Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

0

Kuala Lumpur, 26 Oktober 2023 – Telah berlangsung Sambutan Hari Psikologi KKR 2023 sempena Minggu Kesihatan Minda KKR di Bilik Tanjung, Blok A, Aras 6, Kompleks Kementerian Kerja Raya (KKR). Majlis ini merupakan anjuran Cawangan Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM). Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Mohamad. Turut hadir bersama-sama adalah Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KKR,  Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah, Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Sazali Bin Harun, Ketua Eksekutif CIDB Dato’ Sr. Mohd Zaid Zakaria, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Ybrs. Dr Abd Jalil bin Hassan dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM.

Penganjuran Hari Psikologi KKR pada tahun ini adalah antara yang terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan melibatkan 19 agensi pemberi perkhidmatan dan pameran yang akan dijalankan serentak di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid serta kolaborasi strategik KKR bersama UKM yang akan dimeterai dengan perjanjian MOU. Sambutan Hari Psikologi KKR pada tahun ini bertemakan “ATMA KEHIDUPAN” yang membawa maksud “Jiwa“ atau “Nyawa” yang merupakan asas kepada setiap kehidupan dalam mencapai kesejahteraan dan kehidupan yang baik serta positif.

“ATMA KEHIDUPAN” yang mencakupi empat elemen iaitu Kepelbagaian, Kesihatan, Kasih Sayang serta Keseimbangan merupakan komponen yang saling melengkapi dalam melahirkan penjawat awam yang sejahtera dari segi Emosi, Fizikal, Mental sekaligus boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi seterusnya produktiviti ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

Dalam majlis yang sama, YB Timbalan Menteri Kerja Raya menyampaikan Anugerah AKRAB Unggul Kerja Raya 2023 serta Lafaz Ikrar AKRAB Baharu Kerja Raya 2023. Perkhidmatan Psikologi yang berkesan akan memberi impak signifikan kepada peningkatan tahap kestabilan emosi dan motivasi warga KKR. Pelbagai aktiviti menarik semasa Sambutan Hari Psikologi KKR 2023 tadi antaranya Ceramah  Keluarga XY ; Di Manakah Kita?, Pertandingan Sudip Emas KKR, Program Derma Darah, serta Pameran Mata Wang oleh BNM.

Cawangan Pengurusan Psikologi (CPPs), BPSM seringkali menerima lawatan penanda aras bagi Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia dari pelbagai Kementerian dan Agensi Awam termasuklah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semoga dengan penganjuran Hari Psikologi ini akan dapat memperkukuh potensi diri penjawat awam di KKR dan Agensi bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI melalui pembudayaan nilai murni ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

 

0

Kuala Lumpur, 25 Oktober 2023 - Hari ini telah berlangsung sesi taklimat projek dan tinjauan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi ke Projek Setiawangsa - Pantai Expressway (SPE) atau dikenali sebagai DUKE 3.

Sesi taklimat telah berlangsung di Wisma Ekovest Bhd dan seterusnya Menteri Kerja Raya telah dibawa untuk meninjau ke 4 lokasi projek lebuh raya tersebut iaitu di:

1. Seksyen 2 – Bandar Malaysia

2. Seksyen 1 - Ramp Taman Desa

3. Seksyen 3 – Ramp SPE ke AKLEH

4. Seksyen 4 - Bangunan Fasiliti SPE

Lebuhraya SPE merupakan lebuh raya bertingkat ‘dual 3 lane carriageway’ dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 km. Jajaran lebuh raya ini terbahagi kepada 4 Seksyen iaitu Seksyen 1 (Kerinchi-Salak), Seksyen 2 (Salak-Pandan), Seksyen 3 (Pandan-Setiawangsa) dan Seksyen 4 (Setiawangsa-Taman Melati). Ianya dilengkapi dengan 7 persimpangan bertingkat dan 3 susur keluar/masuk. Ia juga merupakan lebuh raya bertingkat terpanjang di Malaysia.

Menteri Kerja Raya turun padang untuk meninjau kemajuan baki kerja pembinaan Lebuhraya SPE. Semasa sesi lawatan kerja, delegasi Kementerian telah diberikan taklimat oleh pihak syarikat berkaitan status kemajuan terkini pembinaan lebuh raya bagi Seksyen 1, 2 dan 3 sepanjang 16.3 km. Manakala Seksyen 4 sepanjang 4.4 km melibatkan jajaran dari Taman Melati ke Setiawangsa telah pun dibuka pada 21 Disember 2021 yang lalu.

