Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

PETALING JAYA, 6 SEPTEMBER 2018: Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah melakukan lawatan kerja ke Lorong Motosikal Jalan Persekutuan FT02 di Terowong Motosikal Sungai Way, Petaling Jaya untuk melihat sendiri hasil Projek Transformasi Terowong Lorong Motosikal yang telah dilaksanakan.

Terowong Motosikal Sungai Way merupakan projek perintis yang bertujuan untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada para penunggang motosikal dengan menggunakan bahan turapan yang bersesuaian, lorong berwarna, ruang terowong yang lebih cerah beserta sistem perparitan yang lebih baik.

Usaha ini secara tidak langsung menggalakkan penunggang motosikal untuk lebih memberikan perhatian di kawasan berisiko seperti di terowong ini bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Projek transformasi terowong ini akan dilaksanakan secara berperingkat kepada kesemua 14 terowong di sepanjang lorong motosikal ini.  Sebagai langkah seterusnya, dua buah terowong iaitu Terowong Nan Yang Siang Pau (arah Kuala Lumpur) dan terowong Jalan Utara (arah Kuala Lumpur) telah dipilih untuk dinaiktaraf melalui projek transformasi ini.

YB Menteri Kerja Raya telah diberikan taklimat ringkas mengenai status pembinaan sebelum dibawa melawat kawasan sekitar terowong.  Majlis diakhiri dengan sesi sidang media bersama media tempatan. YB Menteri Kerja Raya juga dibawa melawat kerja-kerja pembinaan jejambat motorsikal 'overhead motorcycle bridge' di Jalan Templer untuk mengetahui status semasa projek tersebut.

1

KUALA LUMPUR, 4 SEPTEMBER 2018: Seminar on Slopes Engineering Malaysia 2018 (SoSEM) - Recent Advances In Slope Engineering By Experts In The Field telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

Seminar anjuran Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pertubuhan Profesional JKR Malaysia bertujuan untuk mengingkatkan ilmu dan pengalaman dalam menangani isu-isu berkaitan cerun dalam mempertingkatkan lagi tahap keselamatan, kesiapsiagaan dan kesedaran awam. Peserta seminar ini terdiri daripada jurutera-jurutera dari sektor awam khususnya JKR dan swasta.

Antara fokus utama penganjuran seminar ini ialah mengenai pembinaan cerun dan sistem amaran awal dan pemantauan cerun serta kesedaran pengguna terhadap serta kesedaran awal dalam kalangan pengguna. Perancangan pembinaan cerun yang sistematik akan dapat menjamin keselamatan nyawa dan harta benda.

Turut Hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) YBhg. Datuk Haji Sarani Bin Dollah, Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Construction Industry Development Board CIDB), YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Bisnes) YBhg. Dato’ Sr. Aziz bin Abdullah.Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) YBsr. Ir. Kamaluddin bin Abdul Rashid dan Pengarah Cawangan Kejuruteran Cerun YBsr. Mejar Ir. Mohammad Tajul Urus bin Tajuddin.

1

BALAKONG, 4 SEPTEMBER 2018: Satu lawatan kerja ke Balakong telah dilakukan oleh Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian. Lawatan bertujuan untuk melihat perkembangan semasa projek yang dijalankan disamping berusaha untuk mengatasi sebarang masalah yang dihadapi.

Lawatan kerja dimulakan dengan Majlis Pecah Tanah Penaiktarafan Jalan Balakong (FT3211) iaitu antara jalan penghubung ke pusat bandar dan akan dibina oleh pemaju perumahan Parkland Group. 
Antara skop pembinaan projek termasuklah penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dengan rekabentuk piawaian U4 sepanjang 0.8 km. selain itu, skop kerja lain termasuklah dengan menaiktaraf dua persimpangan berlampu isyarat dan pemasangan lampu jalan, naiktaraf saliran longkang dan pengalihan utiliti.

Projek menaiktarafan jalan ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dengan kerjasama dan sokongan daripada pihak swasta untuk menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat di Balakong dan kawasan sekitar. 

Lawatan Menteri Kerja Raya diteruskan lagi dengan Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Sekolah Dhaif SK Taming Jaya, Balakong. Projek naiktaraf sekolah ini merupakan antara usaha Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia dengan meningkatkan keselesaan murid untuk belajar di sekolah. 

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah meluluskan Projek Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Semenanjung Malaysia (Fasa 1) Tahun 2018 Bagi Negeri Selangor: Pakej 4 (Daerah Hulu Langat).

