Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral Sebahagian Pembangunan Pantai Sentral Park

KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER 2018 – Pembangunan perbandaran bersepadu Pantai Sentral Park di Pantai Dalam, mencapai satu lagi kejayaan dengan pembukaan Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral yang dibina dengan kos berjumlah RM98 juta, merangkumi kos operasi, penyelenggaraan, dan pengambilalihan tanah. Persimpangan bertingkat sepanjang 2.8 kilometer (km) ini telah siap dibina sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan dan berfungsi sebagai pintu keluar masuk tambahan yang menghubungkan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dengan perbandaran Pantai Sentral Park.

Persimpangan ini tidak hanya memberi kemudahan kepada Pantai Sentral Park, tetapi juga melengkapi rangkaian jalan setempat yang menghubungkan kawasan Bangsar South, Pantai Hill Park, Kerinchi dan Pantai Dalam. Pada masa yang sama, Persimpangan turut berfungsi sebagai laluan yang mampu menambah baik aliran trafik di Jalan Bukit Angkasa, Jalan Kerinchi, Jalan Pantai Murni dan Jalan Pantai Permai 1. Persimpangan dijangka dapat membantu mengurangkan masa perjalanan dari 50 minit kepada 30 minit pada waktu puncak.

Majlis pelancaran yang diadakan di Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), YBhg. Dato' Sr. Aziz bin Abdullah, pegawai-pegawai dari Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia bersama-sama wakil dari pemaju iaitu IJM Land, Amona Development, IJM Corporation Berhad dan NPE.

1

Hari Profesion Teknikal Negara Peringkat JKR 2018

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER 2018 - Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara Peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR), bertemakan “Profesion Teknikal Pelopor Pembangunan” julung kali diadakan dan dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian di Ibu Pejabat JKR Malaysia, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.

Program selama dua hari iaitu pada 4 dan 5 Disember 2018 diadakan berikutan pengisytiharan kerajaan untuk menyambut Hari Profesion Teknikal Negara pada hari Sabtu pertama bulan Disember setiap tahun.

Objektif utama sambutan di peringkat JKR ini adalah bagi mengiktiraf dan menghargai khidmat bakti para profesion teknikal negara, khususnya warga JKR Malaysia dalam pembangunan negara dan sumbangannya kepada kesejahteraan masyarakat, selain mempromosi, meningkatkan pengetahuan serta menarik minat awam terhadap profesion teknikal.

Pelbagai pengisian program telah diaturkan, di antaranya penyampaian Anugerah Tokoh Teknikal Peringkat JKR Tahun 2018 kepada YBhg. Tan Sri Ir. Dr. Jamilus Hussein, Program dan pertandingan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Penyampaian Sijil ASEAN Chartered Professional Engineer yang melayakkan penerimanya mengamalkan praktis kejuruteraan di negara-negara Asia Tenggara serta sesi perkongsian kertas kerja teknikal (Technical Talk) oleh para penceramah yang dijemput khas.

Turut diadakan pameran jentera berat seperti Roller, Dozer Mounted on Low Loader Trailer, Bridge Inspector Vehicle dan pameran kenderaan siap siaga bencana. Penyertaan 20 buah Gerai Pameran daripada pelbagai agensi memeriahkan sambutan dengan tujuan berkongsi pengetahuan dan produk berkaitan bidang teknikal dan industri kejuruteraan.

Sambutan ini melibatkan penyertaan lebih 400 hadirin daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, termasuk para akademik dari universiti, pelajar sekolah serta terbuka kepada kehadiran orang awam.

1

Anugerah Media Pembinaan 2018 Semenanjung Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER 2018 - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), agensi Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini meraikan kecemerlangan 19 wartawan media Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina, di Anugerah Media Pembinaan CIDB (AMP) 2018, Semenanjung Malaysia. The Star mengungguli AMP 2018 dengan membawa pulang sekurang-kurangnya satu anugerah bagi setiap kategori yang dipertandingkan iaitu Anugerah Media Cetak & Portal Berita, Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian, dan Anugerah Fotografi.

AMP dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada media yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia dalam industri pembinaan menerusi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP). Penyampaian anugerah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Tuan Baru Bian.

