ALOR SETAR 16 Julai - Sebanyak 204 kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan bernilai RM37.36 juta diagihkan menerusi sistem cabutan undi kepada kontraktor kelas D, E dan F di seluruh Semenanjung hari ini. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 19 kerja ditawarkan kepada kontraktor kelas D dan 22 kerja kepada pemegang lesen kelas E melalui sistem yang pertama kali dilaksanakan ke atas mereka manakala kontraktor kelas F sebanyak 163 kerja.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, pelaksanaan sistem cabutan undi itu dilakukan berikutan keputusan kerajaan menawarkan kerja-kerja kecil Persekutuan kepada kontraktor kecil bagi memberi peluang kepada mereka menguruskan projek berkenaan. Beliau berkata, kebanyakan kerja yang ditawarkan itu boleh dilaksanakan oleh syarikat kecil iaitu kelas D, E dan F, yang sebelum ini sama ada ditender atau dianugerahkan terus kepada syarikat konsesi.
"Setelah mendapat banyak permintaan daripada kontraktor kecil dari seluruh negara termasuk Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan proses pengundian untuk ketiga-tiga kelas kontraktor itu. "Ia tertakluk pada jadual kadar harga yang telah ditentukan dan tidak melibatkan penambahan kos kepada kerja ditawarkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses cabutan undi kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan bagi negeri ini di Bangunan Persekutuan Alor Setar, di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 37 kontraktor kelas D dan 96 kelas E hadir mencabut undi bagi pelaksanaan enam kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan bernilai kira-kira RM4 juta.
Shaziman berharap kontraktor yang terpilih dapat melaksanakan kerja yang diberikan itu dengan sebaik mungkin supaya sistem cabutan undi tersebut dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Ini kerana, kata beliau, jika berlaku kekurangan dari segi kualiti kerja yang dilaksanakan maka kerajaan perlu mempertimbangkannya pada masa akan datang, sekali gus boleh mengurangkan peluang kepada kontraktor lain.



Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kerja Raya, Tingkat 6, Blok B Kompleks Kerja Raya,Jalan Sultan Salahuddin, 50580 Kuala Lumpur
Telefon: 03 8000 8000 | Faks: (603) - 2711 1101
E-mel: pro@kkr.gov.my | GPS Koordinat: N03.15475 E101.68833
Email: pro@kkr.gov.my | GPS Koordinat: N03.15475 E101.68833
Peta Lokasi KKR
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Terakhir dikemas kini: Fri, 17/05/2013 - 9:34pm
Hakcipta terpelihara © 2013 Kementerian Kerja Raya Malaysia
Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Explorer 7.0 atau Mozilla Firefox dengan resolusi skrin 1280 x 800
PENAFIAN: Kementerian Kerja Raya Malaysia tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.