Langkau ke kandungan utama

Setakat ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan berkenaan bayaran pampasan sebanyak RM380 juta kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan pada tahun depan, kata Datuk Seri Najib Tun  Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini belum tiba masanya untuk kerajaan membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

"Kita akan mengambil pandangan dari semua pihak," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kompeni Askar Wataniah Parlimen Johor yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal di Dataran Bandar raya di sini, semalam.

Najib mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu semalam bahawa kerajaan terpaksa membayar RM380 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan tahun depan.

Menurutnya, sebanyak lapan buah syarikat konsesi lebuh raya di jadual menaikkan kadar tol masing-masing pada 1 Januari, sementara sebuah lagi syarikat pada 1 Oktober 2008.

Pampasan sebanyak RM75 juta telah diberikan kepada pengendali lebuh raya, LITRAK di Kuala Lumpur berikutan keputusan mengurangkan kadar tol lebuh raya berkenaan daripada RM2.20 kepada RM1.60 sebagaimana yang diluluskan pada tahun ini.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, soal sama ada kadar tol akan dinaikkan mulai 1 Januari depan akan dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri minggu depan.

Katanya, kertas cadangan mengenainya telah di kemukakan kepada anggota kabinet untuk diteliti minggu ini.

Projek-projek konsesi yang terlibat dalam isu kenaikan tol ialah Lebuh raya bertingkat Ampang (RM28 juta), Lebuh raya Elite(RM18 juta),  Lebuh raya Utara-Selatan termasuk rangkaian Seremban-Port Dickson (RM178juta), Kulim-Butterworth Expressway (RM10 juta) Linkedua ke Singapura (RM6 juta), Lebuh raya Barat Kuala Lumpur (RM34 juta), New Klang Valley Expressway (RM9 juta) dan Jambatan Pulau Pinang (RM22 juta).

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian