Skip to main content
1

Tinjauan Infra Terjejas Akibat Banjir Di Kelantan Oleh Menteri Kerja Raya

KOTA BHARU, 23 DISEMBER 2022 - Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan kerja Raya (JKR) bersiap siaga susulan bencana banjir buruk yang menimpa di beberapa buah negeri. Bagi meninjau keadaan infrastruktur jalan raya, cerun dan jambatan yang terjejas akibat banjir, Menteri Kerja Raya YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi beserta pengurusan tertinggi KKR dan JKR telah turun padang ke Negeri Kelantan.

Tinjauan ini bertujuan memastikan semua infrastruktur awam seperti jalan raya dan jambatan selamat digunakan, bukan sahaja oleh orang awam tetapi juga pasukan keselamatan yang ditugaskan di kawasan terjejas.

Lokasi pertama tinjauan adalah di laluan Jalan Persekutuan FT003 di Seksyen 664.00, Laluan Kota Bharu – Kuala Terengganu yang telah ditenggelami air pada 18.12.2022, Ahad, jam 1.00 petang sedalam 0.75m dan panjang kawasan yang terlibat adalah 500m. Air surut sepenuhnya pada 20.12.2022, Selasa dan laluan telah dibuka kepada semua kenderaan. Terdapat kerosakan pada permukaan jalan yang memerlukan pembaikan segera dan melibatkan anggaran kos pembaikan sebanyak RM1juta.

Seterusnya, di lokasi kedua, Jalan Persekutuan FT004 Seksyen 281.50 Machang – Jeli telah berlaku runtuhan dan hakisan tebing pada kawasan pile cap di bawah Jambatan Kusial, Tanah Merah. Kejadian mula dikesan pada 18.12.2022, Sabtu. Panjang kawasan yang terlibat adalah 7.50m (Lebar) x 30.0m (panjang) dengan kedalaman hakisan dianggarkan 5.0m. Struktur jambatan tidak terjejas dan laluan jambatan dibuka kepada pengguna.

Pemantauan rapi dan pemeriksaan secara fizikal oleh pihak JKR dan konsesi terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna. Maklumat laluan jalan raya yang terjejas akibat banjir dan bencana sentiasa dikemaskini beserta cadangan laluan alternatif yang boleh dilalui oleh pengguna dan ia dikawal selia oleh Bilik Gerakan Bencana (BiGBen), JKR Malaysia.

Orang ramai juga boleh menyalurkan aduan kepada BiGBen yang berfungsi sebagai ‘one stop centre’ bagi pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak serta runtuh, yang melibatkan jalan dibawah seliaan JKR iaitu Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh Malaysia.

BiGBen telah beroperasi pada Peringkat 3 selama 24 jam sehari. Status bencana serta cadangan laluan alternatif dilaporkan enam (6) kali sehari iaitu pada 8.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00 malam, 2.00 pagi dan 6.00 pagi. Maklumat status kejadian bencana jalan raya boleh diperolehi di portal bencana Jabatan Kerja Raya di alamat : www.bencanaalam.jkr.gov.my dan melalui laman media sosial rasmi JKR Malaysia iaitu Facebook jkr.malaysiaTwitter @IPJKR_OfficialTwitter @CSFJ_JKRInstagram kormkorpjkr, atau boleh juga menghubungi talian Hotline BiGBen 03-26107727.

 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita