Langkau ke kandungan utama
0

Pembinaan Flyover dapat menyuraikan kesesakan lalu lintas di Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor

Wakaf Bharu, Kelantan, 27 Jun 2023 – Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyempurnakan perasmian Pembinaan Flyover dari Arah Kota Bharu Merentangi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor.

Projek ini dilaksanakan secara Reka dan Bina dan telah meningkatkan tahap keupayaan jalan, Level of Service (LOS) dari tahap F ke tahap C yang membawa maksud kelancaran trafik berjaya ditingkatkan. Projek bernilai sebanyak RM 97.6 juta telah mula dibina pada 19 Februari 2018 dan siap pada 15 Jun 2023 melibatkan skop seperti berikut:

1.            Membina jejambat jalan berkembar empat lorong melintasi Bulatan Wakaf Bharu (Kota Bharu – Pengkalan Kubor) sepanjang 470 meter;

2.            Pelebaran dua jambatan sedia ada iaitu Jambatan Atas Rel sepanjang 26.2 meter dan Jambatan Alor Kedemit sepanjang 25 meter.

3.            Menaik taraf Bulatan Wakaf Bharu sedia ada kepada persimpangan berlampu isyarat;

4.            Pemasangan perabot jalan;

5.            Pengambilan balik tanah; dan

6.            Kerja-kerja pengalihan utiliti; dan

7.            Projek rintis bagi pelaksanaan projek jalan secara Building Information Modelling (BIM)

Antara keistimewaan projek ini adalah ia merupakan projek rintis bagi pelaksanaan BIM dalam pembinaan projek jalan dan jambatan. Kaedah penggunaan BIM dalam projek jalan mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan kerana kaedah ini menyeragamkan reka bentuk dan mempercepatkan tempoh pembinaan.

Projek ini dilaksanakan bagi menyuraikan trafik di Jalan Kota Bharu – Pengkalan Kubor terutamanya di sekitar Bulatan Wakaf Bharu yang sering mengalami kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak sebelah pagi dan petang serta sewaktu musim perayaan.

Tarikh Dan Waktu Acara