Lebuh raya ini sudah 99 peratus siap, namun beberapa fasiliti seperti kemudahan tandas awam, lampu jalan yang melibatkan bekalan elektrik serta sistem kutipan tol masih dalam proses persiapan akhir. SPE dijangka akan dibuka secara rasmi kepada umum pada 1 November, 2023.

Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama-sama agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa meletakkan keutamaan dalam memberikan kemudahan infrastruktur jalan raya kepada pengguna, namun tidak akan berkompromi dengan faktor keselamatan pengguna jalan raya.

Atas dasar itu, KKR telah mengarahkan syarikat konsesi untuk memastikan setiap faktor, spesifikasi dan kemudahan di laluan ini hendaklah dipastikan lengkap dan sempurna sepenuhnya. Ini selari dengan semangat kempen MYJalan yang memfokuskan kepada keselesaan pengguna jalan raya.

Pembinaan infrastruktur ini adalah seiring dengan inisiatif KKR dan LLM untuk menyediakan infrastruktur berkelas dunia bagi penduduk Kuala Lumpur sekitarnya, malah turut membantu menyuraikan trafik dan menyediakan rangkaian ke kawasan baharu dengan lebuh raya sedia ada.

0

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2023– Axiata Arena, Bukit Jalil telah menjadi saksi solidariti lebih 15,000 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin bagi menyampaikan mesej kepada dunia dan menunjukkan solidariti terhadap Palestin.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir pada program ini bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan menekan tindakan kejam Israel. Turut hadir sama barisan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi kerajaan yang lain. Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad juga hadir sebagai tanda sokongan.

Solidariti ini merupakan terjemahan rasa dan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin yang diserang tanpa belas dan perikemanusiaan oleh tentera zionis Israel.

Program telah dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan di Palestin disusuli beberapa siri ucapan berkenaan sejarah dan perkembangan konflik yang melanda negara tersebut oleh pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan kemuncak beliau di Himpunan Malaysia Bersama Palestin telah menegaskan bahawa Malaysia sentiasa menyokong dan memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin dan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memperkuatkan perpaduan di negara ini dalam menangani krisis Palestin selain mempertahankan martabat dan kebebasan negara.

Kesemua yang hadir turut mengibarkan bendera Palestin, melaungkan takbir dan perkataan seperti "Hidup Palestin", "Bebas Palestin" pada himpunan yang bertujuan mempamerkan sokongan jitu rakyat Malaysia selain mendidik mengenai sejarah dan perkembangan konflik berkenaan.

Semoga penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin akan segera berakhir dan mendapat sokongan penuh dari seluruh negara di dunia. Usaha kerajaan Malaysia adalah untuk terus memberikan tekanan melalui saluran-saluran seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan tekadkan pemahaman dalam kalangan rakyat dengan pendirian yang dilakukan oleh kerajaan tentang isu ini.

0

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2023 – Hari ini telah berlangsung Sambutan Hari Integriti Peringkat Kementerian Kerja Raya Tahun 2023 yang diadakan di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya Malaysia. Sambutan ini telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad serta wakil dari jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Sambutan Hari Integriti Nasional yang disambut secara tahunan ini adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran di kalangan penjawat awam dan masyarakat umum tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan, dengan matlamat hala tuju bebas daripada amalan rasuah serta penyelewengan pada setiap masa dan keadaan. Lazimnya sambutan Hari Integriti diadakan pada bulan November setiap tahun tetapi KKR mengadakan majlis ini lebih awal dengan tema sambutan “Integriti Citra Malaysia Madani”.

Pada 10 November tahun lepas, KKR telah menandatangani Nota Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan untuk menjalinkan kerjasama erat berkaitan hal-hal pengoperasian, pencegahan rasuah, pendidikan anti rasuah dan perkongsian kepakaran dan aspek pengesanan jenayah rasuah, penyaluran maklumat serta latihan demi membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Menteri Kerja Raya dalam ucapannya berharap agar kerjasama bersama pihak SPRM yang telah terbina sejak tahun 2013 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan diperbaharui melalui Nota Kerjasama ini dapat dimanfaatkan sebaiknya melalui penganjuran lebih banyak aktiviti, program, serta perkongsian maklumat dan kepakaran di antara kedua-dua pihak, terutamanya dalam membantu pihak SPRM melaksanakan tugasan siasatan.

Beliau juga mengingatkan seluruh warga kerja raya, jabatan dan agensi supaya sentiasa memastikan integriti di tahap optimum dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, sama ada di peringkat ibu pejabat, negeri atau daerah hendaklah meningkatkan pemantauan tingkah laku pegawai serta kakitangan dan memainkan peranan penting dalam usaha mencegah amalan rasuah di organisasi seliaan masing-masing.