Kontraktor yang dipilih untuk menaiktaraf sekolah ini ialah SPA Intergrated Sdd. Bhd. merangkumi penggantian bilik darjah yang telah usang dan tidak selamat dengan bagunan baru menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System, IBS)

Antara skop penaiktarafan ini termasuklah pembinaan 5 blok bangunan yang mengandungi 15 bilik darjah, 1 blok tandas murid dan 1 menara tangki air, sistem elektrikal dan pam penggalak, longkang perimeter, pagar chain link, pengalihan taman permainan pra-sekolah dan juga penanaman rumput. Projek ini telah dimulakan pada Mac 2018 dan selesai pembinaan pada Julai 2018.

1

KUALA LUMPUR, 3 SEPTEMBER 2018: Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian telah merasmikan Majlis Pra-Pelancaran 10th Malaysian Road Conference & Exhibition 2018 dan PIARC International Seminar On Asset Management yang bertempat di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya.

Dengan membawa tema “Global Approaches To Advance Road Asset Management”, majlis ini merupakan anjuran bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), World Road Association (PIARC) dan Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (Road Engineering Association Of Malaysia, REAM) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Construction Industry Development Board CIDB), International Road Federation (IRF) dan Road Engineering Association of Asia & Australia (REAAA)

Seminar ini akan berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober 2018 dan bertempat di Pusat Konvensyen Sunway Piramid, Petaling Jaya. Penganjuran seminar ini akan menyediakan platform kepada pada delegasi untuk meneroka dan mendapat motivasi melalui penemuan idea- idea baru dalam penyenggaraan jalan seperti penggunaan reka bentuk inovatif, bahan- bahan baru, kaedah serta teknik. Ia juga akan dapat mendedahkan pengamal tempatan dengan inovasi canggih dan maju diseluruh dunia serta bagaimana untuk mengadaptasikannya mengikut kesesuaian tempatan.

YB Menteri Kerja Raya dalam ucapannya berharap agar pemain industri akan menyokong serta melibatkan diri dalam seminar ini serta mendapat inspirasi untuk mengambil tindakan yang sesuai untuk menjamin infrastruktur dan pengangkutan jalan yang terbaik.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar, Ketua Pengarah Kerja Raya YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR YBrs. Ir. Hj. Zulakmal bin Hj. Sufian, Ketua Pengarah Eksekutif CIDB YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Bisnes) YBhg. Dato’ Sr. Aziz bin Abdullah.

1

PUTRAJAYA, 31 OGOS 2018: Kontinjen daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengambil bahagian dalam upacara perbarisan dan perarakan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya, Putrajaya. 

Kontinjen KKR telah diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar dan melibatkan seramai 30 orang pegawai dan kakitangan dari KKR. 

Turut hadir Perdana Menteri, YAB. Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, YAB. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian dan Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Tahir bersama- sama barisan Menteri Kabinet, pegawai kerajaan dan pemimpin parti politik.

Sambutan Hari Kebangsaan 2018 ini membawa tema “Sayangi Malaysiaku”, yang menjadi medan terbaik untuk rakyat Malaysia menzahirkan perasaan cintakan negara serta mewujudkan suasana perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2018: Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) bersama-sama dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah menganjurkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Bersama YB Menteri Kerja Raya di Plaza Tol Loke Yew (arah Pandan), Lebuhraya BESRAYA sebentar tadi.

Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian melahirkan penghargaan kepada PSKLM dan semua syarikat-syarikat konsesi lebuh raya yang mengambil berat Nilai Kemerdekaan yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Langkah ini juga diharapkan akan dapat menyuntik semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum di dalam Negara ini bertepatan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu Sayangi Malaysiaku.

Sementara itu, Yang Dipertua PSKLM, Ir. Sazally Saidi memberitahu program ini adalah kesinambungan bagi kempen kibarkan Jalur Gemilang yang telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 4 Ogos 2018 yang lalu di Pulau Pinang.  Menurut beliau lagi, PSKLM akan sentiasa bekerjasama di dalam setiap usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan demi kemakmuran negara.

YB Tuan Baru Bian bersama-sama dengan wakil Lembaga Lebuhraya Malaysia serta ahli-ahli PSKLM telah mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna lebuh raya dan melepaskan peserta Konvoi Merdeka di plaza tol berkenaan.