Karya-karya penyertaan AMP CIDB yang dinilai perlulah berkisar tentang CITP dan industri pembinaan. Tempat pertama bagi Anugerah Media Cetak & Portal Berita AMP 2018 Semenanjung dimenangi oleh Berita Harian dengan liputan bertajuk “Operasi kren dimonopoli warga asing & CIDB lahir 1,200 pelatih pengendalian kren setahun”, manakala tempat kedua dan ketiga, kedua-duanya dimenangi oleh The Star, dengan laporan meliputi topik-topik mengenai keselamatan dan kesihatan penginapan pekerja pembinaan dan usaha meningkatkan kualiti dan keselamatan jalan raya.

Selain daripada itu, pemenang utama bagi Kategori Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian dimenangi oleh RTM, bagi liputan “Potensi kerjaya industri binaan”. Manakala, Bernama berjaya merangkul hadiah tempat pertama bagi Kategori Fotografi dengan foto bertemakan Pembangunan Tun Razak (TRX).

1

Peserta Pertandingan Worldskills Asia (WSA) Abu Dhabi, 2018 Dirai Atas Kejayaan 3 Emas Dan 3 Perak

SEPANG, 2 DISEMBER 2018 - Malaysia telah menyertai pertandingan kemahiran peringkat rantau Asia iaitu WorldSkills Asia (WSA) yang julung kali diadakan bermula 26 November 2018 sehingga 30 November 2018. Pertandingan WSA 2018 ini dianjurkan oleh Abu Dhabi Centre for Technical and Vocational Education and Training (ACTVET) dan telah diadakan di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC).

Ketibaan kontinjen Malaysia seramai 42 orang dari Abu Dhabi yang disertai oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Kerja Raya telah disambut oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Mohd Anuar Mohd Tahir. Sebanyak 17 bidang kemahiran telah dipertandingkan melibatkan penyertaan sebanyak 19 buah negara termasuk Malaysia.

Penyertaan negara melibatkan 12 orang peserta yang terdiri daripada 8 orang peserta rasmi dan 4 orang peserta tidak rasmi. Daripada 8 orang peserta rasmi negara, 6 orang telah berjaya meraih pingat iaitu 3 pingat emas dan 3 pingat perak. Peserta tidak rasmi merupakan peserta tambahan dari setiap negara dan seramai 5 orang telah dianugerahkan Medallion for Excellence.

Peserta yang memperolehi pingat emas ialah Haziq Fauzi Abdul Jalil (UniKL-MFI GIATMARA), bidang Refrigeration & Air Conditioning, Mohamad Amirol Amin Mohamad Zamri (Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan) bidang Welding dan Mohamad Ridzuan Wahid (IKTBN Dusun Tua) Car Painting. Peserta yang memperolehi pingat perak pula ialah Hanafi Osman (GIATMARA Saratok) bidang Fashion Technology, Megat Muhammad Nurhan Munir (UniKL-MFI) bidang Mechanical Eng. Design CAD, Ahmad Naim Mohamad Rosli (Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak) Painting & Decorating.

Kejayaan ini juga menunjukkan bahawa belia-belia mahir Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa khususnya di rantau Asia. Penyertaan negara ke WSA 2018 ini adalah sebagai latihan persediaan peserta untuk menyertai WorldSkills Competition (WSC) 2019 yang akan diadakan di Kazan, Russia. Selain daripada itu, penyertaan ke pertandingan WSA ini juga menjadi platform bagi pakar-pakar negara menjalin kerjasama di peringkat Asia.

1

Gala Dinner KSKKKR 2018

AMPANG, 1 DISEMBER 2018 - Kelab Sukan dan Kebajikan, Kementerian Kerja Raya (KSKKKR) telah menganjurkan Majlis Malam Gala Dinner KSKKKR 2018 yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Flamingo dihadiri ahli kelab bersama ahli keluarga.

Majlis yang berlangsung dengan tema Merah, Hitam dan Emas ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Kelab, Encik Izamael Zamzuri Ismail. Majlis ini diadakan sebagai satu usaha Kelab untuk merapatkan hubungan antara ahli bersama pihak pengurusan tertinggi Kementerian.

