Langkau ke kandungan utama
1

Mekanisme Mewajibkan Penggunaan Kaedah Industrialised Building System (IBS) dalam Industri Pembinaan

KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER 2017 : Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil inisiatif bersepadu dalam merancakkan lagi penggunaan IBS di sektor swasta dengan tujuan bagi memastikan kaedah IBS digunapakai secara holistik di industri pembinaan negara demi untuk menjayakan dasar pembangunan kerajaan yang dekat dengan rakyat. YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, dalam ucaptama di sesi townhall ini menegaskan industri pembinaan negara perlu melonjak ke satu tahap yang baru bagi memastikan IBS digunapakai secara meluas kerana impaknya yang tigggi kepada rakyat. Sesi townhall dengan tajuk Mekanisme Mewajibkan Penggunaan Kaedah IBS Dalam Industri Pembinaan yang diadakan ini adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak sebagai panduan sebelum Kerajaan menerusi penguatkuasaan undang-undang mewajibkan penggunaan IBS dalam projek pembinaan swasta. Melalui kaedah IBS ialah dilihat oleh kerajaan sebagai inisiatif untuk memantapkan industri pembinaan di Malaysia. Melalui penggunaan IBS dapat mengurangkan tempoh pembinaan berbanding dengan kaedah konvensional.

Ia juga dapat menambahbaik kualiti pembinaan, menyumbang kepada produktiviti pembinaan dan juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja tidak mahir. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan penerapan kaedah moden, mekanisasi dan teknologi. Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-71 pada 10 Julai 2017 bersetuju dengan cadangan mewajibkan pelaksanaan IBS bagi projek pembinaan dalam sektor swasta yang bernilai RM50 juta dan ke atas melalui penetapan sebagai syarat dalam permohonan Kelulusan Pelan Bangunan dan Pelan Struktur di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pengemukaan Pelan Bangunan dan Pelan Struktur berkait rapat dengan rekabentuk bangunan yang melibatkan skor IBS. Untuk memenuhi 50 skor IBS maka adalah sesuai dilaksanakan di peringkat ini di mana komponen-komponen IBS telah dikenalpasti. Ini memerlukan pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) bagi proses pengemukaan pelan bangunan.

Pihak Berkuasa Negeri (PBN) perlu mewartakan syarat ini dalam Pelan Bangunan dan Pelan Struktur untuk dikuatkuasakan oleh semua PBT. Selain daripada meminda UKBS 1984 untuk Kelulusan Pelan Bangunan, pindaan untuk memasukkan elemen kordinasi modular ke dalam UKBS 1984 juga akan dilaksanakan. Kordinasi modular (MC) adalah satu kaedah yang menentukan saiz yang seragam ke atas komponen IBS yang dihasilkan seterusnya mewujudkan amalan sistem terbuka. Sistem terbuka ini dapat mengurangkan kos penghasilan komponen IBS di kilang dan seterusnya menyumbang kepada penghasilan komponen berskala besar. Semenjak tahun 2008, penggunaan kaedah IBS dalam projek pembinaan Kerajaan yang bernilai RM10 juta dan ke atas telah diwajibkan. Sehubungan itu, Kerajaan berhasrat untuk memperluas penggunaan kaedah IBS dalam industri pembinaan bagi sektor swasta yang telah merekodkan projek pembinaan sebanyak 72% (4,851 projek) daripada jumlah keseluruhan projek pembinaan di Malaysia yang bernilai RM176.3 bilion pada tahun 2016.

Merujuk kepada stastistik pembinaan, projek perumahan menyumbang kepada 30% (RM38.1 bilion) daripada keseluruhan projek pembinaan di Malaysia pada tahun 2016. Sekiranya penggunaan IBS dikuatkuasakan bagi projek perumahan, ianya mampu untuk meluaskan penggunaan IBS. Dengan pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) yang mewajibkan pemaju memperolehi Permit Pengiklanan dan Lesen Pemajuan melaksanakan projek perumahan secara kaedah IBS maka penggunaan IBS dalam sektor swasta dapat dipertingkatkan.

Tarikh Dan Waktu Acara