Langkau ke kandungan utama
0

Kolaborasi TNB Dan PLUS Sedia 18 Kemudahan Pengecas Kenderaan Elektrik TNB Electron Di 9 R&R Sepanjang Lebuh Raya

AYER KEROH, MELAKA, 16 FEBRUARI 2023 – Pemilik kenderaan elektrik yang menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menikmati perjalanan yang lebih selesa apabila 18 kemudahan pengecas TNB Electron disediakan kepada mereka menjelang hujung tahun ini, hasil kolaborasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan PLUS dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Majlis pelancaran operasi kemudahan pengecas kenderaan elektrik TNB Electron pertama di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh (Arah Utara) di Lebuhraya PLUS telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raja, Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Hassan; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Indera Ir. Baharin Din, Ahli Lembaga Pengarah PLUS dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Dato’ Mohd Izani Ghani.

Pada ketika ini, kemudahan pengecas TNB Electron disediakan di 3 buah R&R iaitu Ayer Keroh (Arah Utara), Tapah (Arah Utara) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Paka (Arah Utara) di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Enam lagi TNB Electron sedang dibangunkan di R&R Machap (Arah Selatan), Rawang (Arah Utara), Gunung Semanggol (Arah Selatan), Gurun (Arah Utara dan Selatan) dan Paka (Arah Selatan) yang dijangka siap pada tahun ini.

Kolaborasi TNB dan PLUS ini adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju negara neutral karbon. Penggunaan tenaga elektrik di 9 TNB Electron itu yang dianggarkan sebanyak 99,000 kWh elektrik sepanjang tahun 2023 akan dapat menghindari pelepasan 7.2 tan metrik karbon dioksida dalam tempoh yang sama bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 8.5 ekar hutan setahun.  Agenda Peralihan Tenaga TNB menyasarkan tenaga sifar bersih pada tahun 2050 melalui pengurangan 35% intensiti pelepasan karbon menjelang 2035. 

Justeru, beberapa inisiatif turut dilaksanakan dengan tumpuan memperluaskan lagi penyelesaian kWh, kenderaan elektrik, Tenaga Boleh Baharu serta inisiatif tenaga hijau termasuk pemasangan bumbung solar dan sistem pemantauan tenaga sebagai pelengkap inisiatif Kelestarian Alam Sekitar PLUS. PLUS dan TNB akan meneruskan perbincangan berkaitan mobiliti rendah karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga dengan mengoptimumkan kos elektrik di samping menyokong sumber tenaga hijau.

Tarikh Dan Waktu Acara