Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR)
KE ARAH KESEJAHTERAAN RAKYAT

Tinjauan Kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah: Pakej Kerja Bongawan-Papar

Audience based content

X
Anda di sini
Tarikh dan Waktu Acara: 
Khamis, 8 April 2021 - 9:00am
Sumber: 

Tinjauan Kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah: Pakej Kerja Bongawan-Papar

PAPAR, SABAH, 8 APRIL 2021 - YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya melakukan tinjauan kerja bagi Pakej Kerja Bongawan-Papar (WP 04) yang merupakan sebahagian daripada sebelas (11) Pakej Kerja jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPB Sabah). Pakej Kerja ini kini sedang giat dilaksanakan oleh JKR Sabah sebagai Pegawai Penguasa, susulan penamatan Rakan Pelaksana Projek pada 22 September 2019.

Pakej Kerja berkenaan melibatkan kerja-kerja naiktaraf jalan sedia ada kepada dua lorong sehala (two-lane single carriageway) piawaian Arahan Teknik Jalan JKR (R5) bermula daripada Bongawan ke Simpang Benoni, Papar sepanjang 22.6 kilometer (km). Sehingga Mac 2021, status kemajuan pelaksanaan jajaran Bongawan-Papar adalah 46.56%. Penaiktarafan jajaran tersebut akan menambahbaik akses jalan raya yang menghubungkan Bongawan dan beberapa bandar lain di daerah Papar khususnya Kimanis.

Pembinaan jajaran Bongawan-Papar akan menyumbang kepada jaringan infrastruktur jalanraya yang efisien terutamanya kepada komuniti di daerah Papar dan kawasan sekitarnya. Disamping itu, pembinaan jajaran Bongawan-Papar turut menyumbang kepada kewujudan peluang pekerjaan serta pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi terutamanya industri eko-pelancongan di kawasan Bongawan, Kimanis dan Papar.

Ke arah menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya yang efisien, komitmen turut diberikan kepada pelaksanaan tiga (3) pakej kerja baharu dan satu (1) pakej kerja LPB Sabah melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna yang telah ditamatkan kontrak sebelum ini dan kini sedang ditender serta dijangka akan dimuktamadkan pada tahun ini.

Selain itu satu lagi pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru dengan kos sebanyak RM513 juta pula telah diluluskan dalam RMKe-12 dan dijangka akan mula dilaksanakan pada suku ketiga 2021. Ini menjadikan keseluruhan 16 Pakej Kerja diteruskan pelaksanaannya pada masa ini.

Secara keseluruhan, status kemajuan pembinaan bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sehingga Mac 2021 bagi 11 pakej kerja yang telah dimulakan adalah 49%. Bagi menambahbaik kaedah konvensional sedia ada, pelantikan Project Management Consultant (PMC), Independent Consultant Engineer (ICE) dan Perunding Sistem Teknologi Maklumat (ICT) akan turut dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Tags: 
#kkr #jkr #cidb #llm #panborneosabah #lpbsabah #wp04 #papar #sabah #infrarakyat #infrastruktur
Kementerian Kerja Raya Malaysia