Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

SARAWAK, 11 Disember 2017: Perjanjian Penyelidikan Tanah Gambut telah ditandatangani antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan CREAM iaitu sebuah institut penyelidikan di bawah CIDB dimana LLM sebagai penyedia geran penyelidikan dan CREAM akan menjadi pengurus projek penyelidikan. Memorandum Perjanjian (MOA) ini disaksikan oleh YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Bin Hj. Yusof, Menteri Kerja Raya.

Ini merupakan satu manifestasi gabungan kepakaran masing-masing bagi mencari formula terbaik perlaksanaan pembinaan jalan dan lebuhraya di atas tanah gambut dengan kos yang menjimatkan dan dapat disiapkan dengan cepat. Projek penyelidikan bertajuk Development of Foam Concrete (FC) and Eco Raft Pile (ERP) Road Construction on Peat Soils akan mengambil masa dua tahun dan dijangka siap akhir 2019.

Projek penyelidikan ini turut melibatkan pelbagai agensi iaitu Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Tanah Gambut (COPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selaras dengan hasrat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Sarawak telah dipilih sebagai tempat kajian (case study) untuk pembinaan ujian penambakan menggunakan sistem foam concrete dan Eco-Raft Pile (ERP) ini yang akan dilaksanakan kajiannya oleh COPS dengan kerjasama Geo Crete Specialist Sdn Bhd dan bakal menjadikan COPS sebagai pusat rujukan setempat bagi industri pembinaan dalam permasalahan tanah gambut di Malaysia.

1

SARAWAK, 11 Disember 2017: Pembinaan Jambatan Sungai Rimbas, Pusa, Bahagian Betong, Sarawak adalah satu inisiatif kerajaan ke arah meningkatkan lagi infra rakyat sekaligus untuk memendekkan masa perjalanan dari Kampung Pusa, Kampung Serabang dan Kampung Tuie dengan Pekan Pusa Baru, seterusnya bandar-bandar lain di Sarawak melalui jalan pesisir pantai.

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM48 juta untuk projek ini yang telah dimulakan pembinaan pada bulan Jun 2013 dan dirasmikan pada hari yang bersejarah ini oleh YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg. Dengan siapnya jambatan sepanjang 327 meter ini, ianya akan memudahkan penduduk di kawasan Pusa menjalankan aktiviti harian.

Pembinaan jambatan ini dapat memendekkan perjalanan dari Pusa Lama ke Betong (selatan) sejauh 10km iaitu penjimatan masa sebanyak 10 minit. Manakala jika perjalanan dari Pusa Lama ke Sarikei (utara), dapat memendekkan perjalanan sejauh 30km dengan penjimatan masa perjalanan kira-kira 30 minit. Bagi memastikan keselamatan pengguna jambatan ini, Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya Sarawak juga telah menyempurnakan Road Safety Audit (RSA) untuk memastikan kesemua aspek keselamatan telah disemak dan dipatuhi.

Jambatan Sungai Rimbas, memberi manfaat kepada kira-kira 60,728 orang penduduk setempat yang kini lebih mudah untuk bergerak merentasi sungai melalui jambatan berkenaanIni sekaligus akan merancakkan lagi aktiviti sosio-ekonomi yang pastinya memberi faedah kepada rakyat secara khususnya dan kerajaan secara amnya.

1

SARAWAK, 10 Disember 2017: Construction Research Institute of Malaysia (CREAM) buat julungkalinya menganjurkan program khidmat komuniti di Kuching dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia Negeri Sarawak. Gandingan mantap kedua-dua anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini telah mencapai objektif sebagaimana yang dihasratkan. YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Bin Hj. Yusof,Menteri Kerja Raya Malaysia telah merasmikan program tersebut.

