Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR)
KE ARAH KESEJAHTERAAN RAKYAT

Menteri Kanan Kerja Raya Meninjau Prestasi Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Jajaran Bintulu - Miri

Audience based content

X
Anda di sini
Tarikh dan Waktu Acara: 
Sabtu, 14 Ogos 2021 - 9:00am
Sumber: 

Menteri Kanan Kerja Raya Meninjau Prestasi Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Jajaran Bintulu - Miri

MIRI, SARAWAK, 14 OGOS 2021 - Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof hari ini turun padang untuk memantau prestasi pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak Pakej Kerja (Work Package Contract – WPC) 10 dan 11 di Bintulu dan Miri.

Menurut Dato’ Sri Fadillah, selain meneliti prestasi kemajuan kerja WPC10 iaitu jajaran Mile 5 ke Sungai Tangap dan jajaran WPC11 dari Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link, tinjauan berkenaan juga bertujuan mendapatkan maklumbalas berhubung kekangan dan langkah penambahbaikan yang sedang diambil dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang turut terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi dan perlu diatasi Kementerian dan pelaksana projek adalah memastikan projek terus berjalan dalam tempoh pandemik ini dengan mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama meminimumkan risiko penularan Covid-19.

Ini kerana, impak penularan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek serta kenaikan kos bahan binaan. Ia juga memberi kesan kepada isu tenaga pekerja yang semakin berkurangan susulan hanya 60 peratus pekerja dibenarkan di tapak pembinaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1, serta 80 peratus untuk Fasa 2 dan Fasa 3 PPN. Pada masa sama pihak pemaju projek juga berdepan kesukaran mendapatkan pekerja ketika pandemik. Di samping itu, mereka juga berdepan cabaran pematuhan SOP PKP yang berbeza di lokaliti setiap Bahagian di Sarawak yang dirangka khusus berdasarkan status terkini penularan wabak di setiap kawasan.

Dato’ Sri Fadillah berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan peruntukan projek infrastruktur utama negara ini mencukupi selain berkerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan peningkatan kapasiti rantaian bekalan yang terlibat. Dengan Sarawak seperti diumumkan YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mampu mencapai imuniti kelompok antara pertengahan Ogos atau September 2021 berdasarkan pencapaian setakat ini dan jangkaan semua penduduk dewasa atau 80 peratus penduduk Malaysia bakal mendapat dos lengkap vaksin menjelang akhir Oktober 2021, ianya memberikan sinar untuk SOP PPN membenarkan kapasiti 100% bagi mana-mana kerja pembinaan yang dinyatakan dalam Akta 520 dan perkhidmatan profesional yang terlibat dengan industri pembinaan untuk beroperasi.

Menurut beliau, pelbagai plan mitigasi dan tindakan susulan berterusan sedang dilaksanakan di bawah seliaan JKR Sarawak selaku Pegawai Penguasa Projek dengan bantuan Project Management Consultant (PMC). Antaranya seperti penjadualan semula kerja pembinaan susulan perubahan model pelaksanaan daripada PDP kepada konvensional pada Februari 2020 serta meminimumkan kesan penularan Covid-19 terhadap prestasi pelaksanaan projek berpandukan SOP Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pelbagai inisiatif libat urus bersama penduduk sepanjang jajaran LPB turut dilaksanakan. Beberapa siri advokasi keselamatan jalan raya seperti taklimat kesalahan membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan telah diadakan bertujuan memberi kesedaran akan bahaya dan risiko kemalangan yang mungkin berlaku. Setiap kontraktor Pakej Kerja juga menubuhkan Pasukan Ronda yang bertindak sekiranya terdapat aduan daripada pengguna LPB. JKR Sarawak turut membuka akaun media sosial Facebook bagi memudahkan pengguna menyalurkan aduan berhubung LPB.

Sementara itu, status pelaksanaan Projek LPB Sarawak setakat ini sudah 69.60% siap. Walaupun berdasarkan kontrak tarikh siap sepenuhnya disasarkan September 2022, namun atas kekangan dinyatakan di atas iaitu kesan PKP, masalah rantaian bekalan dan kenaikan kos bahan binaan, isu kekurangan pekerja demi mematuhi SOP PPN, kesukaran mendapatkan tenaga kerja dan cabaran pematuhan PKP yang berbeza di lokaliti setiap Bahagian di Sarawak yang dirangka khusus berdasarkan status terkini penularan wabak di setiap kawasan, kelewatan penyiapan projek sememangnya tidak akan dapat dielakkan.

Dato’ Sri Fadillah berkata, disebabkan itulah beliau sendiri turun padang hari ini untuk meninjau keadaan di tapak dan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, kontraktor dan pelaksana projek untuk mengenalpasti pendekatan terbaik bagi menangani isu-isu berkenaan seterusnya memastikan projek LPB Sarawak dapat disiapkan seawal mungkin.

Apabila siap nanti rakyat Sarawak khususnya bakal menikmati jaringan jalan raya yang lebih selesa dan efisien serta peluang untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di sektor pembinaan.

Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) dan pembangunan kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi khususnya pusat-pusat komersial dan perindustrian di sepanjang jajaran LPB Sarawak.

Tags: 
#kkr #jkr #cidb #llm #lpb #score #ppn #panborneo #miri #sarawak #infrarakyat #infrastruktur
Kementerian Kerja Raya Malaysia