Kompleks Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin, 50580 Kuala Lumpur Tel: +603-27111100 Fax: +603 - 2711 1590/1592
PERKHIDMATAN TERAS KKR

Perkhidmatan teras Kementerian Kerja Raya dikategorikan kepada tiga (3) komponen seperti berikut:

   pelaksanaan projek-projek pembangunan infrastruktur khususnya Jalan Persekutuan

   penyenggaraan jalan Persekutuan dan Bangunan Gunasama Persekutuan yang diswastakan

   penyertaan usahawan Bumiputera di dalam industri pembinaan

1) PELAKSANAAN PROJEK PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR KHUSUSNYA JALAN PERSEKUTUAN

Kajian dan perancangan pembinaan Jalan Persekutuan

   Kajian dan penyelidikan jalan yang dijalankan oleh KKR adalah bertujuan untuk pembinaan jalan-jalan baru atau penambahbaikan jalan yang sedia ada. Tujuan utama kajian ini adalah bagi memastikan rangkaian/sistem jalan raya yang wujud di seluruh negara sentiasa efisien, selesa, selamat digunakan dan seterusnya dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

   Kajian dan penyelidikan bagi pembinaan jalan-jalan ini adalah dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Perancang Jalan

Pemantauan pembinaan projek Jalan Persekutuan

   Bahagian Pembangunan dan Penswastaan bertanggungjawab mengurus, mengendalikan dan memantau peruntukan projek-projek pembangunan KKR yang meliputi jalan , jambatan, lebuh raya dan bangunan-bangunan agensi Kerajaan.

   Bagi memastikan projek-projek yang dirancang dapat disiapkan dengan sempurna dan mengikut jadual yang ditetapkan, KKR sentiasa membuat pemantauan terhadap kemajuan pelaksanaan projek-projek.

   Cara-cara pemantauan yang dibuat adalah menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan, pemantauan melalui Sistem Pemantauan Projek 2 (SPP 2), Geographical Information System (GIS) dan lawatan ke tapak projek.

2) PENYENGGARAAN JALAN PERSEKUTUAN DAN BANGUNAN GUNASAMA PERSEKUTUAN YANG DISWASTAKAN

   Mulai tahun 1998 Kerajaan telah memutuskan untuk menyerahkan kerja-kerja penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan kepada syarikat konsesi. Penswastaan Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan kepada syarikat konsesi dibahagikan mengikut lokasi Bangunan Persekutuan; Zon Utara dan Sabah, Zon Selatan dan Sarawak dan Zon Timur, (Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan bagi Zon Tengah belum diswastakan).

   Penswastaan Penyenggaraan Jalan Persekutuan melibatkan jalan melebihi 16,000 km dan mula berkuat kuasa pada tahun 2001. Bahagian Kawalselia Penyenggaraan diberi tanggungjawab mengawal selia kedua-dua program penswastaan ini.

3) PENYERTAAN USAHAWAN BUMIPUTERA DI DALAM INDUSTRI PEMBINAAN

Bagi melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, Bahagian Pembangunan Bumiputera dipertanggungjawab untuk merangka dan menjalankan pendaftaran usahawan binaan Bumiputera, merangka dasar berkaitan yang bersesuaian untuk pembangunan usahawan Bumiputera, memberi bimbingan dan khidmat nasihat, menyalurkan bantuan wang pendahuluan melalui Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor-Kontraktor (SKWAK), mewujudkan rangkaian niaga vendor/pembekal industri binaan bumiputera dan memantau prestasi kerja Usahawan Binaan Bumiputera.

Rajah di bawah menunjukkan kerangka putaran perkhidmatan teras KKR.