Program khidmat komuniti atau CSR ini merupakan satu pendekatan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) yang telah diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Melalui strategi ini, kerajaan telah menekankan kerjasama erat di antara semua sektor dan agensi kerajaan termasuk penglibatan pihak swasta dengan mengoptimumkan sumber aset, tenaga kerja, kewangan dan kemahiran masing - masing semasa perlaksanaan sesuatu program. Usaha Strategi Lautan Biru ini adalah bagi mencapai keseimbangan sosioekonomi, seterusnya memastikan kesejahteraan masyarakat terbela dan kebajikan rakyat tidak tergalas dibahu sebelah pihak semata-mata.

Menurut YB Dato’ Sri Haji Fadillah Program CSR ini melibatkan kerja membaikpulih dan mengecat surau sedia ada, melengkapi bilik akademik dengan kerusi dan meja bagi keselesaan pembelajaran anak-anak penghuni disini. Anak-anak inilah yang suatu hari nanti akan menjadi professional dan pemimpin yang akan membangunkan negara ini mengikut aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagaimana yang dicita – citakan oleh kepimpinan negara.

1

KUALA LUMPUR, 28 November 2017: Lembaga Arkitek Malaysia dengan bangganya telah manganjurkan Majlis Malam Anugerah Pingat Presiden. Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadilah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia. Sebelum ini majlis ini telah diadakan pada tahun 2015. Ini merupakan satu detik sejarah di Lembaga Arkitek Malaysia di mana sumbangan dan segala jasa arkitek secara menyeluruh di raikan dan di beri pengiktirafan dan penghormatan yang berprestij dan gemilang.

Anugerah Pingat Presiden Lembaga Arkitek Malaysia telah diberi kepada dua calon pada tahun ini iaitu kepada Ar. Dato’ Haji Hajeedar Bin Abdul Majid dan Ar. Datuk Tan Pei Ing. Sumbangan mereka daripada pembangunan industri dan pendekatan kaedah-kaedah praktis senibina yang terkini di Malayisa telah banyak melalui proses kemajuan. Ini secara tidak langsung telah banyak memberi kesan postif di indusri Malaysia secara menyeluruh. Adalah satu langkah yang inovatif bagi penggiat industri senibina untuk meningkatkan mutu dan perkhidmatan golongan arkitek di Malaysia.

Selain daripada itu, Anugerah Pendidikan Senibina Lembaga Arkitek Malaysia juga telah diraikan dengan penganugerahan yang diberi kepada Prof Emeritus Ezrin Arbi selaku penerima anugerah pada tahun ini. Beliau telah banyak memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan program pendidikan senibina di Malaysia di samping menekankan kemajuan dari segi kualiti dan mutu pembelajaran sediaada. Ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan di kalangan pengamal pendidikan senibina di tanahair.

Turut di raikan pada Malam Anugerah Lembaga Arkitek Malaysia adalah Anugerah Bakti Cemerlang Lembaga Arkitek Malaysia yang dianugerahkan kepada Pn Esah Abdullah dan Anugerah Khas Pendidikan Senibina kepada Allahyarham Ar. Saari Omar. Lembaga Arkitek Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam usaha untuk menaikkan dan mengiktiraf semua sumbangan arkitek tersohor di Malayisa bagi mereka satu arah tujuan yang positif mewujudkan industi senibina yang berdaya saing, berkualiti dan termahsyur di peringkat antarabangsa.

1

SELANGOR, 28 November 2017: Jalan pintas Rawang telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof. Jalan pintas sepanjang 9 km dari Rawang ke Serendah ini merupakan mercu tanda unik dalam sejarah pembinaan jalan raya di Malaysia kerana ketika memandu melaluinya seakan-akan membelah kabus di waktu pagi atau selepas hujan dan memberikan pemandangan panorama yang sangat cantik di Bandar Rawang.

Pembinaan persimpangan bertingkat ini adalah untuk menghubungkan jalan pintas baharu dan jalan sedia ada. Keunikan jalan pintas Rawang ini ialah pembinaan struktur tiang tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 58.2 meter daripada aras tanah. Projek dilaksanakan secara berperingkat dan melibatkan jajaran baru dua lorong dua hala sepanjang 9 km dan struktur bertingkat 2.7km serta kerja menaiktaraf jalan persekutuan FT001 sepanjang 12.5 km. Struktur jambatan bertingkat ini dibina dengan kaedah cast in-situ double T-Beam menggunakan overhead Moveable Scaffolding System (MSS), double colum piers with internediate tie beam for tall pier dan hand dug caisson pile.

