanku!

0

Bintulu, Sarawak, 9 September 2023 – Isu kenderaan berat terutama lori yang membawa muatan melebihi had berat maksimum yang dibenarkan antara faktor utama kerosakan jalan di negara ini. Hari ini Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah meninjau Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun FT803 yang di kenal pasti mengalami kerosakan disebabkan masalah kenderaan lebih muatan.

Faktor ini juga membuatkan jalan lebih cepat rosak kerana struktur pavement terjejas. Ia juga menyebabkan kos penyelenggaraan jalan menjadi lebih tinggi sekali gus menjejaskan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan.

Menteri Kerja Raya telah membuat lawatan di kawasan tersebut pada 7 Julai yang lalu dan hari ini beliau turun padang sekali lagi untuk meninjau semula beberapa lokasi Arahan Kerja (AK) Berkala Pavement yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023.

Sebelum ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta membabitkan tiga AK pembaikan turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur pavement. Berikutan dengan isu ini, KKR telah meluluskan peruntukan tambahan RM1.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan pada 2023 adalah sebanyak RM7.5 juta.

Peruntukan tambahan ini melibatkan pembaikan segera lokasi kerosakan jalan yang kritikal dan pemasangan gantri serta papan tanda jalan had berat muatan yang dibenarkan. Berat Maksimum Kenderaan yang diwartakan di dalam P.U.(A)277 (Pindaan Tahun 2018) bagi Jalan Persekutuan Bintulu-Bakun adalah 36 tan.

Bagi kerja pembaikan turapan jalan yang kritikal, pembaikan yang dilaksanakan di lokasi tersebut adalah dengan menggunakan kaedah Cold-in Place Recycling (CIPR). KKR telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan pemasangan gantri untuk mengawal kenderaan lebih muatan yang menggunakan laluan ini. Sebanyak 4 lokasi pemasangan gantri telah dikenal pasti di sepanjang laluan 128.46 km ini.

Menteri juga berkata selaras dengan Kempen #MYJalan KKR yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim pada 24 Ogos 2023 yang lalu, satu tindakan menyeluruh sedang dilaksanakan yang melibatkan pelbagai agensi dan kementerian.

Semoga inisiatif KKR ini dapat meningkatkan akauntabiliti di kalangan pengguna jalan raya, pemain industri dan agensi kerajaan bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Kempen #MYJalan KKR juga diharap dapat menjadi platform advokasi dan juga pendedahan kepada pengguna jalan raya tentang penyenggaraan jalan raya sedia ada serta pengukuhan konsep “No Wrong Door Policy” di dalam penyaluran aduan berkaitan dengan jalan raya.

0

Padang Besar, Perlis, 5 September 2023 - Penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters (2F/2G) Padang Besar, Perlis telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Haji Mohamad dan Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Encik Zairi Bin Mat Ali. Turut hadir bersama-sama Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Ir. Haji Badioezaman Bin Ab Khalik dan Pengarah JKR Negeri Perlis, Ir. Mohd Shahril Bin Mohd Said.

Ini merupakan projek yang diwujudkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk serta menampung populasi yang semakin meningkat sejajar dengan pembangunan sosio-ekonomi di kawasan sekitar.

Projek yang dilaksanakan secara konvensional dalaman ini melibatkan kos kontrak semasa sebanyak RM24,293,966.11 dengan tempoh pelaksanaan asal selama 130 minggu. Klinik yang dibina di atas tanah berkeluasan 0.18 hektar itu mampu menampung jumlah pesakit sebanyak 300 hingga 400 orang dalam satu masa. Antara skop kerja yang terlibat ialah skop kerja bangunan, kerja tanah/cerun dan kerja luar.

Kerja pembinaan telah bermula pada 31 Julai 2019 (tarikh milik tapak) dan siap sepenuhnya pada 1 Ogos 2023, lebih awal dari tarikh penyiapan asal mengikut kontrak iaitu 10 Ogos 2023. Klinik ini akan mula beroperasi pada 25 September 2023.

Projek ini menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan mengaplikasikan rekabentuk Pre-Approve Plan (PAP) yang mana reka bentuk bangunan yang tersedia. Kaedah ini bertepatan dengan usaha kementerian untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Pelaksanaan projek ini adalah bukti komitmen Kementerian Kerja Raya dalam memberikan infrastruktur yang terbaik kepada rakyat. Semoga dengan terbinanya Klinik Kesihatan Padang Besar ini ia dapat memberi manfaat dan memenuhi keperluan kesihatan penduduk setempat.