Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Kedua

KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2019 – Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 tahun 2019 berlangsung selama tiga hari bermula pada 14hb hingga 16hb Februari 2019. Pada hari kedua jelajah, delegasi telah melawat dua projek yang sedang dalam pembinaan dan satu projek yang telah siap di sekitar Kota Bharu, Kelantan. Projek pertama yang dilawati adalah Projek Membina Flyover dari arah Kota Bharu merentangi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor, Kelantan. Projek ini telah diluluskan pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 1st Rolling Plan (RP1) Tahun 2016.

Projek menaiktaraf jalanraya sedia ada bermula di KM4.5 dari jalan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor FT134 iaitu 100 meter (m) dari Simpang Empat Pohon Tanjung dan berakhir di KM6.06 dengan panjang keseluruhan 1.56 kilometer (km). Projek ini telah dimulakan pada 19 Februari 2018 dan dijadualkan siap pada 18 Ogos 2021 dengan Kos Pembinaan sebanyak RM99,564,800.00.

Dengan siapnya projek ini, ianya akan menjadikan trafik lebih lancar dari arah Kota Bharu – Pengkalan Kubor dan sebaliknya, di samping menyediakan kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat serta pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat kepada penduduk setempat dan kawasan sekitarnya.

Projek ini merupakan projek perintis yang menggunakan kaedah Building Information Modelling (BIM) yang berupaya membantu proses koordinasi di peringkat perancangan sehingga ke peringkat penyerahan yang menekankan kolaborasi di antara pihak yang terlibat seperti KKR, JKR, Kontraktor dan sub-kontraktor. Ia secara tidak langsung, dapat meminimumkan konflik kerja di tapak selain dapat mengurangkan kerja ulangan (reworks).

Projek kedua yang dilawati adalah Projek Mahkamah Kota Bharu, Kelantan (Reka dan Bina) yang dilaksanakan menggunakan kaedah IBS dan akan mempunyai 3 Mahkamah Tinggi, 5 Mahkamah Sesyen dan 5 Mahkamah Majistret. Pembangunan projek ini adalah untuk menggantikan bangunan Kompleks Mahkamah Kota Bharu sedia ada.

Objektif pembinaannya adalah untuk mewujudkan ruang kerja yang lebih kondusif sekaligus menyumbang kepada penawaran perkhidmatan yang efisen seterusnya bakal meningkatkan produktiviti bagi penyelesaian kes.

Kontraktor untuk projek ini adalah Cakna Enterprise Sdn Bhd, dengan Kos Kontrak sebanyak RM96,730,888.88. Ia dimulakan pada 2 Jun 2016 dan dijangka siap pada 1 April 2020 (46 Bulan Tempoh Pembinaan).

Kemajuan fizikal sehingga 27 Januari 2019, adalah sebanyak 90.04 peratus mendahului jadual iaitu 44 peratus. Ini menjadikan projek ini mendahului jadual sebanyak 537 hari atau 46.04 peratus. Kemajuan Kewangan juga mencatatkan pencapaian perbelanjaan sebanyak 87.90 peratus berbanding jadual 42.50 peratus.

Pasukan jelajah turut melalui salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di Negeri Kelantan iaitu Projek Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai, Kelantan, Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok. Pakej ini telah dimulakan pada 7 April 2014 dan telah berjaya disiapkan pada 21 Julai 2018 dengan kos pembinaan sebanyak RM217.5 juta.

Jalan Persekutuan FT08 sedia ada merupakan jalan utama dari Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan dengan kepadatan trafik yang tinggi terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan utama. Sehubungan itu, projek ini merupakan laluan alternatif yang lebih selesa dan selamat bagi pengguna yang ingin menuju ke Kuala Krai apabila siap sepenuhnya kelak.

Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 menjelajah jalan persekutuan di tiga buah negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bermula dari Kompleks Kementerian Kerja Raya dengan jumlah jarak sepanjang 1100 kilometer.

Pasukan jelajah seramai seratus orang delegasi ini diketuai oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan disertai pengurusan tertinggi Kementerian, Rakan KKR dan pihak media. Matlamat dan objektif FTRoadPedia adalah memberi nafas baharu dan persektif positif jalan persekutuan selain menonjolkan jalan persekutuan sebagai jalan utama dan menikmati sosio budaya setempat bertemakan “Cipta Detik Indah Bersama”.

