Langkau ke kandungan utama
1

Hospital Tampin (Baru) Bakal Memberi Khidmat Berkualiti kepada Penduduk

TAMPIN, 7 Mac – Pembinaan Hospital Tampin (Baru) dijangka dapat memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat di daerah Tampin melalui perkhidmatan kesihatan dan rawatan khusus yang selesa selain merupakan rancangan jangka panjang selari dengan jumlah penduduk yang semakin meningkat saban hari. Hospital ini merupakan gantian kepada hospital sedia ada dan dilaksanakan melalui kaedah pelaksanaan reka dan bina.

Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Seri Shaziman Abu Mansor yang juga ahli Parlimen Tampin telah mengadakan lawatan kerja ke hospital ini bagi meninjau kemajuan fizikal projek ini bersama-sama Menteri Kesihatan, YB. Dato' Sri Liow Tiong Lai.  Menurut beliau, projek ini merupakan salah satu projek pembangunan di bawah RMK-9 dengan kos sebanyak RM139 juta.  Skop pembinaannya meliputi satu blok bangunan dua tingkat dengan 108 buah katil pesakit, tiga blok kuarters kediaman staf, satu blok kediaman asrama jururawat dan juga tempat letak kereta berjumlah 474 lot.

Program pembinaannya adalah selama 46 bulan, bermula dari 2 Mac 2009 dan dijangka dapat disiapkan pada 31 Mac 2013 serta dijangka diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 30 April 2013.  Perlaksanaan projek ini dikendalikan oleh Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor yang diberi tanggungjawab bagi pembinaan blok wad ini adalah Fajarbaru Builder Sdn. Bhd.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita