Majlis Pelancaran Program Pembangunan Kontraktor Penyenggaraan (PPKP) 2021
KUALA LUMPUR, 30 MAC 2021 – Program Pembangunan Kontraktor Penyenggaraan (PPKP) 2021 yang dilancarkan Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, hari ini bakal memanfaatkan 563 kontraktor kecil kontraktor G1 hingga G4 seluruh negara.
Sebanyak 336 kontraktor kecil di Semenanjung dan 227 kontraktor kecil di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bakal menerima peruntukan belanja tambahan berjumlah RM200 juta untuk penyenggaraan Jalan Persekutuan di bawah kerja penyenggaraan kecil.
Empat (4) konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan di Semenanjung bakal menerima RM100 juta untuk diagihkan manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula menerima baki RM100 juta untuk diagihkan menerusi dua konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan.
Jawatankuasa Bebas dianggotai oleh JKR, wakil Kerajaan dan wakil Konsesi akan melakukan penilaian bagi proses pemilihan berdasarkan kepada kategori pendaftaran CIDB, keupayaan, kerja sedia ada, lokaliti dan skor bintang oleh CIDB.
Jawatankuasa pelantikan seterusnya akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi mengikut zon dan daerah yang ditetapkan termasuk mengeluarkan Arahan Kerja (AK) berdasarkan skop kontrak yang telah diluluskan.
Agihan kerja ini berdasarkan kepada dua (2) jenis kerja di bawah konsesi penyenggaraan iaitu Kerja berkala pavemen sebanyak 70% yang terdiri daripada kerja premix overlaying, premix mill and pave dan re-construction works. Kerja berkala bukan pavemen pula, sebanyak 30% diperuntukkan untuk kerja memasang perabot jalan, membaiki longkang dan kerja – kerja lain yang berkaitan.
Penilaian prestasi kontraktor akan dinilai dari semasa ke semasa bagi melihat keupayaan mereka melaksanakan projek yang berkaitan. KKR mengharapkan agar kontraktor ini dapat berfungsi dan berdaya maju dengan bimbingan oleh syarikat konsesi dan JKR apabila program ini tamat.
- 21 bacaan