Kawasan hutan yang terlibat dalam pembinaan jalan pintas Rawang telah dikurangkan dari 65 hektar ke 24 hektar. Untuk memastikan projek ini mesra alam, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bersetuju untuk membina jambatan di dalam kawasan hutan bagi meminimakan kerja-kerja penambakan dan pemotongan cerun. Berbagai langkah telah di ambil oleh pihak JKR supaya kesan-kesan dari pembinaan jalan dan jambatan ini tidak menjejaskan alam sekitar. Kaedah-kaedah terbaru pembinaan diperkenalkan seperti penggunaan geo-grid, hand dug cassion dan “precast interlocking slab” untuk pelindungan sungai, alam sekitar dan lain-lain lagi. Pembinaan ‘Silt Trap’ dan ‘Silt Fence’ di lokasi tertentu bagi mengawal kelodak pasir dari memasuki sungai dan penanaman rumput yang segera dapat membantu pengekalan keadaan alam sekitar. Aspek pemeliharaan hutan Taman Warisan dan alam sekitar amat dititikberatkan dengan penambakan dan pemotongan cerun yang minimum bagi pembinaan jambatan. Penebangan pokok di tahap minima, laluan sungai sedia ada dikekalkan dan perangkap kelodak kekal juga akan dibina. Peletupan batu dijalankan secara ‘control blasting’ dan berjadual.

Antara faedah-faedah dan manfaat yang akan diperolehi oleh orang ramai apabila jalan pintas Rawang ini dibuka ialah satu dapat menyaksikan keindahan dan kecantikan Hutan Lipur Kanching akan terpelihara dan terjaga. Ianya juga dapat menggalak lagi industri pelancongan Selangor khasnya dan Malaysia amnya, kedua kesesakan jalan raya yang bagitu lama dihadapi penduduk kawasan Rawang, Serendah, dan Hulu Selangor akan dapat diselesaikan dan mengurangkan kemalangan maut, ketiga masa perjalanan ke utara akan dipendekkan daripada 2 jam ke 30 minit dan jalan ini akan menjadi pemangkin pembangunan di masa hadapan terutamanya bagi kawasan Serendah dan Hulu Selangor.

1

NEGERI SEMBILAN, 24 November 2017: Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) Negeri Sembilan telah menganjurkan Program Latihan Praktikal Dan Khidmat Masyarakat dengan usaha sama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Bahagian Korporat CIDB Malaysia dan warga Sekolah Kebangsaan Wawasan. Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin.

Program ini bertujuan menggalakkan para kontraktor Bumiputera melibatkan diri dalam rencana kemasyarakatan sekaligus menjurus kepada melahirkan golongan serta kelompok usahawan dai’e. Konsep kerjasama seperti ini akan mengoptimumkan bukan sahaja dari segi kos pembinaan tetapi akan membuka peluang untuk peningkatan perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam sektor pembinaan.

Objektif kepada program ini pertama memberi latihan praktikal kepada kontraktor Bumiputera dan dalam masa yang sama dapat memberi sumbangan kepada warga Sekolah Kebangsaan Wawasan. Dengan adanya latihan seperti ini, dapat melahirkan kontraktor Bumiputera yang lebih kompeten dan lebih berdaya saing. Kedua, dapat mendekatkan agensi kerajaan dengan pihak sekolah dalam usaha kerajaan membudayakan konsep “kebajikan tanggungjawab bersama” untuk kepentingan sosial negara. Ketiga, menyediakan platform kepada kontraktor untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran mereka tersendiri, di samping sebagai laluan networking sesama mereka dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan dan keempat membuka ruang kerjasama antara pihak Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaam (CIDB), Warga Sekolah Kebangsaan Wawasan dan juga pihak kontraktor Bumiputera bagi menyiapkan projek ruang solat tambahan Surau Al-Faizin.

