Langkau ke kandungan utama
0

Menu Rahmah Di Lebih 100 Gerai Makanan R&R PLUS Bermula 23 Februari 2023

PETALING JAYA, 27 FEBRUARI 2023:- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mensasarkan lebih daripada 100 gerai makanan yang beroperasi di kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang 1,130 kilometer rangkaian lebuh rayanya menawarkan Menu Rahmah menjelang pertengahan Mac ini. Langkah ini bagi menyahut saranan Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta sokongan terhadap inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Fasa Pertama Menu Rahmah untuk pengguna lebuh raya yang berhenti rehat di R&R PLUS telah mula ditawarkan sejak 23 Februari 2023 di beberapa R&R serta Hentian Sebelah di Wilayah Tengah di Lebuhraya PLUS.

Di R&R PLUS, Menu Rahmah ditawarkan untuk hidangan makan tengah hari (antara 12 tengah hari hingga 2 petang) dan makan malam (antara 7 malam hingga 9 malam) di gerai-gerai terpilih yang mengambil bahagian. Sebagai permulaan, sebanyak 8 buah R&R dan 6 Hentian Sebelah telah mula menawarkan Menu Rahmah kepada pengguna lebuh raya iaitu  R&R Tapah (Arah Utara & Selatan), R&R Ulu Bernam (Arah Selatan), R&R Rawang (Arah Utara), Restoran Jejantas Sungai Buloh, R&R Seremban (Arah Utara), R&R Dengkil (Arah Utara & Selatan), Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Utara & Selatan), Hentian Sebelah Serdang (Arah Utara & Selatan) dan Hentian Sebelah Nilai (Arah Utara & Selatan).

Fasa Kedua yang melibatkan R&R dan Hentian Sebelah di Wilayah Utara dijangka akan dilaksanakan sebelum 2 Mac, manakala Fasa Ketiga yang melibatkan Wilayah Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pula dijadual dilaksanakan sebelum 9 Mac.

Menteri Kerja Raya bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Salahuddin Ayub telah turun padang untuk mengadakan tinjauan pelaksanaan Menu Rahmah di R&R Dengkil (Arah Selatan), hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Hassan, Ahli Lembaga Pengarah PLUS dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Dato’ Mohd Izani Ghani serta Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita