Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2020 “Masa Depan Adalah Kita”.
KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER 2020 - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara Tahun 2020 (HPTN2020) yang bermula dari 5 hingga 30 Disember 2020 secara maya. HPTN 2020 telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Bin Muhammad Yassin, Perdana Menteri Malaysia pada 5 Disember 2020 juga secara maya.
Tema “Masa Depan Adalah Kita” seiring dengan aspirasi negara yang ingin memupuk kecintaan dan minat generasi muda menceburi bidang teknikal sebagai profesion pilihan. HPTN adalah platform untuk para profesion teknikal berkongsi ilmu, kepakaran dan pengalaman serta memberi pendedahan bidang teknikal kepada masyarakat umum. Sambutan ini juga adalah sebagai simbolik bagi menghargai dan mengiktiraf warga profesion teknikal atas sumbangan dalam membangunkan Negara.
Sambutan tahunan ini adalah anjuran bersama agensi-agensi di bawah KKR iaitu Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR Malaysia), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM).
Pelbagai aktiviti telah disusun sempena Sambutan HPTN 2020 seperti sesi Webinar anjuran agensi kerajaan, universiti dan badan profesional teknikal Negara, Pertandingan Lego, Pertandingan Mobile Legends, Pertandingan PUBG, Virtual Run, E-Sport, Pertandingan fotografi dan Kuiz teknikal. Sambutan HPTN turut dibantu oleh rakan strategik yang terdiri daripada beberapa Kementerian dan agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta, IPTA, IPTS dan juga selebriti popular tanahair yang turut sama mempromosikan sambutan HPTN 2020.
Sebagai memenuhi norma baharu dan SOP HPTN 2020, segala aktiviti dan maklumat sambutan telah disalurkan ke laman web rasmi www.hptn.my dan media sosial rasmi HPTN di Facebook, Twitter dan Instagram bagi meminimakan aktiviti fizikal.
- 9 bacaan