Kementerian Kerja Raya, menerusi agensi di bawahnya iaitu Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), telah penambahbaikan business process re-engineering di mana pengeluaran Sijil Taraf Bumiputera (STB) telah dipermudahkan dan dipercepatkan. Penambahbaikan proses kerja juga dibuat menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat setempat CIMS (Centralised Information Management System). BPKU telah merekodkan lebih 39,000 kontraktor yang layak mendapatkan STB di mana 23,000 daripadanya adalah kontraktor gred G1.

Selain Latihan Praktikal dan Khidmat Masyarakat, BPKU turut melaksanakan lain-lain siri program pembangunan seperti pengurusan am, kursus pengurusan pembinaan dan juga kursus teknikal. BPKU turut menyediakan bantuan pembiayaan wang pendahuluan projek dalam bentuk pinjaman yang dikenali sebagai Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK).

Bagi memastikan upaya daya saing penggiat Bumiputera industri pembinaan tetap meningkat, kontraktor dan usahawan Bumiputera perlu meneroka peluang baru terutamanya dalam bidang Industrialised Building System (IBS), Building Information Modelling (BIM) dan Facility Management (FM). Kontraktor dan usahawan Bumiputera juga perlu melihat potensi pengambilan graduan-graduan program Technical Education and Vocational Training (TVET) dalam projek-projek yang dilaksanakan bagi mengurangkan isu kebergantungan kepada pekerja asing terutamanya bagi kategori pekerja mahir (skill workers).

1

KUALA LUMPUR, 23 November 2017: Kementerian Kerja Raya telah mengadakan majlis sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat KKR 2017 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Ucapan telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Haji Sarani bin Haji Dollah Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan). Turut serta pada majlis itu Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Datuk Ir. Haji. Ismail Bin Md. Salleh.

Ceramah tokoh bahasa telah di sampaikan oleh Encik Abdul Karim bin A.Bakar Perunding dan Fasilitator Kursus Pemantapan Bahasa Melayu, Penulisan Dokumen Rasmi dan Penulisan Ilmiah.

Antara katogeri pertandingan pada pagi itu deklamasi sajak dan pertandingan nyanyian lagu puisi berkumpulan. Aturcara diteruskan dengan persembahan bicara berirama dari JKR serta tayangan video bulan bahasa dari wakil LLM dan KKR. Juri dijemput khas dari Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Puan Faezah binti Muhayat dan Encik Pian a/l Pro Poul bagi menilai peserta yang bertanding.

Pertandingan deklamasi sajak telah dimenangi oleh Mohd Faizul bin Yunus dari LLM dengan tajuk Digarhayu Bahasaku manakala tempat kedua dimenangi oleh Mohd Fierdauz Bin Mohd Jaudin dan Izzat Azri bin Azmi dari CIDB dengan tajuk Bahasa Jiwa Bangsa. Bagi pertandingan nyanyian lagu puisi berkumpulan pula, Tanya Sama Itu Hud-Hud dari CIDB telah meraih tempat pertama dan Nyanyian Serambi dari JKR ditempat kedua. Hadiah telah disampaikan oleh TKSU (P) KKR bersama-sama KP LLM.

1

KUALA LUMPUR, 20 November 2017: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melancarkan "myBIM Center" pusat sehenti pertama negara berfungsi sebagai pusat sumber untuk mempromosikan dan meningkatkan penggunaan Building Information Modelling (BIM) di kalangan penggiat industri pembinaan.

BIM ditubuhkan oleh CIDB Malaysia untuk manfaat penggiat industri dengan pelaburan permulaan sebanyak RM3 juta, myBIM Centre telah dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Kerja Raya, Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof. Pusat ini membolehkan para penggiat industri pembinaan untuk memodelkan dan memvisualisasikan projek bangunan dalam persekitaran simulasi dengan menggunakan BIM - teknologi pemodelan untuk menghasilkan, berkomunikasi dan menganalisis model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan.

