Jalan laluan Persekutuan 01 dari arah Kuala Lumpur ke Rawang telah ditutup kepada semua kenderaan di kedua-dua arah mulai jam 6.30 pagi tadi kerana kejadian tanah runtuh di kilometer 17 (selepas persimpangan Bandar Baru Selayang).
Kerja-kerja pembersihan dan pembuangan tanah sedang giat dijalankan. Dijangka pembukaan semula laluan ini akan dibuat sebelum jam 7.00 pagi pada 4hb November 2009 (Rabu). Hanya satu lorong sahaja yang akan dibuka untuk laluan di kedua-dua arah.
Kepada pengguna jalan raya yang menuju ke Utara dinasihatkan terus menggunakan Lebuhraya Utara Selatan melalui Tol Sungai Buloh untuk ke Rawang atau menggunakan laluan Jalan Negeri B57 Batu Caves ke Ulu Yam (Batang Kali).
Bagi pengguna yang menuju ke Selatan dinasihatkan juga supaya menggunakan Lebuhraya Utara Selatan atau masuk ke Lebuhraya di Tol Rawang. Selain daripada itu, pengguna jalan raya juga boleh menggunakan laluan Jalan Ulu Yam – Batu Caves di Batang Kali (Jalan Negeri B23).
Bahagian Komunikasi Korporat
Jabatan Kerja Raya Malaysia
3 November 2009
- 6272 bacaan