1

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Pertama

KUALA LUMPUR, 14 FEBRUARI 2019 - Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 tahun 2019 berlangsung selama tiga hari bermula pada 14hb hingga 16hb Februari 2019. Rombongan siri jelajah ini menjelajah jalan persekutuan di tiga buah negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bermula dari Kompleks Kementerian Kerja Raya dengan jumlah jarak sepanjang 1100 kilometer.

Pasukan jelajah seramai seratus orang delegasi ini diketuai oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan disertai pengurusan tertinggi Kementerian, Rakan KKR dan pihak media. Matlamat dan objektif FTRoadPedia adalah memberi nafas baharu dan persektif positif jalan persekutuan selain menonjolkan jalan persekutuan sebagai jalan utama dan menikmati sosio budaya setempat bertemakan “Cipta Detik Indah Bersama”.

Pada hari pertama jelajah, lokasi yang dilawati adalah Jambatan Sungai Yu atau Sungai Yu Eco Bridge yang terletak di Jalan Persekutuan FT08 yang merupakan sebahagian daripada Projek Central Spine Road (CSR). Jambatan Sungai Yu merupakan jambatan Eco-Viaduct hidupan liar terpanjang yang pernah dibina di Malaysia yang merupakan laluan khas yang dibina untuk laluan hidupan liar di antara Banjaran Titiwangsa dan Taman Negara.

Ia dibina bertujuan memastikan kriteria di dalam Central Forest Spine Master Plan dipatuhi, iaitu untuk menghubungkan 4 kawasan hutan utama di Semenanjung Malaysia dengan rangkaian koridor ekologi hijau sebagai kawasan perlindungan hidupan liar. Keseluruhan panjang jambatan ini adalah 1,302 meter melibatkan pembinaan 3 buah jambatan dengan kos bernilai RM61.54 juta dan dimulakan pada 18 Oktober 2010 dan siap pembinaan pada 17 April 2013.

Lokasi kedua yang dilawati adalah Jajaran Projek Central Spine Road (CSR) yang sedang dalam pembinaan iaitu Seksyen 3E1 dari Mentara ke Merapoh. Seksyen 3E1 telah dimulakan pada 19 September 2016 dan dijadualkan siap pada 15 September 2019 dengan kos pembinaan sebanyak RM101.5 juta.

Skop kerja utama bagi Pakej 3E1 adalah membina jalan baharu 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5 sepanjang 5.8 kilometer (km), sebuah jambatan, satu persimpangan bertingkat di Mentara dan dua Vehicular Box Culvert (VBC).

Projek Central Spine Road dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang sepanjang 351.25km telah pun dimulakan secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan pada masa ini, jajaran sepanjang 55.35km dari Merapoh ke Kampung Seberang Jelai, Pahang dan 5.78km dari Kampung Asap ke Kampung Sertik telah pun siap pembinaan. Pemilihan lokasi projek adalah berdasarkan aspek keselamatan dan kesesakan lalu lintas.

Projek Central Spine Road merupakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT08 sedia ada yang dapat memberikan keselesaan kepada pengguna, mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim perayaan utama seterusnya menjimatkan masa perjalanan. Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

1

Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya 2019 - Februari

KUALA LUMPUR, 12 Februari - YB Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir telah hadir ke Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya Malaysia bagi menyampaikan amanat beliau yang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Hadir sama ke Perhimpunan Bulanan KKR itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato' Dr. Ong Gua Pak, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan Md. Taha, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBhg. Dato' Sr. Aziz Abdullah serta Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir telah menegaskan bahawa Kementerian akan memberikan tumpuan lebih kepada peningkatan produktiviti dan inovasi dalam industri pembinaan melalui penggunaan teknologi Selari dengan motto "Digitalising the Construction Industry” dan perkembangan Revolusi Industri 4.0 atau IR 4.0.

Ujar beliau lagi, untuk mencapai hasrat ini, Kementerian bukan hanya akan memberi tumpuan kepada pembangunan mekanisme, perisian dan robotik tetapi juga untuk menyediakan data secara real time dan sistem yang lebih efisien. Kementerian Kerja Raya, agensi-agensinya dan pihak berkepentingan lain perlu bersama-sama merealisasikan aspirasi ini demi mewujudkan rantaian gerak kerja yang telus, cekap dan efektif.