Diiktiraf sebagai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang canggih, BIM membolehkan pengguna untuk merekabentuk, memvisualisasikan, mensimulasikan dan menganalisis ciri-ciri fizikal dan fungsi utama setiap elemen dalam projek hampir dan sebelum pembinaan bermula. Ini memungkinkan untuk mengenal pasti dan membetulkan isu-isu yang berpotensi pada peringkat awal. Lebih-lebih lagi, model digital pintar yang memudahkan penyelarasan, komunikasi, analisis, pengurusan projek, dan juga pengurusan aset dijangka mendatangkan banyak manfaat kepada industri.

Penubuhan Pusat MyBIM adalah tepat pada masanya kerana industri pembinaan perlu membuat perubahan besar dalam meningkatkan tahap produktiviti. Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), industri pembinaan mengalami tahap produktiviti terendah sebanyak RM40,018 seorang pekerja pada tahun 2016. Berbanding dengan sektor pertanian sebanyak RM55,485 bagi setiap pekerja, sektor perkhidmatan pada RM68,166 seorang pekerja , manakala pengilangan kekal sebagai sektor dengan tahap produktiviti tertinggi pada RM106,647 setiap pekerja.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Dato’ Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata kelebihan perlaksanaan BIM dalam projek pembinaan adalah pelbagai dan meliputi seluruh rantaian nilai industri pembinaan. Dengan penggunaan BIM, ia dapat menganalisis ciri-ciri fizikal dan fungsian utama setiap elemen sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan, bahkan ia juga membantu meningkatkan kecekapan, kualiti, dan yang paling penting ialah produktiviti keseluruhan proses pembinaan.

Pelaksanaan BIM adalah sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dalam industri, selaras dengan teras Strategi Produktiviti Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP). Pada masa ini, penggunaan BIM di Malaysia masih rendah iaitu 17 peratus berbanding dengan negara maju seperti Amerika Syarikat pada 71 peratus dan United Kingdom pada 54 peratus.

Antara projek di Malaysia yang telah dibina melalui penggunaan BIM seperti Institut Kanser Kebangsaan di Putrajaya, Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam, Educity Sports Complex di Nusajaya, Johor dan Hotel Ancasa di Pekan, Pahang.

Dengan pelancaran myBIM Center, program latihan perisian dan kemahiran BIM akan ditawarkan, melengkapi penggunaan portal Perpustakaan BIM Nasional. Sehingga kini, 1,300 kakitangan BIM telah dilatih oleh CIDB. Pusat ini juga mempunyai kemudahan yang canggih, termasuk studio yang boleh disewa untuk semua penggiat BIM, sebuah makmal, bilik seminar dan ruang pameran.

1

SARAWAK, 18 November 2017: Seramai 12 wartawan dan jurugambar diiktiraf dalam Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 (AMP 2017) yang dianjurkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah menyampaikan anugerah kepada pemenang sempena Malam Penghargaan Media KKR sebagai meraikan sumbangan wartawan disamping pengiktirafan terhadap karya kewartawanan pembinaan tempatan terbaik bagi Negeri Sarawak. Peranan media adalah sangat penting dalam memberi pemahaman kepada masyarakat terhadap agenda transformasi nasional di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP) yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-11.

Dato’ Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia berkata penganjuran AMP setiap tahun adalah sebagai platform untuk para media berkarya sekaligus membantu CIDB menghebahkan segala inisiatif dan pencapaian lebih-lebih lagi di saat CITP berada di titik tengah pelaksanaannya bagi menyediakan Malaysia ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Pada malam AMP 2017, kategori Media Cetak, akhbar The Borneo Post mengungguli tempat pertama dimenangi oleh Rachel Lau Ker Qing dengan artikalnya yang bertajuk 'Roadblocks in adopting IBS in Sarawak' manakala Yvonne Tuah Merawin dengan artikalnya 'China construction firms: Friend or foe?' mendapat tempat ketiga.