Majlis ini telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, YBhg. Dato‘ Abdul Razak Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) bersama YBrs. Dr.Ong Gua Pak, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Kerja Raya.

1

Program Mega Toolbox 2018 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai

WANGSA MAJU, 28 NOVEMBER 2018 - Persekitaran kerja yang sihat dan selamat memberi kesan positif kepada peningkatan produktiviti para pekerja dan organisasi serta seterusnya akan meningkatkan hasil dan ekonomi Negara.

Justeru, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah menggerakkan satu inisiatif dalam memupuk kesedaran akan pentingnya keselamatan dan kesihatan bagi kakitangan yang bekerja di tapak binaan melalui satu aktiviti yang di namakan Mega Toolbox kepada setiap konsesi.

Satu program Mega Toolbox 2018 dengan tema “Safety is Mandatory, Progress is Compulsory”, telah diadakan atas tujuan tersebut oleh Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn Bhd bertempat di Pejabat Tapak Seksyen 4, Lebuhraya Setiawangsa - Pantai (SPE), Wangsa Maju dan dirasmikan oleh YBhg. Dato' Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya.

Pada majlis tersebut turut diadakan acara Penyampaian Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Tapak Pembinaan kepada BAUER Sdn.Bhd (Emas), Juang Antara Bina Sdn Bhd (Perak) dan PC Geotechnic Sdn.Bhd (Gangsa).

Antara pengisian program ini adalah Toolbox Talk iaitu satu medium untuk mewujudkan komunikasi yang harmoni di antara majikan dan pekerja di samping membantu mengawal risiko yang mungkin wujud di tapak kerja.

Secara keseluruhan, program ini berkos rendah dan efektif dari aspek pelaksanaannya dalam usaha mengurangkan kemalangan yang selari dengan prinsip peraturan kendiri atau ‘self regulation’ yang menjadi teras Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).

1

Persimpangan Bertingkat Bandar Serenia Di Lebuh Raya Elite Kini Dibuka

BANDAR SERENIA, 26 NOVEMBER 2018:- Persimpangan Bertingkat Bandar Serenia yang terletak di antara Persimpangan Bertingkat Nilai Utara dan juga Persimpangan Bertingkat KLIA di Lebuh raya ELITE kini dibuka kepada orang ramai bermula jam 12:01 pada 27 November 2018 dan perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian.

Setelah dibuka kelak, pengguna dari Bandar Serenia, Kota Warisan, Ampar Tenang, Dengkil, Bandar Salak Tinggi dan kawasan sekitarnya akan mempunyai akses yang mudah dan cepat ke Lebuhraya ELITE. Ini sekaligus memudahkan serta memendekkan masa dan jarak perjalanan penduduk sekitar disamping berupaya memangkin pembangunan di kawasan-kawasan tersebut.

Sebelum ini, pengguna perlu melalui Plaza Tol Nilai, KLIA atau Putrajaya untuk memasuki lebuh raya. Kini, pengguna daripada pekan Dengkil dan Kota Warisan akan dihubungkan ke lebuh raya ELITE di KM35 menerusi Jalan Salak Tinggi-Putrajaya (FT 29).

Projek pembinaan persimpangan bertingkat yang menelan kos RM91.6 juta ini telah dimulakan pada penghujung Disember 2015 selaras dengan ketetapan di dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya ELITE.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Sr. Aziz Abdullah, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

1

Lawatan Kerja Tapak Cadangan Hospital Baru Sri Aman, Sarawak

SRI AMAN, SARAWAK, 24 NOVEMBER 2018 - Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Tuan Baru Bian mengadakan lawatan kerja meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Hospital Baru Sri Aman, Sarawak. Projek ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebagai usaha kerajaan untuk mempertingkatkan taraf kemudahan kesihatan untuk rakyat.

Pada masa ini pembinaan hospital kini adalah di fasa 2 iaitu masih di dalam peringkat pembinaan manakala fasa 1 iaitu kerja-kerja tanah telah pun siap pada 29 Ogos 2013. Luas keseluruhan tapak projek ini kira-kira 51 ekar dan projek pembangunan pada masa ini melibatkan 15 ekar.

