Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Audit Dalaman EKSA Dan Pertandingan Mini EKSA KKR Siri 1/2019

KUALA LUMPUR, 26 MAC 2019 – Audit Dalaman EKSA Siri 1/2019 dan Pertandingan Mini EKSA KKR telah berlangsung selama dua (2) hari pada 26 dan 27 Mac 2019. Pertandingan Mini EKSA KKR pula telah melibatkan empat (4) kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Zon Terbaik, Stor Terbaik, Go Green Terbaik dan Ketua Zon Terbaik.

YBhg. Dato' Dr. Ong Gua Pak, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) telah turun padang bertemu para juruaudit dan turut serta membuat tinjauan audit ke beberapa bahagian sebagai tanda sokongan pihak Pengurusan Atasan terhadap aktiviti ini.

EKSA telah diperkenalkan sebagai inisiatif penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan mengambil kira keperluan untuk mengetengahkan persekitaran tempat kerja yang sistematik, selesa dan kondusif supaya lebih releven kepada jabatan/agensi sektor awam di Malaysia. KKR telah membuat peralihan daripada Amalan 5S kepada EKSA mulai Januari 2017 dalam usaha untuk merealisasikan program transformasi dan pemantapan perkhidmatan awam.

1

Perasmian Pejabat CIDB Cawangan Sibu, Sarawak

SIBU, 23 MAC 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian telah merasmikan Pejabat Lembaga Pembinaan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak, Cawangan Sibu yang merupakan cawangan ke 4 selepas pembukaan cawangan pejabat di Kuching, Miri dan Bintulu. Turut hadir sama dalam majlis perasmian ini ialah Ketua Setiausaha Kerja Raya, Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembinaan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Dato’ Ir. Ahmad Asri b. Abdul Hamid.

Sibu mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat pada masa hadapan dengan wujudnya infrastruktur yang mapan kerana Sibu juga sebahagian Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE). Ia mempunyai banyak ruang untuk model pembangunan bandaraya hijau di Asia yang mesra alam sekitar kerana terletak di lokasi alam semulajadi hutan tropika.

Projek infrastruktur yang telah dilaksanakan di Sibu antaranya Projek jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Fasa 1 bernilai RM1.7 billion. Projek ini, telah bermula pada tahun 2016 dan sedang giat dilaksanakan. Dengan pembukaan cawangan CIDB di Sibu ini, pertumbuhan industri pembinaan di sini akan lebih mantap, berkualiti, produktif dan sudah pasti akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di Sibu ini.

1

Majlis Bicara YBhg. Dato' TKSUP Bersama Sektor Pengurusan KKR

KUALA LUMPUR, 22 Mac 2019 - Pagi ini telah berlangsung majlis perjumpaan di antara Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan (TKSUP) Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Dr. Ong Gua Pak bersama – sama warga Kerja Raya Sektor Pengurusan.

Sektor pengurusan yang terlibat adalah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Akaun, Bahagian Kewangan, Bahagian Pengurusan Korporat dan Bahagian Pengurusan Maklumat.

YBhg. Dato' Dr. Ong berkesempatan menyampaikan amanat kepada semua warga kerja yang hadir dan dan beliau berharap tiada jurang hubungan bagi seluruh warga di Kementerian Kerja Raya. Beliau turut memberi peluang hadirin yang terdiri daripada pegawai – pegawai atasan serta kumpulan pelaksana untuk berkongsi pendapat dan menyuarakan permasalahan yang dialami.

Program anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) ini merupakan satu usaha murni mewujudkan peluang berinteraksi antara kakitangan dengan pengurusan atasan yang boleh merapatkan dan mengukuhkan hubung jalin dalam sesuatu organisasi.

1

Anugerah QLASSIC Meraikan Dan Mengiktiraf Penggiat Industri Cemerlang

KUALA LUMPUR, 21 MAC 2019 - QLASSIC Day 2019 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah diadakan bagi meraikan dan mengiktiraf penggiat industri yang telah mencapai prestasi yang memberansangkan di dalam penilaian kualiti QLASSIC.

QLASSIC adalah singkatan kepada Quality Assessment System for Building in Construction Works atau Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan dan mula diperkenalkan pada tahun 2007 sepertimana yang digariskan di dalam Construction Industry Standard C.I.S 7:2014.

Pada majlis ini projek pembinaan bangunan yang mencapai markah QLASSIC 80 dan keatas diiktiraf dan dianugerahkan pencapaian QLASSIC. CIDB telah memutuskan untuk menaikkan skor kelayakan penerima anugerah pencapaian QLASSIC kepada 83 peratus mulai tahun 2019.

Seramai 15 pemaju atau pemilik projek, 17 kontraktor dan 18 arkitek telah menerima pengiktirafan QLASSIC Achievement Award untuk 20 projek pembinaan bangunan yang dinilai pada tahun 2018. Penyampaian anugerah QLASSIC telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian.

