Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR)
KE ARAH KESEJAHTERAAN RAKYAT

Tinjauan Lokasi Bencana Jalan Persekutuan Di Negeri Pahang

Audience based content

X
Integriti@KKR

Informasi

Jika anda mempunyai sebarang aduan berkaitan rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa serta perlanggaran tatakelakuan dan integriti yang melibatkan kakitangan di Kementerian ini, salurkan aduan tersebut di sini.

Alamat:

Pengarah Unit Integriti,
Unit Integriti,
Kementerian Kerja Raya,
Tingkat 13, Blok B, Kompleks Kerja Raya,
Jalan Sultan Salahuddin,
50580 Kuala Lumpur

No. Tel: 03-27715501
Faks: 03-27111014
Email: ui@kkr.gov.my

Kontraktor/Usahawan
Orang Awam
Syarikat Konsesi
Warga KKR
Eksa
Anda di sini
Tarikh dan Waktu Acara: 
Isnin, 4 Januari 2021 - 9:00am
Sumber: 

Tinjauan Lokasi Bencana Jalan Persekutuan Di Negeri Pahang

PAHANG, 4 JANUARI 2021 – Bagi meninjau kesan banjir dan musim tengkujuh terhadap struktur jalan raya persekutuan di Negeri Pahang, Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof telah mengadakan lawatan kerja ke lokasi-lokasi bencana pada 4 hingga 6 Januari 2021.

Lokasi pertama tinjauan adalah di KM84.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), antara persimpangan Lanchang dan persimpangan Karak. Kawasan ini dilimpahi air daripada Sungai Sertik sejak 3 Januari 2021. Air masih memenuhi lebuhraya sepanjang 170 meter dengan kedalaman 2 kaki. Sesi taklimat telah disampaikan oleh pegawai daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Lawatan hari kedua dimulakan di kejadian hakisan ‘road embankment’ di dua lokasi KM 63 dan KM 73, Jalan Persekutuan FT12, Daerah Pekan, Pahang yang dilaporkan berlaku pada 1hb Januari 2021. Kedua-dua lokasi ini berada di dalam kawasan projek ‘Menaiktaraf Laluan FT12 dari Gambang ke Segamat, Pahang. Ia berpunca daripada hujan berterusan daripada 31hb Disember 2020 hingga 1hb Januari 2021, di mana di kedua-dua lokasi tersebut telah berlaku limpahan air dari struktur pembentung ke permukaan pavemen jalan.

Pihak JKR bersama kontraktor projek (Mulia Interlink Construction Sdn. Bhd.) telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak kejadian dan pemasangan papan tanda sementara di kawasan berkenaan. Laluan tersebut dibuka separuh untuk semua jenis kenderaan, dan kerja-kerja pembaikan kekal oleh pihak kontraktor projek telah dimulakan dan dijangka siap pada pertengahan bulan Februari 2021.

Lawatan seterusnya adalah kejadian cerun runtuh di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (FT002, Seksyen 320), Daerah Kuantan, Pahang, yang dilaporkan berlaku pada 03hb Januari 2021 (Ahad). Kejadian cerun runtuh ini berpunca daripada hujan berterusan pada 03hb Januari 2021. Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) bersama-sama syarikat konsesi penyenggaraan jalan persekutuan (Roadcare (M) Sdn. Bhd.) telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak kejadian dan pemasangan papan tanda sementara di kawasan berkenaan.

Laluan tersebut dibuka separuh untuk semua jenis kenderaan. Kerja-kerja pembaikan cerun oleh pihak Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR dijangka dimulakan pada pertengahan bulan Januari 2021 dengan anggaran kos sebanyak RM1 juta.

Lawatan pada hari ketiga bermula di lokasi jalan putus di Seksyen 3.0, Jalan Bentong – Raub (Lama), daerah Bentong yang dilaporkan berlaku pada 11.50 pagi, 3 Januari 2021. Kejadian berpunca daripada hujan berterusan di lokasi tersebut dan berlaku limpahan air dari pembentung paip bersaiz 1500mm diameter ke permukaan pavemen jalan. JKR bersama syarikat konsesi penyenggaraan jalan persekutuan (Roadcare (M) Sdn. Bhd.) telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak kejadian. Laluan tersebut dibuka kepada kenderaan ringan manakala kenderan berat, aliran trafik dialihkan ke Laluan Bentong-Gua Musang (FT008). Kerja-kerja pembaikan ‘embankment’ jalan oleh pihak Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) dijangka dimulakan pada pertengahan bulan Januari 2021 dengan anggaran kos sebanyak RM3 juta.

Lokasi terakhir adalah kawasan kejadian struktur ‘approach slab’ runtuh pada struktur jambatan Jalan Lechar Dong, Daerah Raub, Pahang, yang dilaporkan berlaku pada 3 Januari 2021, jam 6.30 petang. Jalan yang terlibat adalah jalan negeri dan dibina oleh pemaju Taman Perumahan Lechar. JKR bersama syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Negeri (YP Maintenance Sdn. Bhd.) telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan tersebut dan kerja-kerja pembinaan semula struktur ‘approach slab’ dijangka dimulakan pada awal bulan Februari 2021 dengan anggaran kos sebanyak RM700 ribu.

Tags: 
#kkr #jkr #llm #ckc #lpt1 #bencanabanjir #ft12 #pahang #misibantuan #sop #kitajagakita #infrarakyat #infrastruktur
Kementerian Kerja Raya Malaysia