Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Lawatan Sulung Menteri Kerja Raya Dan Timbalan Menteri Kerja Raya Ke LLM Wilayah Timur Dan Anih BHD

KUANTAN, 18 November 2018 – YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya buat julung kalinya mengadakan lawatan ke Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur dan konsesi kepada Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad.

Lawatan itu bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat aspek operasi dan penyenggaraan yang dilaksanakan oleh LLM Wilayah Timur dan ANIH Berhad. Semasa sesi lawatan, delegasi telah diberikan taklimat ringkas oleh Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), LLM; dan Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein, Pengarah Eksekutif ANIH Berhad berkaitan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa terjamin.

Taklimat oleh pihak LLM turut merangkumi antara lain kesan positif Lebuhraya KLK, LPT 1 dan LPT2 kepada rakyat di koridor Pantai Timur, tindakan yang diambil syarikat konsesi di dalam persediaan hal-hal luar jangka khususnya membabitkan bencana banjir serta mengurangkan isu kemalangan terutamanya melibatkan haiwan liar dan ternakan di LPT2 yang menjadi isu sensitif sebelum ini.

Kadar kemalangan yang melibatkan haiwan liar dan ternakan telah mencatatkan penurunan sebanyak 47.2% berbanding tahun sebelumnya hasil tindakan yang berterusan diambil oleh pihak konsesi didalam memastikan pagar sentiasa diselenggara dengan baik dan pembinaan perangkap serta halangan di lokasi yang kerap dimasuki haiwan liar dan ternakan ini.

Dalam tempoh 2014 hingga tahun ini, ANIH Berhad telah melabur hampir RM1 bilion untuk pengurusan termasuk menaiktaraf dan menyenggara Lebuhraya KLK dan LPT 1 khusus untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa terjamin.

Penyediaan 5 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta 7 hentian sebelah di sepanjang lebuh raya ini juga menyediakan platform kepada peniaga tempatan dan pengusaha kecil untuk mempromosikan jualan produk setempat serta menggalakkan mereka berniaga.

1

Kejohanan Sukan Kerja Raya 2018

IPOH, 14 NOVEMBER 2018 - Kejohanan Sukan Kerja Raya 2018 (SKR 2018) kali yang ke-9 anjuran Kementerian Kerja Raya, JKR Negeri Perak dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) telah diadakan di sekitar Ipoh, Perak selama 4 hari bermula 14 haribulan November hingga 17 haribulan November 2018.

Pada kejohanan kali ini, Kontinjen PLUS telah berjaya meraih gelaran juara keseluruhan kejohanan dengan meraih kutipan 4 emas, 5 perak dan 1 gangsa.

Penganjuran temasya sukan dwitahunan ini telah dirasmikan pembukaannya oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd. Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, manakala perasmian penutupannya oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Pada SKR 2018 kali ini, sebanyak 26 bilangan kontinjen telah turut serta dalam 16 acara sukan yang dipertandingkan dengan melibatkan seramai 1,585 orang peserta. Acara yang dipertandingkan adalah bola sepak, bola jaring, bowling, golf, badminton, bola tampar, sepak takraw, dart, karom, ping pong, catur, futsal, boling padang dan mountain bike.

Sukan Kerja Raya mula dianjurkan pada tahun 1999, bertujuan untuk meningkatkan persahabatan, dan rangkaian di kalangan warga Kementerian, agensi dan syarikat-syarikat konsesi menerusi sukan, di samping menggalakkan gaya hidup yang sihat.

1

KUALA LUMPUR, 13 NOVEMBER 2018 - Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) telah menganjurkan Konvensyen Persekutuan Persatuan Kontraktor Asia dan Pasifik Barat (IFAWPCA) kali ke-44 bagi tahun 2018 yang berlangsung pada 12 hingga 16 November 2018 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre.

Majlis Pembukaan Konvensyen IFAWPCA 2018 ini telah dilancarkan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dengan membawa tema ; “Strategic Alliance with Innovation and Human Capital”- Perikatan Strategik Dengan Inovasi dan Modal Insan. Lebih 1,000 wakil pihak Industri Binaan daripada 19 buah negara berbeza yang menghadiri konvensyen kali ini. Konvensyen IFAWPCA 2018 ini juga telah mendapat sokongan yang padu daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Konvensyen Malaysia dan Biro Pameran (MyCEB).

Pada 14hb November 2018, edisi kedua: Building & Construction Conference 2018 Global Mega Wave telah berlangsung juga di Kuala Lumpur Convention Centre. Persidangan ini melibatkan 11 orang panel antarabangsa yang ternama. Selain itu, persidangan ini juga turut membincangkan cabaran-cabaran yang senantiasa dihadapi oleh industri pembinaan termasuklah faktor luaran yang tidak dapat dijangka seperti turun naik harga bahan mentah, persaingan di alaf baru dan juga perubahan ekonomi global menuju Revolusi Industri 4.0.

Konvensyen IFAWPCA 2018 ini juga merupakan suatu platform bagi menyuarakan hal-hal berkaitan industri pembinaan yang sangat baik bagi wakil-wakil daripada industri pembinaan daripada seluruh Asia dan Pasifik Barat, sebagai pemangkin bagi pembangunan dan pertumbuhan industri pembinaan yang lebih mampan di masa hadapan.

1

IPOH, 12 NOVEMBER 2018 - Program “Day Out with CEO 2018” adalah satu platform untuk Kementerian Kerja Raya Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta syarikat-syarikat konsesi mewujudkan peluang dan ruang bagi membincangkan isu-isu semasa dalam industri serta membuat rumusan dalam menjamin kelangsungan kemajuan industri lebuhraya khasnya.

Program selama dua hari bermula 12 dan 13 November 2018 ini telah dirasmikan pembukaannya oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya dan turut dihadiri YBhg. Dato’ Sr. Aziz bin Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia merangkap Penaung Jawatankuasa Penganjur Program ini.

Program yang telah masuk tahun ke-5 penganjurannya ini menyediakan senarai pembentangan daripada pihak kerajaan seperti DOSH, USM, MIMOS, PLUS, TOUCH ‘N GO dan beberapa agensi lain yang berkongsi pengalaman serta ilmu menjurus kepada perspektif berkenaan industri lebuhraya untuk dijadikan panduan dalam membawa industri ini ke peringkat yang lebih cemerlang di masa akan datang bersesuaian dengan tema yang dipilih iaitu ‘TOMORROW: THE INSIGHT OF TOLL HIGHWAY INDUSTRY’.

Turut diadakan pada program ini adalah Majlis Penganugerahan kepada syarikat konsesi yang memperolehi ‘score rating’ tertinggi yang diperkenalkan oleh LLM yang menjadi elemen pengukuran pencapaian prestasi berdasarkan aspek pengurusan dan operasi lebuhraya secara menyeluruh termasuk penyelenggaraan dan ketahanan struktur aset lebuhraya (durability). ‘Rating’ ini bertujuan untuk menyuntik semangat daya saing yang sihat di kalangan syarikat konsesi lebuhraya demi menyampaikan perkhidmatan yang cekap, selamat dan selesa sepanjang pemanduan pengguna dilebuhraya bertol di Malaysia.

1

Penyerahan Projek Pembinaan Semula Dan Menaik Taraf Sekolah Daif Negeri Sembilan Menggunakan IBS

PORT DICKSON, 8 NOVEMBER 2018 – Satu majlis penyerahan Projek Pembinaan Semula dan Menaik Taraf Sekolah Daif Negeri Sembilan Menggunakan Kaedah Industrialised Building System (IBS) di Semenanjung Malaysia (Fasa 1) Tahun 2018 telah diadakan dan disempurnakan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia.

Majlis Penyerahan Projek oleh pihak kontraktor kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seterusnya kepada pihak pelanggan iaitu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang diwakili Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan telah diadakan di SK Si Rusa dan melibatkan dua buah sekolah daripada Pakej 2 iaitu SMK Datuk Haji Abd Samad dan SK Si Rusa.

Sebanyak 12 buah sekolah terlibat bagi program ini di Negeri Sembilan iaitu melibatkan 3 pakej iaitu Pakej 1 (Daerah Seremban/Jelebu) - SK Simpang Durian, SK Batang Benar, SK Desa Jasmin, SK Sikamat, SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Pakej 2 (Daerah Port Dickson/Rembau) - SMK Datuk Haji Abd Samad, SK Si Rusa, SK Seberang Batu Hampar manakala Pakej 3 (Daerah Kuala Pilah) iaitu SJKC Pei Chun,Dangi, SK Tapak, SJKC Yuk Hua Juasseh dan SK Inas dengan jumlah keseluruhan kos pembinaan sebanyak RM15,029,480.00.

Program yang merupakan projek dalam Rancangan Malaysia Ke sebelas (RMKe-11) ini menggunakan teknologi IBS sepenuhnya dan bertujuan memberikan keselesaan dan keselamatan kepada para pelajar dan guru yang menggunakan bangunan sekolah yang dikenalpasti uzur serta strukturnya didapati tidak dapat berfungsi dengan baik.

1

Sambutan Hari Integriti Dan Hari Psikologi 2018 KKR

KUALA LUMPUR, 1 NOVEMBER 2018 – Unit Integriti dan Cawangan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KKR telah menganjurkan Hari Integriti dan Hari Psikologi 2018 yang bertemakan “Keluhuran Integriti, Paksi Minda Insani”.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya yang mewakili Menteri Kerja Raya. Antara objektif penganjuran sambutan ini adalah memupuk kesedaran dalam kalangan anggota di Kementerian dan Agensi-agensi lain di bawahnya mengenai keperluan dan kepentingan membina nilai-nilai murni dan berintegriti serta meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kesihatan mental dan menyediakan peluang dalam mendidik dan keperluan menjaga kesihatan mental.

Pelbagai program telah di atur bagi memeriahkan sambutan ini seperti Pentaulihan Ahli AKRAB, penyampaian Anugerah AKRAB Unggul, rawatan refleksologi, advokasi Orang Kelainan Upaya (OKU), pemeriksaan kesihatan, pameran agensi Kerajaan seperti DBKL, PTPTN serta sesi Ujian Psikologi. Turut diadakan adalah Bicara Integriti bertajuk “Jangan Jadi Manusia Zombi” dan Bicara Psikologi bertajuk “Viral: Satu Disorder”.

Sejak tahun 2005, Hari Integriti Kebangsaan disambut pada 5 November setiap tahun bersempena dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hari Psikologi pula disambut selari dengan sambutan Hari Kesejahteraan Mental Sedunia yang diisytiharkan oleh World Health Organization (WHO) pada 10 Oktober setiap tahun.

1

10th MALAYSIAN ROAD CONFERENCE 2018

SUBANG, 31 OKTOBER 2018 - Infrastruktur jalan raya amat penting untuk kelestarian perkembangan ekonomi dan pembangunan sosial. Ia merupakan aset yang menggunakan kos yang tinggi untuk dibina dan diselenggara untuk memastikan ia berfungsi dan beroperasi pada tahap optimum kepada para pengguna.

Peningkatan kenderaan, kadar pertumbuhan populasi rakyat memerlukan satu usaha meningkatkan kualiti dan tahap efisien jalan raya selaras dengan kehendak rakyat dan keperluan kerajaan.

Justeru, satu konferen telah dianjurkan bagi tujuan ini iaitu 10th Malaysia Road Conference 2018 (MRC) and PIARC International Seminar on Asset Management yang berlangsung pada 29 hingga 30 Oktober 2018 bertempat di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.

Program dwitahunan ini dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), World Road Association (PIARC) dan Road Engineering Association of Malaysia dengan kolaborasi CIDB, International Road Federation Global dan Road Engineering Association of Asia & Australasia.

YB Baru Bian, Menteri Kerja Raya telah merasmikan pembukaannya pada 29 Oktober 2018 manakala YB Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya telah sudi merasmikan penutupannya pada 31 Oktober 2018.

Program teknikal ini menjadi medan perbincangan, perkongsian ilmu dan percambahan idea dimana 30 orang pembentang kertas kerja daripada dalam dan Luar Negara telah membentangkan isu-isu terkini yang relevan dengan jalan raya selaras dengan tema konferen “Global Approaches to Advance Road Asset Management”.

1

KKR Meraikan Hari Inovasi 2018

KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER 2018 – Kementerian Kerja Raya (KKR) sekali lagi menganjurkan program tahunan Hari Inovasi dengan objektif untuk memperkasakan budaya inovasi di kalangan warga Kerja Raya dan seterusnya memberi pengiktirafan kepada penghasilan produk dan perkhidmatan yang berinovatif, berdaya saing dan boleh diperluaskan potensi serta kegunaannya.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, ini membawa tema “Inspirasi Pencetus Inovasi” selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membudayakan Inovasi dikalangan penjawat awam.

YB Tuan Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya telah hadir membacakan teks ucapan perasmian seterusnya menyampaikan tiga anugerah inovasi yang dipertandingkan. Bagi Anugerah Inovasi ICT 2018, Johan adalah Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan Tajuk Projek: Electrical Material Approval List (EMAL), Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK) 2018 dimenangi oleh Bahagian Khidmat Pengurusan, KKR manakala Johan Anugerah Inovasi Pengurusan Pejabat (AIPP) 2018 pula disandang oleh Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Jabatan Kerja Raya.

Majlis diakhiri dengan sesi forum Inovasi yang terdiri daripada moderator, Ir. Hazery Md Shamsi daripada JKR, ahli panel, Dr. Aziyati binti Yusoff (CIAST, Kementerian Sumber Manusia) dan Dr. Megat Zuhairy bin Megat Tajuddin (Caw. Mekanikal Elektrikal, JKR).

1

Konvensyen Antarabangsa Juru Ukur Bahan (QSIC) 2018

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER 2018 – Konvensyen Antarabangsa Juru Ukur Bahan (QSIC) 2018 yang merupakan acara tahunan bagi pemain industri pembinaan amnya dan profesion juru ukur bahan khususnya telah diadakan selama dua hari bermula 22 Oktober 2018 bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby.

Konvensyen ini menghimpunkan peserta daripada dalam dan luar Negara membincangkan, berkongsi pengalaman berkaitan topik dan isu berhubung ukur bahan, cabaran dan usaha yang perlu dilaksanakan dalam menghadapai ledakan teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

Tema konvensyen ini “The Big Picture : Embracing the Future” dipilih bertepatan dengan perkembangan Malaysia Baru yang mempunyai halatuju polisi dan dasar masa hadapan terkini dan memerlukan penyesuaian dan persediaan tenaga pakar profesion juru ukur bahan.

Penganjurannya merupakan kolaborasi antara Lembaga Juru Ukur Bahan Malaysia (LJUBM), Royal Institution of Surveyors Malaysia, University of Reading Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), CIDB dengan sokongan Persatuan Perunding Juruukur Bahan Melayu Malaysia.

YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya telah menyampaikan ucapan perasmian pada upacara pembukaan pada sebelah pagi yang turut dihadiri YBhg Dato’ Sri Zohari Bin Hj Akob, Ketua Setiausaha KKR, YBhg Datuk Sr Aziz Abdullah, Presiden Lembaga Juru Ukur Bahan Malaysia (LJUBM).

Beliau turut menyampaikan anugerah pada sebelah malamnya untuk majlis Malam Anugerah Lembaga Juru Ukur Bahan Malaysia 2018. Sebanyak empat anugerah telah disampaikan iaitu Anugerah Emas kepada Dato' Sr Abdull Manaf Bin Hj Hashim, Anugerah Firma Perunding Ukur Bahan Perdana dan Waja kepada Unitech QS Consultancy Sdn Bhd dan Fawziah & Tan Associates, Anugerah Pencapaian Khas Elit dan Inspirasi kepada Sr Ida Zuraida Mohd Yusoff dan Sr Dr Muhammad Ehsan Che Munaaim serta Anugerah Inovasi kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

1

11 Wartawan Mendapat Pengiktirafan Di Amp 2018 Negeri Sarawak

KUCHING, 20 OKTOBER 2018: Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini meraikan kecemerlangan 11 wartawan dan jurugambar di Anugerah Media Pembinaan CIDB 2018 (AMP 2018), Negeri Sarawak.

Majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada media yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap industri pembinaan dan inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia menerusi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP).

Selaras dengan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020 oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini yang menyatakan kelangsungan projek-projek infrastruktur di Sarawak maka pihak media mempunyai peranan penting dalam mendidik orang ramai di samping memastikan perkembangan industri pembinaan negara secara berterusan melalui kupasan dan laporan secara konsisten dan berkualiti.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Tuan Baru Bian dan turut hadir adalah Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Haji Akob dan Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Bagi kategori Media Cetak & Portal Berita (Berita & Rencana), tempat pertama dimenangi oleh Borneo Post menerusi wartawannya, Rachel Lau Ker Qing dengan karya bertajuk ‘China's Belt & Road : What's in it for Malaysia?’. Manakala tempat kedua dimenangi Kumpulan Media Prima, Berita Harian menerusi wartawannya Mohd Latif Ahmad dan Muhd. Amirul Faiz Ahmad. Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai beserta sijil dan trofi.

Manakala bagi kategori Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian, tempat pertama dimenangi oleh RTM Sibu menerusi wartawannya, Ruth Ampong & Johnny Bilon menerusi liputannya, ‘Pan Borneo Jajaran Sungai Awik’. Sementara tempat kedua dan ketiga juga Kumpulan Media Prima, TV3 Sarawak menerusi liputan berita ‘Jalan Pesisir Nadi Baharu Laluan Darat Sarawak’ dan ‘Nafas baru menaik taraf sekolah pendalaman’.

Walau bagaimanapun, bagi kategori Fotografi hanya terdapat dua tempat pemenang, yang dimenangi oleh The Star bagi tempat pertama menerusi jurugambarnya Zulazhar Sheblee, dengan gambarnya yang bertajuk ‘Into the Sunset - A view of the Pan Borneo’ disusuli oleh jurugambar Bernama Kuching, Muhamad Razali Nordin bagi tempat kedua dengan gambarnya yang bertajuk ‘Empangan Bakun Diserah Kepada Kerajaan Negeri’. Kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai beserta sijil dan trofi.

Penyertaan terbuka kepada semua wartawan arus perdana di tiga lokasi liputan iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Setiap kawasan liputan terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu: Kategori Media Cetak & Portal Berita (Berita & Rencana), Kategori Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian dan Kategori Fotografi.