1

KUALA LUMPUR, 30 OGOS 2018: Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir telah menyampaikan Kuliah Zohor Khas anjuran Surau Kementerian Kerja Raya di Surau KKR, Kompleks Kerja Raya.

Kuliah yang bertajuk “Merdeka Di Dunia, Merdeka Di Akhirat” telah dihadiri oleh warga kerja KKR. YB Timbalan Menteri dalam kuliah beliau menyeru agar menjadikan hari kemerdekaan yang akan disambut pada tahun ini sebagai permulaan untuk membebaskan diri daripada perbuatan maksiat dan kemungkaran yang dilakukan untuk mencapai kemerdekaan di akhirat

Majlis diakhiri dengan Solat Zohor berjemaah yang diimamkan oleh YB Timbalan menteri serta bersalaman dengan warga KKR.

1

KUALA LUMPUR, 28 OGOS 2018: Seminar On Road Asset Management  And Disaster Risk Reduction anjuran bersama Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Perlancongan Jepun (MLIT) telah berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE Kuala Lumpur dan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir. Seminar ini merupakan seminar dua hari yang berlangsung dari 28- 29 Ogos 2018 serta merupakan seminar kali kedua anjuran bersama KKR dan MLIT sejak tahun 2016.

Seminar yang dijalankan ini bertujuan untuk menyediakan platform untuk berkongsi maklumat dan pendedahan terhadap teknologi terkini Jepun kepada tenaga pakar Malaysia. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi dalam menyenggaraan termasuk untuk mengurangkan sebarang risiko bencana di Malaysia.
 
Seramai 30 orang peserta dari Jepun dan 170 orang peserta dari Malaysia telah menyertai seminar ini. Peserta dari Malaysia terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Tanah Air Dan Sumber Asli (KATS), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dan para akademik dari universiti tempatan.
 
Sebanyak 14 Kertas perbentangan telah dibentangkan di seminar ini yang berkaitan dengan pengurusan aset dan pengurusan risiko bencana iaitu empat dari Malaysia dan 10 dari Jepun. Pada hari kedua pula, peserta seminar telah menghadiri lawatan teknikal ke beberapa kawasan iaitu di Tapak Pembinaan di Tanjung Karang, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) di Ampang dan tapak pembinaan Lebuhraya Maju Express II (MEX II). 

Pengalaman dan maklumat yang dikongsi bersama kumpulan pakar dari Jepun dalam seminar itu dijangka membantu para profesional Malaysia, terutamanya JKR dan LLM untuk mengukuhkan lagi pengurusan dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan pengurusan bencana di negara ini.

1

KUALA LUMPUR. 23 OGOS 2018: Majlis Ibadah Korban Kementerian Kerja Raya 2018 Anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Kementerian Kerja Raya (KSKKKR) dan Surau Kementerian Kerja Raya telah berlangsung di Kafeteria KKR, Kompleks Kerja Raya.

Majlis ini merupakan acara tahunan yang dilakukan oleh KSKKKR dan Surau KKR sebagai meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha. Aktiviti yang dijalankan semasa majlis termasuklah pengagihan daging lembu kurban kepada warga KKR. Warga KKR juga disajikan dengan hidangan seperti sup tulang dan daging goreng.

Turut memeriahkan majlis Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar yang hadir menikmati juadah yang disediakan.

Kementerian Kerja Raya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada Warga KKR yang beragama Islam.

1

GOMBAK, 21 OGOS 2018: Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir telah menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Keselamatan Jalan Raya anjuran Kelab Kebudayaan Gombak bertempat di Plaza Tol Gombak Lebuhraya KL - Karak, Kuala Lumpur.

Aturcara kempen termasuklah sesi Konvoi Jalur Gemilang Dari Menara MTD, Batu Caves Ke Plaza Tol Gombak dan pemberian Jalur Gemilang serta cenderahati oleh YB Timbalan Menteri kepada pengguna lebuhraya di Plaza Tol Gombak.

YB Timbalan Menteri dalam ucapannya berkata, semangat menyambut hari kemerdekaan perlu ada dalam diri setiap rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan usia. Beliau menyeru agar kita dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang sebagai tanda sayang dan cinta kepada tanahair kita

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang YB Haji Saari bin Sungib, Pengarah Eksekutif ANIH Berhad Dato’ Nik Fauzi bin Tan Sri Nik Hussein, dan Pengerusi Kelab Kebudayaan Aktif Gombak Syed Husain Fahmi bin Syed Ahmad