Langkau ke kandungan utama
0

Pemasangan Jambatan Bailey Di Laluan FT2490 Jalan Masuk Ke Perwira Jaya Dan Selancar, Rompin, Pahang

ROMPIN, PAHANG, 5 MAC 2023 – Satu kejadian jalan terputus telah berlaku pada 1 Mac 2023, jam 7.15 pagi ekoran kejadian hujan lebat  yang  berterusan  serta  fenomena kepala  air  di laluan  FT2490, Seksyen 2.80, Jalan Masuk ke Perwira Jaya dan Selancar, Rompin, Pahang di mana pembentung sediada tidak dapat menampung kapasiti air  yang terlalu tinggi.

Jalan tersebut merupakan laluan yang menghubungkan penduduk setempat Felda Selancar ke Segamat dan juga ke Muadzam Shah, Pahang. Anggaran panjang runtuhan adalah sepanjang 23 meter. Demi menjamin keselamatan pengguna dan penduduk setempat, laluan tersebut telah ditutup buat semua jenis kenderaan di mana papan tanda amaran telah dipasang untuk memberikan panduan kepada pengguna jalan raya.

Bagi    tujuan   perhubungan dan  logistik  penduduk  setempat,  pemasangan   sementara  Jambatan Panel Keluli Bermodular atau Jambatan Bailey sepanjang 140 kaki sedang giat dilaksanakan. Komponen-komponen jambatan sementara tersebut telah digerakkan ke lokasi pada 2 Mac 2023 (Khamis) dari setor JKR Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan JKR Daerah Petaling, Selangor.

Berdasarkan kondisi dan situasi di tapak, kerja-kerja   menstabilkan  hakisan telah  dilaksanakan  pada 4 Mac 2023 (Sabtu) sebelum pemasangan Jambatan Bailey dimulakan. Jabatan Kerja Raya Malaysia telah bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk kerja-kerja pemasangan Jambatan tersebut pada hari yang sama. Anggaran kerja – kerja pemasangan dan pembinaan Jambatan Bailey ini adalah 72 jam dan pembukaan jalan akan dimaklumkan sejurus kerja-kerja pemasangan siap dilaksanakan serta selamat untuk kegunaan pengguna jalan raya. Bagi memantau perkembangan terkini, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman telah meninjau kerja-kerja pemasangan tersebut.

Akibat ketidaktentuan cuaca dan bencana banjir yang melanda negara, infrastruktur Jalan Persekutuan turut terkesan dan memerlukan pembaikan kerosakan. Kerja-kerja membaiki kerosakan secara kekal di beberapa buah negeri yang terjejas akan dilaksanakan dengan kadar segera setelah peruntukan diterima oleh pihak Kementerian dengan anggaran kos RM129.30juta.

Tarikh Dan Waktu Acara