Dalam majlis sambutan ini, beliau turut merasmikan perkhidmatan 'E-Aduan Integriti' dimana perkhidmatan ini merupakan satu inovasi Unit Integriti KKR sebagai medium aduan integriti yang mudah dicapai secara atas talian berbanding medium aduan yang lain dengan tidak mewajibkan maklumat pengadu. Unit Integriti KKR juga mengalu-alukan sebarang aduan integriti untuk dilaporkan melalui medium tersebut. Produk Inovasi ini juga turut meraih tempat ketiga di dalam pertandingan Anugerah Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Peringkat KKR.

Antara pengisian lain semasa majlis ini ialah membuka reruai pameran yang disertai oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan diakhiri dengan sesi Forum Integriti yang membincangkan topik "Ku Temui Tuhan Di Penjara".

Semoga seluruh warga kerja raya, jabatan dan agensi dapat membawa KKR menuju ke arah KKR Berintegriti dan Bebas Rasuah dengan membudayakan konsep pencegahan, memelihara integriti ketika melaksanakan tugas atau tanggungjawab serta bersikap tegas menolak amalan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pada setiap masa, dan tempat.

0

Kuala Lumpur, 18 Oktober 2023 - Hari ini telah berlangsung Majlis Pra Pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN 2023) yang telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBhg. Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBrs. Ir Sazali Harun serta Pengerusi Hari Profesion Teknikal Negara, YBhg. Dato' Ir Haji Badiozaman Ab Khalik.

HPTN merupakan sambutan tahunan anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi di bawahnya iaitu Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinan Malaysia (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta badan profesional di bawah KKR iaitu Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia.

Sambutan HPTN ini adalah simbolik penghargaan kepada jasa warga teknikal atas sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur dan landskap pembangunan dan permodenan negara yang meliputi pelbagai bidang teknikal antaranya kejuruteraan, astronomi, sains, teknologi, pembinaan, senibina, ukur dan sebagainya.

“Profesion Teknikal Pemacu Pembangunan Malaysia MADANI” adalah tema bagi HPTN tahun ini. HPTN diharap akan terus menjadi pemacu bukan sahaja dalam mengiktiraf profesion teknikal, malah menjadi ’catalyst’ dalam memperjuangkan pembukaan lebih banyak peluang profesion teknikal di dalam negara.

Sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan Malaysia MADANI, HPTN turut menjadi platform untuk memupuk minat generasi muda menceburi profesion teknikal sebagai pilihan kerjaya.

Sambutan kemuncak HPTN 2023 akan berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada
4 Disember sehingga 5 Disember 2023 (Isnin-Selasa). YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bakal menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara yang dijadualkan pada 4 Disember 2023 (Isnin) bertempat di Dewan Damar Sari, Putrajaya.

Pelbagai aktiviti menarik, pameran ilmiah dan peluang kerjaya turut didedahkan kepada semua peringkat umur sepanjang program ini berlangsung. Antara aktiviti yang akan diadakan adalah webinar, Program CSR, BIM Day, Car Free Day, Anugerah Tokoh Teknikal dan pameran kerjaya serta pelbagai aktiviti lain yang akan diumumkan dan dipromosikan di laman web sehingga ke hari kemuncak HPTN pada Disember nanti.

Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan HPTN 2023, orang ramai boleh melayari dan mendaftarkan diri di laman sesawang rasmi iaitu https://hptn-my.com/. Pelbagai maklumat terperinci mengenai sambutan ini boleh didapati melalui laman web tersebut. Pelbagai pengisian menarik disediakan dan orang ramai adalah dijemput untuk menyertai Sambutan HPTN 2023.

0

Behrang, Perak, 17 Oktober 2023 - Pagi ini telah berlangsung Majlis Pelancaran Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik Modular Mudah Alih di Lebuhraya PLUS bertempat di Hentian Sebelah Behrang Arah Utara yang telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Turut hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengarah Urusan UEM Group Berhad dan Ahli Lembaga PLUS, Dato’ Mohd Izani Ghani, Pengerusi PLUS, Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli dan Pengarah Urusan, EV Connection, Ir Lee Yuen How.

Kementerian Kerja Raya mensasarkan pembangunan 20 poin pengecas pantas untuk dilaksanakan dalam tahun 2023. Pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik yang komprehensif adalah penting untuk menjadi pemangkin penerimaan kenderaan elektrik yang lebih meluas, menjadikan e-mobiliti lebih mudah dan menyediakan kemudahan nilai tambah untuk pengalaman yang lebih baik bagi pengguna EV di lebuh raya secara amnya.