Tempat kedua pula, dimenangi oleh akhbar Utusan Sarawak oleh Haini Darani yang bertajuk 'Memenuhi standad lestari dan berdaya tahan - komitmen padu Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. Bagi kategori Media Elektronik & Online Broadcasting AMP 2017, stesen penyiaran TV3 Kuching mendahului RTM untuk tempat pertama menerusi liputan 'Pan Borneo Semantan'. RTM Kuching ditempat kedua bagi liputan 'Projek Pan Borneo Jajaran Telok Melano-Semantan' dan RTM Sibu menerima merit bagi liputan 'Jambatan Kanowit'.

Bagi kategori Anugerah Fotografi AMP 2017, jurugambar The Star, Zulazhar Sheblee dan BERNAMA, Muhamad Razali Nordin hanya layak menerima merit dengan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dan sijil penghargaan.

CIDB turut memberi penghargaan kepada mereka yang banyak membantu menghebahkan program CIDB menerusi Anugerah Khas Media Sosial CIDB 2017 yang diterima oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof menerusi akaun Twitternya @PetraJayaMP dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin menerusi akaun Twitternya @rosnah_ars. Penerima lain bagi anugerah khas ini ialah, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya, Misiah Taib; Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Kerja Raya, Noreha Mohd. Ripin dan @MOWorks yang diuruskan oleh Seksyen Media Strategik KKR.

AMP dibahagikan kepada tiga kawasan liputan iaitu; Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Bagi setiap kawasan liputan, terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Media Cetak (Berita & Rencana), Kategori Media Elektronik & Online Broadcasting (Berita & Rencana) dan Kategori Fotografi. AMP menawarkan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM90,000 untuk semua kawasan liputan termasuk sijil penyertaan dan trofi.

1

SERDANG, 16 November 2017: Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2017 telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri (Dr.) Richard Riot Anak Jaem, Menteri Sumber Manusia bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS). Abdul Razis Abdul Rajak dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan peserta Kategori Plumbing & Heating telah muncul sebagai Pemenang Tangan Emas Perdana Menteri 2017. Beliau menerima Hadiah Wang Tunai sebanyak RM10,000 serta piala dan sijil.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri merupakan anugerah tertinggi dalam pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan yang mula diperkenalkan pada tahun 1991, bagi mengiktiraf pemenang-pemenang peingkat emas , perak dan gangsa di kalangan 1306 orang peserta yang telah memohon menyertai Pertandingan WorldSkills Malaysia – Belia serta memberi pengiktirafan kepada pemenang Pertandingan Kemahiran Dunia (WorldSkills Competition Abu Dhabi 2017) yang telah diadakan pada Oktober 2017 yang lalu di Abu Dhabi , UAE. 

Berhubung dengan Perlaksanaan Pertandingan WSMB 2017, permohonan yang diterima adalah sebanyak 1306 permohonan. Walau bagaimanapun, peserta yang berjaya ke peringkat pra-kelayakan adalah sebanyak 719 orang. Manakala peserta yang berjaya peringkat akhir adalah 189 orang. Pemenang dalam pertandingan kemahiran ini bukan sahaja menerima imbuhan yang berbentuk wang tunai malah mendapat Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) Khas. Selain itu, peserta yang cemerlang juga berpeluang untuk mewakili Malaysia di ASEAN Skills Competition (ASC) 2018 di Bangkok, Thailand dan World Skills Competition (WSC) 2019 di Kazan, Rusia.

Malaysia telah menyertai Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) dan Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) bagi menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman dalam bidang teknikal dan vokasional dalam negara luar, khususnya negara-negara maju seperti Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya. Malaysia juga dapat menanda aras tahap keberkesanan latihan kemahiran di Malaysia dengan penyertaan ke ASC dan WSC.

Pada majlis tersebut, turut hadir Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Hj. Yusof, Menteri Kerja Raya dan YB Dato’ Sri Hj Ismail bin Abd Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia.