Langkau ke kandungan utama

Projek Lebuh Raya Pan Borneo : Penduduk Sabah Digesa Ambil Peluang Tingkat Sosio-Ekonomi

SABAH, 12 November 2017: Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman menggesa agar penduduk Sabah mengambil peluang terhadap pembangunan berimpak tinggi seperti projek Lebuhraya Pan Borneo bagi meningkatkan sosio-ekonomi masing-masing. Katanya, proses pembinaan infrastruktur berskala besar ini sudah pasti akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah samada pekerja mahir, kontraktor, mahupun pembekal-pembekal bahan pembinaan di seluruh negeri Sabah.

Ini belum termasuk impak ekonomi terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) di sepanjang jajaran projek itu kelak. Mengambil contoh Projek Lebuhraya Utara Selatan di Semenanjung, lebuhraya Pan Borneo semestinya akan menyambungkan kampung-kampung yang dahulunya terpencil disamping meningkatkan tahap ekonomi bandar-bandar kecil di sekitarnya. Pada masa sama, beliau juga menggesa agar ibubapa memberi galakkan kepada anak-anak untuk mendapatkan latihan kemahiran dalam industri pembinaan melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang turut membuka cawangannya di Sabah.

Menurutnya, hasil testimoni kejayaan alumni ABM yang memperolehi sijil tamat latihan ABM serta sijil perakuan kemahiran CIDB secara percuma, mereka bukan sahaja dapat menceburkan diri sebagai pekerja mahir binaan di syarikat-syarikat besar malah ada di antara mereka yang berjaya menjadi usahawan berpendapatan tinggi hanya berbekalkan kemahiran yang telah dipelajari.

Beliau berkata ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan Kontraktor dan Perasmian Pejabat CIDB Cawangan Sandakan serta Penyerahan Projek Build Brigade di Dewan Sri Libaran, Sandakan, Sabah yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Binti Haji Abdul Rashid Shirlin, Ketua Eksekutif CIDB, Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Presiden Majlis Perbandaran Sabah (MPS), Datuk Ir. James Wong. Seminar tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pengggiat-penggiat industri di Sandakan mengenai peluang latihan kemahiran dan akreditasi yang disediakan oleh ABM Sabah selain memberi pendedahan lengkap mengenai urusan perlesenan dengan MPS serta proses pendaftaran kontraktor dengan CIDB.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof meminta agar penduduk setempat mengambil peluang menyahut seruan transformasi kerajaan dengan meningkatkan kapabiliti dan kapasiti masing-masing sebagaimana yang digariskan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP). Tambahan lagi, kita perlu memandang kehadapan dan mempelajari kaedah-kaedah pembinaan moden seperti Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling atau BIM yang mampu meningkatkan produktiviti kita ke tahap yang lebih tinggi. Teks ucapan aluan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Binti Haji Abdul Rashid Shirlin.

Pejabat CIDB Cawangan Sandakan telah beroperasi pada 25 April 2016 di Bandar Megah Jaya, Batu 7, Jalan Lintas Labuk, Sandakan dengan kekuatan kakitangan seramai 14 orang bagi menjalankan kerja-kerja pendaftaran kontraktor dan personel binaan, penguatkuasaan dan levi, tuntutan takaful serta pembangunan industri dan latihan. Sejak pembukaan cawangan ke 18 (14 pejabat negeri dan 4 pejabat zon) ini, dianggarkan seramai 122 orang telah datang berurusan ke cawangan ini yang kebanyakkannya dari zon tenggara meliputi daerah Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Tongod. Antara projek besar yang kini dalam pembinaan di kawasan liputan cawangan Sandakan adalah, Projek Lebuhraya Pan Borneo, kerja-kerja menaiktaraf Jalan dari Kg. Lot M ke Sandakan batu 32, Projek Pembahagian - PPU Bukit Nenas Sandakan, Projek Prima @ Borneo Cove dan Prima @ SCC.

Tarikh Dan Waktu Acara