Selain daripada 20 poin pengecasan kekal, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah meluluskan projek rintis pengecas bersepadu yang dilengkapi dengan Sistem Simpanan Kuasa Bateri (BESS) serta penggunaan tenaga solar di empat tapak Lebuhraya PLUS melibatkan 16 poin pengecas pantas BESS untuk disiapkan dalam tahun 2023.

Empat tapak yang akan menggunakan BESS dan beroperasi pada 2023 adalah di Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Perak serta Hentian Sebelah Senawang (Arah Utara dan Arah Selatan) di Negeri Sembilan. Setiap tapak akan mempunyai kapasiti pengecasan DC 300kW yang menyediakan empat poin pengecasan.

Penilaian keberkesanan ke atas pengecas bersepadu yang dilengkapi dengan BESS serta penggunaan tenaga solar di 4 lokasi rintis ini akan diteliti sebelum perlaksanaannya diperluaskan lagi pada tahun 2024 di tiga tapak tambahan iaitu R&R Ajil (Arah Utara dan Selatan) dan Perasing, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

KKR komited untuk mencapai matlamat kelestarian Malaysia dan percaya kolaborasi antara KKR, LLM, PLUS Berhad, Gentari Sdn Bhd dan EV Connection Sdn Bhd akan memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menyokong penyelesaian pengangkutan rendah karbon, selari dengan objektif yang terkandung dalam Pelan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Pelan Hala Tuju Teknologi Hijau Malaysia (GTMP) dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB).

Sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI menuju negara neutral karbon, membangunkan infrastruktur pengecas pantas kenderaan elektrik (DCFC) di rangkaian lebuh raya utama negara, merupakan antara inisiatif yang giat diteroka oleh KKR.

0

Kuala Lumpur, 14 Oktober 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama-sama Ketua Setiausaha Negara YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) serta YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool Ketua Pengarah Kerja Raya (JKR) telah melakukan tinjauan kerja di sebuah lokasi rentetan aduan jalan berlubang (Potholes) pada Expansion Joint jejambat di KM8.2 (MRR2) Batu Caves Arah Kepong.

Dari tinjauan tersebut, didapati telah berlaku kerosakan pada Expansion Joint jejambat yang menyebabkan berlakunya jalan berlubang. Selain itu, terdapat juga kerosakan pada struktur jambatan seperti Deck Slab dan Bearing Pad melalui pemeriksaan di tapak oleh pemaju/JKR Daerah Gombak

Kawasan tersebut telah diserahkan kepada pemaju Tetuan Inter Sky Development Sdn Bhd (Jejambat Bulatan Batu Caves) sebahagian dari syarat kelulusan Pembangunan Tepi Jalan (RSD). Pemaju juga disyaratkan untuk melakukan kerja penyenggaraan sahaja.

Hasil daripada tinjauan kerja ini, pembaikan sementara Potholes Patching serta merta telah dilaksanakan oleh pihak pemaju pada 13/10/2023 (Jumaat) jam 4:30 petang. JKR Gombak juga telah mengarahkan pemaju untuk mengambil tindakan dengan membuat tampalan kekal pada 13/10/2023 (Jumaat).

Pemaju telah memaklumkan bahawa pelaksanaan kerja-kerja pembaikan tampalan kekal akan dilakukan dalam tempoh segera selepas pihak mereka menerima pengesahan daripada pihak 'Specialist Supplier'. Bagi jangka masa panjang, kerosakan ini memerlukan penggantian Expansion Point dan pembaikan kerosakan struktur jambatan pada Deck Slab. Pihak pemaju komited untuk melaksanakan pebaikan tersebut dalam tempoh dua minggu sebaik sahaja mendapat pengesahan daripada Ibu Pejabat JKR Malaysia. Pemeriksaan struktur jambatan akan dilaksanakan oleh Bahagian Forensik Jambatan bersama CSFJ dan JKR Gombak pada 15 Oktober 2023.

KKR tidak mengambil enteng masalah jalan berlubang atau sebarang gangguan kelancaran melibatkan nyawa dan keselamatan manusia. Selari aspirasi Kempen MYJalan, KKR akan memastikan tindakan pantas diambil bagi mencapai kemaslahatan bersama dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

0

Kuala Lumpur, 14 Oktober 2023 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama-sama Ketua Setiausaha Negara YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) serta YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool Ketua Pengarah Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah melakukan tinjauan kerja di lokasi aduan jalan berbahaya di susur masuk Lebuhraya MEX dari Jalan Tun Razak.

Hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut kemungkinan berpunca daripada penunggang motosikal tergelincir di atas ‘Longitudinal Bridge Joint’ yang dibina untuk projek perlebaran jalan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dimana ianya berada di luar LMR (Limit of Maintenance Responsibilities) MEX.