Turut diadakan pada majlis ini adalah pemeteraian kerjasama di antara CIDB dan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di dalam perlaksanaan QLASSIC untuk projek-projek perumahan mampu milik.

Melalui kerjasama dengan CIDB ini, KPKT akan mewajibkan pemilikan sijil QLASSIC ke atas semua projek perumahan awam mahupun swasta, berkuatkuasa pada tahun 2020. Inisiatif ini merupakan salah satu daripada strategi yang telah digariskan di dalam pelan tindakan Dasar Perumahan Negara 2.0.

Acara tahunan yang yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur ini sejajar dengan aspirasi teras strategik Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 iaitu Kualiti, Keselamatan dan Profesionalisme.

1

BIM Day 2019 – Menggalak Penggunaan Teknologi Dalam Pembinaan

KUALA LUMPUR, 20 MAC 2019 – Bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang berlangsung pada 18 hingga 21 Mac 2019, satu program yang berkait rapat dengan industri binaan telah diadakan iaitu Hari Permodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling - BIM) atau BIM Day.

BIM Day yang bertemakan “Digitalising Construction Together” ini bertujuan menggalakkan penggunaan dan aplikasi teknologi dalam sektor pembinaan dan sistem tersebut dilihat antara penyelesaian terbaik bagi mengatasi pelbagai masalah yang sering dihadapi industri pembinaan konvensional.

Sehingga kini penggunaan BIM di Malaysia adalah sebanyak 17 peratus dan masih rendah jika dibandingkan dengan Amerika sebanyak 71 peratus. Maka usaha menggalakkan penggunaannya dengan penganjuran program seperti BIM Day ini adalah perlu seiring dengan Teras kedua Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 iaitu Produktiviti melalui teknologi. BIM Day dirasmikan YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bertempat di Hotel Sunway Putra.

1

Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) Dan Pelancaran Infrastar

KUALA LUMPUR, 19 MAC 2019 – Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) yang bertemakan “Construction Beyond 2020” telah dilancarkan Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung pada 18 hingga 21 Mac 2019 ini merupakan acara tahunan ke-19 yang dianjurkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bertujuan menumpukan usaha mentransformasi sektor industri binaan melalui teknologi dan inovasi sejajar kehendak dan perkembangan industri global.

ICW 2019 buat pertama kalinya dianjurkan bersama pameran perdagangan, ASEAN Super 8 yang menampilkan pameran perdagangan pembinaan mega dan juga penyertaan 20 syarikat daripada tujuh negara untuk sesi suaipadan perniagaan antarabangsa.

Pada majlis perasmian ini, Menteri Kerja Raya turut melancarkan penarafan infrastruktur mampan (INFRASTAR), iaitu sistem yang melaksanakan penafaran bagi mengukur tahap kemapanan setiap projek infrastruktur di Malaysia.

Penilaian ini penting dalam menentukan impak hasil penggunaan peralatan, sumber dan pengurusan sisa buangan di tapak pembinaan, dari segi ekologi dan persekitaran. Pelancaran INFRASTAR merupakan satu lagi pencapaian hebat kepada Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 dalam melestarikan alam sekitar.

Turut hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia), Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Pengerusi Bersama UBM Malaysia, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

1

PAGOH, 16 MAC 2019 - Kementerian Kesihatan Malaysia bersama rakan-rakan strategik iaitu Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya telah melancarkan Kempen Kurangkan Gula Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 2019 bertempat di R&R Pagoh, Johor Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan. Pengambilan gula yang berlebihan secara berterusan dan tanpa disedari akan meningkatkan pengambilan kalori, yang seterusnya akan menyebabkan peningkatan berat badan dan obesiti.

Bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen ini, para peniaga di R&R Pagoh memberi potongan harga 10 sen bagi minuman seperti kopi O dan teh O yang dipesan tanpa gula atau kurang gula bermula tarikh kempen ini. Diskaun turut diberikan kepada jualan buah-buahan terutamanya buah-buahan potong sebagai alternatif kepada makanan yang tinggi gula selain meneruskan pemaparan kandungan kalori dalam makanan dan minuman yang dijual di semua R&R.

Kempen ini dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia dan turut dihadiri YB Tuan Dr. Sahruddin Bin Jamal, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan YBhg. Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad.

1

KUALA LUMPUR, 14 MAC 2019 – Majlis “Jasa Dikenang Budi Disanjung” telah diadakan bagi meraikan persaraan YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya yang telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama hampir 37 tahun, bermula bulan Ogos 1982. Beliau menerajui JKR Malaysia sebagai Ketua Pengarah selama 2 tahun 7 bulan bermula pada 24 Ogos 2016.