Apabila siap kelak hospital ini bakal menempatkan kemudahan sebanyak 108 katil yang melibatkan beberapa kemudahan perubatan iaitu klinik pakar, unit pesakit luar, unit kecemasan, unit hemodialisis, unit rehabilitasi, unit patologi, unit sinaran, wad ibu bersalin, wad obstetrik, farmasi, rumah mayat, ICU dan RHU, unit jagaan harian, unit pembedahan, wad perubatan dan pediatrik.

Kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan Hospital ini adalah Faltech Engineering Sdn. Bhd. JV Welfield Services Sdn. Bhd. dengan kos kontrak sebanyak RM176 juta. Satu lanjutan masa sehingga 3 Ogos 2019 telah diluluskan mengikut syarat-syarat kontrak atas sebab teknikal di tapak projek. Kemajuan kerja terkini adalah 44 peratus berbanding 60 peratus yang dijadualkan iaitu lewat 14 peratus.

Diharapkan usaha kerajaan ini dapat memberi manfaat kepada peningkatan taraf kesihatan penduduk terutamanya penduduk di sekitar Sri Aman yang dianggarkan seramai 93,379 orang. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan masyarakat luar bandar juga menerima kemudahan kesihatan yang setaraf dengan masyarakat bandar.

1

Majlis Meraikan Persaraan Warga Kerja Raya 2018

KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER 2018 - Satu majlis bagi menghargai jasa dan bakti para pesara yang terdiri daripada Warga Kerja Raya iaitu Majlis Sanjungan Budi Tahun 2018 telah dianjurkan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) bertempat di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya.

Seramai 19 daripada 34 pesara dan bakal pesara bersama keluarga telah meluangkan masa hadir bagi menerima Sijil Penghargaan dan Sijil Simpanan Premium BSN daripada Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian. Ada antara pesara ini yang telah berkhidmat dengan Kerajaan untuk tempoh melebihi 40 tahun.

Program sebegini merupakan terjemahan keprihatinan majikan terhadap kaitangan yang telah menyumbangkan tenaga, buah fikiran dan pengorbanan dalam memastikan organisasi dapat beroperasi dengan baik dan lancar selaras dengan halatuju teras perkhidmatan Kementerian.

1

Malam Anugerah Kewartawanan Lebuhraya Pantai Timur 2018

KUANTAN 18 NOVEMBER 2018 - Malam Anugerah Kewartawanan LPT 2018 atau lebih dikenali sebagai AKLPT18 anjuran ANIH Berhad telah berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan bertujuan mengiktiraf pengamal media tempatan yang telah menghasilkan karya-karya mengenai Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 yang dianggap terbaik bagi tempoh 2016 hingga 2017.

Anugerah telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir dan YBhg. Datuk Nik Fauzi bin Tan Sri Dr Nik Hussein, Pengarah Eksekutif ANIH. TV3 telah memenangi kategori Berita TV Cemerlang, Harian Metro untuk Kewartawanan Foto Cemerlang dan Utusan Malaysia kategori Laporan Berita Cemerlang. Bernama telah menerima dua anugerah iaitu Penulisan Rencana Cemerlang dan Trofi Tan Sri Dr Nik Hussain. Kesemua pemenang membawa pulang Sijil, Trofi dan wang tunai.

Penilaian anugerah adalah berdasarkan laporan yang konsisten dan tidak bias serta tidak bercanggah dengan profesionalisme tinggi pengamal media serta mematuhi etika kewartawanan serta memaparkan maklumat dari sumber-sumber rasmi dan sahih. Proses penjurian telah dilakukan barisan juri berwibawa iaitu YBhg. Dato’ Yong Soo Heong, YBhg. Dato’ Ahmad Talib, YBhg. Dato’ Mior Kamarulbaid Mior Shahid dan Tuan Syed Agil Syed Jaafar.

Usaha ANIH Berhad ini seharusnya menjadi perangsang dan pendorong untuk konsesi lain, khususnya konsesi yang memiliki jajaran lebuh raya di bahagian utara, tengah atau selatan tanah air untuk turut sama menghasilkan anugerah sebegini dan mengiktiraf sumbangan dan peranan wartawan dalam meningkatkan kesedaran umum tentang isu-isu penting berkaitan lebuh raya.