Sewaktu tinjauan kerja tersebut, didapati bahawa pihak DBKL telah melaksanakan pembaikan sementara dengan menutup lubang pada Longitudinal Bridge Joint menggunakan simen.

Setelah perbincangan diadakan bersama DSKSU, Ketua Pengarah JKR, LLM dan MEX, Menteri Kerja Raya telah mengarahkan satu sesi perbincangan lebih lanjut dengan pihak DBKL diadakan secepat mungkin bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi menyelesaikan isu Longitudinal Bridge Joint ini.

Pihak DBKL telah melaksakan pembaikan sementara dengan menutup lubang pada Longitudinal Bridge Joint menggunakan simen. Hasil daripada tinjauan kerja ini, dicadangkan satu perbincangan lebih lanjut dengan pihak DBKL bagi penambahbaikan untuk menyelesaikan isu Longitudinal Bridge Joint ini.

KKR sentiasa komited dalam memastikan infrastruktur jalan raya selamat digunakan oleh seluruh pengguna jalan raya Malaysia. Selari dengan aspirasi Kempen MYJalan, KKR berharap semua pihak akan mengambil langkah proaktif dan pantas dalam menangani isu-isu berkait jalan raya dan pengguna.

0

Kuala Lumpur, 14 Oktober 2023Telah berlangsung sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) selama tiga hari bermula 12 Oktober sehingga hari kemuncak iaitu hari ini pada tanggal 14 Oktober. Sambutan Hari Sukan Negara ini disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi bertempat di Blok C, Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Turut hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBhg. Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria.

Hari Sukan Negara (HSN) merupakan agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober. HSN berhasrat untuk membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.

Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kementerian ini turut diisi dengan acara Larian #HSNKKR2023 Kategori Lelaki, Wanita, Lelaki Veteren dan Wanita Veteren serta acara Larian Menara dengan kategori yang sama. Pelepasan peserta acara larian ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya di perkarangan parkir Blok G, Menara Kerja Raya. Antara acara lain yang dijalankan termasuklah pertandingan bola sepak, e-sukan, dart, dan aktiviti senaman zumba terbuka kepada semua yang hadir. Seramai 650 orang peserta telah menyertai sambutan HSN pada tahun ini yang terdiri daripada warga KKR dan agensi.

Selain menyediakan hadiah untuk para pemenang pertandingan setiap acara, pelbagai hadiah menarik juga telah disediakan untuk aktiviti cabutan bertuah bagi semua peserta yang bertuah pada hari ini.

Semoga semangat yang ditunjukkan oleh warga KKR dan agensi melalui sambutan HSN ini dapat mendidik diri setiap warga untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengekalkan kercergasan semasa menjalankan tugas di semua peringkat bahagian.

0

Pasir Gudang, Johor, 11 Oktober 2023 – Sejurus selesai menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor pagi ini, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkesempatan untuk meninjau perkembangan kerja naik taraf dan penyenggaraan jalan di laluan Lebuhraya Pasir Gudang FT017 yang juga disertai oleh Pengarah JKR Johor, YBrs. Ir. Abu Bakar bin Abd Aziz.

Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil berat terhadap isu keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) dan dua projek menaik taraf di laluan tersebut telah diluluskan di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia secara berfasa iaitu Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) Johor daripada Empat (4) Lorong kepada Enam (6) Lorong, Fasa 2B dan Fasa 3.

Laluan bagi Fasa 2B iaitu dari Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Persimpangan Pasir Gudang sedang dalam fasa pembinaan, projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini dijangka siap pada Oktober 2025.  Manakala bagi Fasa 3, iaitu dari Persimpangan Bertingkat Perling hingga ke susur naik Lebuhraya Utara Selatan pula telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3, RMKe-12) dan kini berada di peringkat perancangan bagi pengesahan skop dan kos projek.

Kerja-kerja menaik taraf laluan FT17 bagi kedua-dua fasa melibatkan pelebaran jalan sepanjang 5 kilometer bagi Fasa 2B dan baki 7 kilometer bagi Fasa 3 termasuk membaik pulih dan menaik taraf struktur jambatan dan jejantas sedia ada. Pelaksanaan projek menaiktaraf FT17 secara keseluruhan akan membantu penyuraian trafik terutama pada waktu puncak.

Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM107.34 juta untuk kerja-kerja penyenggaraan jalan bagi keseluruhan laluan persekutuan di Negeri Johor bagi 2023 dan kira-kira RM5.24juta daripadanya adalah khusus untuk penyenggaraan jalan di laluan FT17.