Sepanjang menerajui JKR, pelbagai kejayaan signifikan telah dicapai, antaranya JKR Malaysia berjaya memperolehi pengiktirafan lima bintang (100%) untuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS Tahun 2017 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, pewujudan Inisiatif 3 Dalam 1 iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), Penyata Akaun Muktamad (SOFA) dan Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing) disediakan dan diserahkan kepada pelanggan pada masa yang sama. Kejayaan lain adalah Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bersekali dengan dokumen kontrak dan berjaya mengembalikan semula projek pembangunan persekutuan untuk dilaksanakan oleh JKR.

Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha memiliki kepakaran dalam bidang pengurusan projek, geoteknik asas, rundingan teknikal dan kewangan bagi kajian projek alam sekitar termasuk EIA. Beliau juga dilantik sebagai penasihat Noise Barriers dan juga penilai Green Building Index bagi KKR manakala dalam badan professional beliau dilantik sebagai Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Presiden Persatuan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM), Pengerusi Network of Accreditation Bodies for Engineering Education in Asia (NABEEA), Presiden Malaysian Structural Steel Association (MSSA) dan sebagai 1st Delegate of Malaysia, The World Road Association.

Majlis tersebut turut dihadiri YB Baru Bian, Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Syarifuddin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Ir. Ahmad ‘Asri bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan YBhg. Dato’ Sr. Aziz bin Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia.

1

Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya Malaysia 2019

PULAU PINANG, 9 MAC 2019 - Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menganjurkan Persidangan Pegawai Kanan JKR Tahun 2019 bertempat di Hotel Equatorial, Pulau Pinang bertemakan “JKR; Peneraju Infrastruktur Negara”.

Persidangan ini berlangsung pada 9-11 Mac 2019 dan melibatkan penyertaan lebih 400 orang pegawai-pegawai kanan JKR yang terdiri daripada Pengarah-Pengarah Cawangan dan Negeri, Jurutera-Jurutera Daerah dan Pegawai-Pegawai Kader dari seluruh negara.

Objektif utama penganjuran persidangan tahunan ini adalah untuk mendengar mandat dan hala tuju kepimpinan, sebagai platform untuk sesi wacana ilmu, perkongsian kepakaran dan pengalaman serta sebagai ruang diskusi kepada pegawai-pegawai JKR untuk saling bertukar idea dan pandangan dalam memainkan peranan sebagai perunding teknikal utama kerajaan serta meningkatkan kecemerlangan penyampaian projek demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Empat kertas kerja dibentangkan sepanjang Persidangan SOC 2019 daripada pembentang agensi Kerajaan yang menyentuh pelbagai topik yang relevan dengan ahli persidangan.

Sempena SOC 2019 ini, Anugerah Kontraktor Cemerlang turut dipertandingkan sebagai pengiktirafan kepada kontraktor dan pelaksana yang berjaya melaksanakan projek JKR. Ia juga sebagai tanda penghargaan JKR terhadap kecemerlangan pengurusan organisasi tersebut. Sebanyak tujuh (7) kategori yang dipertandingkan pada tahun ini.

Selain itu, turut diadakan sesi tandatangan MoU kerjasama antara JKR dan Telekom Malaysia (TM), JKR dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Sesi tandatangan MoA bagi Projek Kajian Secara Kolaborasi JKR dan USM.

Pameran Industri Pembinaan 2019 juga diadakan selama dua (2) hari sepanjang mesyuarat berlangsung dengan 63 gerai pameran menyertai pameran ini melibatkan agensi jabatan kerajaan dan swasta.

1

Lawatan Kerja Ke Tapak Cadangan Jajaran Sarawak-Sabah Link, Lebuhraya Pan Borneo

MIRI, SARAWAK, 6 MAC 2019 – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang mengkaji cadangan Jajaran Sarawak-Sabah Link untuk Lebuhraya Pan Borneo bermula di Long Lama, melalui Long Napir – Long Lopeng – Lawas dan berakhir di Sindumin. Tujuan laluan ini adalah untuk menyediakan akses jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dari Ulu Baram di Miri ke Limbang dan Long Semado di Lawas.

Sehubungan itu, satu lawatan kerja yang diketuai Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian dan Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan (BPP) KKR, Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah telah diadakan untuk melihat lokasi-lokasi penempatan di sepanjang cadangan jajaran Sarawak-Sabah Link. Disamping itu, lawatan ini juga bertujuan melihat sendiri kesukaran penduduk tempatan untuk bergerak dari perkampungan ke pekan terdekat dalam menjalani kehidupan seharian. Antara lokasi yang dilawati termasuklah Daerah Kecil Long Lama, Perkampungan Long Atip, Perkampungan Long Bedian dan Long Panai.

Jajaran Sarawak-Sabah Link ini dijangka akan dimulakan seawal akhir tahun 2019 atau awal tahun 2020 tertakluk kepada hasil kajian perunding yang sedang dilantik. Ini adalah antara usaha pihak Kerajaan dan Kementerian bagi memastikan keselesaan dan kemudahan infrastruktur masyarakat pedalaman di Sarawak khususnya terjamin.