Projek Kompleks Mahkamah Syariah Pahang Sudah 93 Peratus Siap
KUANTAN, PAHANG, 21 FEBRUARI 2021– Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof hari ini meninjau kemajuan Projek Pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang dan turut memeriksa sendiri pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tapak projek.
Tinjauan kemajuan projek mendapati projek berkenaan setakat ini sudah 93 peratus siap iaitu menepati sasaran, dengan pihak kontraktor terlibat juga mematuhi SOP ditetapkan.
Projek bangunan milik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia itu dibina dengan kos kontrak berjumlah RM35,475,000.40 dan terletak di Bandar Indera Mahkota, Mukim Kuala, Kuantan, Pahang, bersebelahan bangunan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Projek di atas tanah berkeluasan 2 hektar ini dilaksanakan secara tender terbuka dan dilaksanakan oleh kontraktor Uritec Team (M) Sdn. Bhd. Ia dijangka siap pada April 2021 setelah mengambilkira tempoh lanjutan masa akibat pandemik Covid-19 yang melanda Negara.
Skop kerja projek ini merangkumi pembinaan 3 Dewan Bicara Mahkamah Rendah, 2 Dewan Bicara Mahkamah Tinggi, 1 Dewan Bicara Mahkamah Rayuan, lima wakaf, pondok pengawal, rumah sampah, pencawang TNB, 168 petak letak kereta dan 30 petak motorsikal. Selain itu, turut dibina ialah surau, kafeteria, nurseri dan bilik servis, ruang pentadbiran seperti pejabat ketua hakim syarie, bilik mesyuarat utama, bahagian rekod dan pusat sumber.
- 6 bacaan