Ucapan penghargaan juga telah diberikan kepada pegawai-pegawai Kementerian dan Agensi yang telah memberi komitmen padu dan memainkan peranan yang sewajarnya sehingga membawa kejayaan kepada pencapaian skor 98.74 peratus melalui dashboard MAMPU bagi pelaporan MPI YB Menteri Kerja Raya sehingga 30 November 2018.

1

Lawatan KSN Ke Pusat MYBIM Dan “BOS” CIDB

KUALA LUMPUR, 11 Februari 2019 – Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Datuk Seri Dr Ismail Bakar, buat julung kalinya telah melawat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sebuah agensi di bawah Kementerian Kerja Raya, bagi melihat sendiri usaha yang telah diambil oleh badan berkanun itu dalam mentransformasikan industri pembinaan ke arah yang lebih maju, mampan dan berdaya saing.

Sebelum itu, Datuk Seri Dr Ismail Bakar telah mempengerusikan Mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan yang turut dihadiri YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

Di dalam sesi lawatan tersebut, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar telah dibawa ke Pusat myBIM, sebuah fasiliti berteknologi tinggi bagi membolehkan penggiat industri pembinaan menggunakan Building Information Modelling (BIM) untuk melaksanakan projek mereka.

Pusat myBIM menyediakan fasiliti canggih termasuk studio BIM, makmal serta bilik seminar yang boleh disewakan kepada pengguna. Pusat tersebut juga menawarkan penggunaan perisian dan pelbagai program latihan kemahiran BIM. Latihan yang diberikan juga memastikan lebih ramai penggiat industri dapat memanfaatkan portal National BIM Library untuk projek-projek mereka.

Antara projek-projek yang telah dibina menggunakan BIM, termasuk Institut Kanser Negara di Putrajaya, Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Kompleks Sukan Educity di Nusajaya dan Hotel Ancasa di Pekan, Pahang.

KSN juga telah melawat Bahagian Operasi Setempat (BOS) CIDB. BOS berperanan menyemak dan meluluskan permohonan yang diterima secara atas talian melalui Centralised Information Management System (CIMS). CIMS merupakan sebuah platform atas talian yang mengintegrasikan semua proses dan transaksi berkaitan aktiviti pembinaan, termasuk pendaftaran kontraktor, pengisytiharan projek dan pengurusan levi. CIMS juga boleh di akses untuk permohonan pendaftaran dan akreditasi personnel binaan.

1

Program Juh! Bincang RTM Bersama Menteri Kerja Raya

KUCHING, 7 FEBRUARI 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian telah dijemput oleh pihak Jabatan Penyiaran Kawasan Sarawak sebagai tetamu bagi Program Juh! Bincang di Bangunan RTM Kuching, Sarawak. Program Juh! Bincang ini merupakan sebuah program bicarawara santai terbitan Seksyen TV RTM Sarawak yang membincangkan profil, pembangunan dan perancangan yang sedang dan akan dilakukan di Negeri Sarawak oleh sesebuah institusi atau jabatan.

Bagi episod kali ini, YB Baru Bian telah bercakap mengenai topik , “Pelan Pembangunan & Jajaran Sarawak” sepanjang satu jam masa bersiaran secara langsung. Pelbagai idea dan dasar baharu yang telah dibentangkan dan dijelaskan oleh YB Menteri Kerja Raya dalam program bicarawara ini.

Program sebegini sememangnya sangat bermanfaat kepada penduduk di Sarawak khususnya , yang merupakan negeri terbesar di Malaysia, jadi pastinya pembangunan dan infrastruktur menjadi agenda utama demi kepentingan masyarakat secara umumnya.

Orang ramai juga boleh menonton Program Juh! Bincang ini secara langsung di saluran TV OKEY saluran 109 ataupun melalui RTM Mobile dengan melayari laman web myklik.rtm.gov.my bagi mengikuti program ini secara maya.

1

Pembukaan ‘Overhead Motorcycle Bridge’ Dan Menaik Taraf Sistem Perparitan Lorong Motosikal Lebuhraya Persekutuan

PETALING, 29 JANUARI 2019 - YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia telah menyempurnakan Perasmian ‘Overhead Motorcycle Bridge’ dan Menaiktaraf Sistem Perparitan Lorong Motosikal FT2, Lebuhraya Persekutuan di Jalan 222, Petaling Jaya, Selangor mewakili Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian. Projek ini merupakan inisiatif Kerajaan dalam menyediakan infrastruktur jalan yang lebih selesa, lancar, dan selamat.

Kementerian Kerja Raya (KKR) mendapati lorong motosikal jajaran FT2 dari Kota Darul Ehsan hingga ke Kelab Golf Negara Subang sepanjang 8.1 kilometer di kedua-dua bahagian perlu diberi keutamaan untuk dinaik taraf dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di terowong, iaitu di Jalan 222 menghala ke Kuala Lumpur dan di Jalan Templer menghala ke Klang sehingga menutupi keseluruhan pintu terowong serta untuk mengurangkan kadar kemalangan.

Projek Menaiktaraf ini telah diamanahkan kepada Roadcare Sdn Bhd sebagai kontraktor utama dengan kos kontrak yang telah diperuntukan di dalam bajet 2017 sebanyak RM 29 Juta dan dipantau Pasukan Projek Cawangan Jalan, JKR.

Kerja-kerja penaiktarafan bermula pada Jun 2017 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Januari 2019 dan melibatkan kerja-kerja pembinaan dua (2) buah jambatan motosikal, menaiktaraf sistem saliran, membaikpulih turapan jalan, transformasi tiga (3) buah terowong, kerja-kerja elektrikal dan lampu jalan.

Pelebaran lorong telah dilakukan kepada sekurang-kurangnya tiga meter lebar dan semua jalan laluan keluar masuk daripada laluan motosikal ke jalan utama juga ditambah baik dengan reka bentuk geometrik mengikut standard piawaian Jabatan Kerja Raya. Terdapat 14 jalan susur keluar dan 12 jalan susur masuk masuk motosikal ke laluan utama. Kerja-kerja menaik taraf sistem pencahayaan di dalam terowong sebelum dan selepas terowong juga telah dilaksanakan.

Antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan projek dan kontraktor semasa kerja-kerja pelaksanaan berlangsung adalah paras air yang meningkat dengan mendadak ketika hujan lebat dan telah menyebabkan kawasan tapak ditenggelami air termasuk mesin dan peralatan. Namun hasil kerjasama erat semua pihak yang terlibat telah dapat mengatasi masalah tersebut dengan jayanya.

Para pengguna lorong motosikal boleh mula menggunakan ‘Overhead Motorcycle Bridge’ laluan di kedua-dua arah ini bermula jam 9.00 malam 29 Januari 2019 (Selasa).

1

Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2019

GOMBAK, 29 JANUARI 2019 – Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan sokongan pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganjurkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya menjelang perayaan Tahun Baru Cina 2019 di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang akan yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Sempena pelancaran kempen advokasi ini, KKR dengan kerjasama LLM dan PSKLM turut akan melancarkan sebuah video pendek bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan pengguna lebuh raya supaya sentiasa tertib dan sopan ketika menggunakan lebuh raya, khususnya pada musim perayaan.

Kempen ini merupakan siri kempen kesinambungan advokasi keselamatan lebuh raya terdahulu yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna lebuh raya berhubung pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah dan bertimbang rasa di lebuh raya. Disamping itu ianya sebahagian daripada usaha murni untuk mengurangkan kadar kemalangan yang meningkat saban tahun. Semasa musim perayaan Tahun Baru Cina ini dijangkakan pertambahan trafik harian adalah sebanyak 20 % – 30 % di Lebuhraya PLUS dan lebuh raya utama yang lain.

Larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan turut dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 5 hari, iaitu pada 2 hingga 4 Februari 2019. Inisiatif proaktif ini termasuklah langkah Kerajaan mengeluarkan arahan henti kerja (stop order work) di lebuh raya kecuali bagi kerja - kerja kritikal untuk tempoh 15 hari iaitu bermula dari 29 Januari hingga 12 Februari 2019.

LLM dan PDRM serta dengan kerjasama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya seluruh negara telah bersedia untuk membantu pengguna dengan langkah-langkah proaktif dalam melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan mereka sewaktu musim perayaan nanti. Antaranya dengan menempatkan anggota RELA di kawasan lalu lintas di plaza tol dan kawasan R&R untuk tujuan kawalan trafik, mengaktifkan laluan contra flow di beberapa lokasi lebuh raya yang telah dikenalpasti, menempatkan kren dan kembalik di lokasi-lokasi strategik bagi memindah kenderaan yang rosak atau kemalangan dan pelbagai lagi.

Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya juga akan melaksanakan Program Corporate Social Responsibility (CSR) di lebuh raya masing-masing dengan pemberian diskaun sempena musim perayaan sebagai tanda penghargaan mereka kepada pengguna-pengguna lebuh raya dan mengurangkan beban perbelanjaan di musim perayaan ini.

1

Lawatan Kerja YB Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia Ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang

PULAU PINANG, 28 JANUARI 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Hj. Mohd Anuar b. Mohd Tahir telah mengadakan Lawatan Kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang.

Sejurus tiba di Pejabat JKR Pulau Pinang, YB Tuan Hj. Anuar Mohd Tahir telah disambut dan dibawa ke satu sesi perjumpaan bersama kakitangan JKR Pulau Pinang sebelum mendengar taklimat ringkas mengenai beberapa buah projek oleh wakil Pegawai JKR Pulau Pinang. Selesai taklimat, YB Timbalan Menteri dan dif kehormat dibawa melawat sekitar perkarangan Pejabat JKR Pulau Pinang.

Usai makan tengahari dan Solat Zohor, sesi lawatan kerja kali ini disambung pula dengan lawatan YB Timbalan Menteri Kerja Raya ke Lokasi Aduan Jalan yang diketuai oleh YB Pn. Kasthuriraani A/P Patto iaitu Ahli Parlimen Batu Kawan. Sesi Lawatan YB Timbalan Menteri Kerja Raya ke JKR Negeri Pulau Pinang kali ini diakhiri dengan lawatan YB Tuan Hj. Anuar Mohd. Tahir ke Depo Simpanan Bitumen (Innate Synergy Sdn.Bhd) (ISSB) mula beroperasi pada tahun 1999. Aktiviti perniagaan utama ISSB meliputi pembekalan produk petroleum seperti bitumen, diesel, MFO, LFO, LPG dan pelincir untuk sektor perindustrian di Malaysia.

1

Pembukaan Jajaran Telok Melano – Sematan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak

TELOK MELANO, 26 JANUARI 2019 - Pembukaan Jajaran Telok Melano – Sematan, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 33 kilometer ini oleh YB Menteri Kerja Raya dan YAB Ketua Menteri Sarawak membuktikan komitmen dan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menambahbaik jaringan infrastruktur jalan raya di Sarawak.

Selaras dengan visi dan komitmen Allahyarham Tan Sri Pehin Sri Haji Adenan bin Satem, mantan Ketua Menteri Sarawak, pembukaan jajaran Telok Melano ke Sematan bakal menyaksikan potensi perkembangan ekonomi dan pembangunan yang lebih giat di perkampungan sekitar khususnya Kampung Telok Melano dan Kampung Telok Serabang yang berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi eko-pelancongan dengan lokasinya yang strategik, berdekatan dengan Tg. Datu National Park dan Samunsan Wildlife Sanctuary.

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar turut dititikberatkan dalam pembinaan jajaran ini. Pelbagai inisiatif telah diambil untuk mengurangkan impak pembinaan ke atas alam sekitar antaranya penggunaan kabel komunikasi dan elektrik bawah tanah, pembinaan struktur jambatan rentangan panjang sebagai laluan haiwan liar di Jambatan Samunsan serta mengubah rekabentuk jalan daripada dual carriageway kepada single carriageway untuk meminimumkan kawasan pembinaan dan mengelakkan pembinaan di kawasan berkepadatan tinggi pokok bakau.

Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi jajaran Telok Melano – Sematan ini telah dimulakan pada 15 September 2015 dengan melibatkan kos anggaran sebanyak RM 580 juta dan telah siap sepenuhnya mengikut jadual pada 4 Januari 2019 yang lalu.

1

Majlis Bicara YBhg. Dato' TKSUP Bersama Kumpulan Pelaksana KKR

KUALA LUMPUR, 25 JANUARI 2019 – Pagi ini telah berlangsung majlis bicara di antara Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan (TKSUP) Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Dr. Ong Gua Pak bersama – sama warga Kerja Raya.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid ini telah dihadiri seramai 300 orang yang terdiri daripada kumpulan sokongan dan pelaksana. Pelbagai isu telah dibincangkan dalam sesi ini di antaranya naik taraf sistem perkhidmatan sedia ada dan juga infrastruktur di dalam bangunan Kompleks Kerja Raya.

Program anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) ini menyediakan ruang dan peluang interaksi antara kumpulan sokongan dengan pengurusan atasan yang boleh merapatkan dan mengukuhkan hubung jalin dalam sesuatu organisasi.